Pengikut

Jumaat, 10 Februari 2023

Sambungan dari  SINI...

 13 Jun 1971. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Dalam keadaan begini, mereka lebih berwaspada kerana kemungkinan musuh mengambil kesempatan menyerang semula.  Pada lebih kurang jam 6:00 petang Rjr Bajau mengalami kesakitan walaupun lukanya telah dibalut dengan ‘field dressing.’ Jam menunjukkan lebih kurang 8:00 malam namun bantuan masih tak kunjung tiba. Dan Rjr Bajau perlu mendapat rawatan sewajarnya.

Keadaan ini membuatkan Kpl Rahman dalam dilema. Menunggu dan terus menunggu di situ atau bergerak ke pangkalan mereka? Bantuan tidak diketahui ketibaannya. Beredar daripada lokasi itu pula bererti terpaksa meninggalkan mayat ketua mereka dan Rjr Abang Bolhi yang tidak diketahui di mana beliau berada dan nasibnya. Adakah Rjr Abang Bolhi masih hidup atau sebaliknya? Dalam keadaan sebegini, menyelamatkan Rjr Bajau diberi keutamaan. Dengan keputusan itu, Kpl Rahman bersama Rjr Bajau dan Rjr Ali bergerak pada lebih kurang jam 8:30 malam meredah hutan sepanjang malam. Mereka bernasib baik. Pergerakan mereka dipermudah dengan dibantu oleh cahaya hasil daripada tembakan suar oleh pasukan bantuan berhampiran.

*****

Ketika terdengar tembakan yang melibatkan  kumpulan Kapt Chandran dengan musuh, kumpulan Lt M Donald sudah berada di kaki bukit penempatan petualang negara seperti yang diarah oleh Ketua Kompeni. Mereka terus mara ke kaki bukit yang agak curam untuk mendakinya. Namun, di sebalik halangan pendakian disebabkan kecuraman bukit itu, mereka juga turut menjadi sasaran musuh. Tetapi mereka bernasib baik. Keadaan permukaan bumi telah menyelamatkan mereka kerana tembakan musuh tidak berkesan walaupun musuh berada di atas bukit. Dan sudah semestinya mereka tidak berdiam diri begitu sahaja. Mereka membalas tembakan musuh durjana.[1]

Dalam keadaan begitu, setelah berbincang dengan Kpl Osman, Lt M Donald membuat  keputusan untuk berundur secara taktikal dari situ. Bagi tujuan itu, Kpl Osman mengambil pelancar grenad M79 daripada Rjr Zainal dan melepaskan dua tembakan ke arah pengkhianat negara; “boom...boom.” Sementara itu, Lt M Donald, Rjr Nordin dan Rjr Khasim berundur. Apabila mereka bertiga berada di lokasi yang selamat, kini giliran mereka  pula memuntahkan peluru 7.62 mm SLR ke atas musuh. Tindakan ini bagi membolehkan Kpl Osman dan Rjr Zainal berundur untuk menyertai Lt M Donald semula.

*****

Hujan lebat petang merupakan jadi satu rahmat yang terselindung kepada kumpulan Lt M Donald. Beliau membuat keputusan untuk bertindak sebagai ‘cut-off party’ di laluan yang beliau percaya akan diambil oleh petualang negara apabila mereka berundur daripada kem mereka itu nanti. Laluan yang dijangkanya ialah di bahagian belakang penempatan musuh ketika bertempur dengan Kapt Chandran.

Pada lebih kurang jam 6:00 petang, Lt M Donald bersama empat anggotanya bergerak menuruni lereng bukit ke lokasi terbabit. Apabila tiba di situ, Lt M Donald mengatur anggota di atas lereng bukit berhadapan dengan bukit penempatan musuh untuk menyerang hendap musuh nanti. Sepanjang malam sehingga fajar menyingsing mereka bersiap sedia menunggu kemunculan pengkhianat negara. Tetapi bayang musuh tidak kelihatan.

13 Jun 1971. Lain pula dengan Rjr Abang Bolhi yang berlindung di sebalik pokok besar. Hujan lebat bak kata doanya dimakbulkan oleh Maha Pencipta. Air hujan itu akan membersihkan kesan darah akibat kecederaan yang dialaminya. Dengan itu kemungkinan musuh tidak dapat mengesan kehadirannya. Yakin beliau tidak dapat dikesan oleh pengkhianat negara serta dilindungi-Nya, beliau bermalam di situ.

Malam itu sungguh sejuk dan sepi. Tiada kedengaran suara baik daripada rakan seperjuangannya atau pengganas komunis. Keadaan ini membuat Rjr Abang Bolhi merumus bahawa rakan-rakan beliau telah terkorban. Tiba-tiba beliau teringat pesanan Kapt Chandran supaya mengikuti sungai yang berhampiran dengan kedudukannya yang akan membawa mereka yang tersesat ke Chemor.[2]

“Ya, esok aku akan menyusur sungai itu,” bisikan hatinya. Dengan bertawakal kepada Allah untuk melindungi dan dek keletihan, beliau tidur sepanjang malam walaupun cedera parah.

*****

14 Jun 1971

Sepanjang malam Lt M Donald dan empat anggotanya menunggu di lereng dengan harapan musuh akan mengguna laluan itu untuk meloloskan diri. Tetapi bayang musuh tidak kelihatan. Justeru, beliau membuat keputusan untuk bergerak balik ke pangkalan mereka. Tidak lama kemudian, mereka bertemu dengan elemen Kompeni Bravo yang diketuai oleh seorang Ketua Platun. Ketua Kompeni, Kapt Ariffin bin Yaakob dan sembilan anggotanya pada hari itu dalam perjalanan balik ke Kem Suvla Line dari kawasan operasi Air Kala/Lenggong Lenggong.

*****

Pada lebih kurang jam 8:30 pagi itu (14 Jun), Kpl Rahman bersama Rjr Ali dan Rjr Bajau diketemui dengan elemen Kompeni Bravo. Rjr Bajau diberi suntikan morfin untuk mengurangkan kesakitan. Mereka yang kelaparan diberi makan dan minum. Keutamaan sekarang ialah untuk membawa Rjr Bajau keluar dengan segera. Masalahnya hutan belantara begitu padat yang menyukarkan si ‘Burung Besi’ membawanya keluar.

Bagi mengatasi masalah ini, trup berusaha untuk menundukkan pokok-pokok dengan bahan letupan (PE). Bukan untuk membuat tempat pendaratan (LP) kerana mereka tidak mempunyai keupayaan. Hanya sekadar untuk membolehkan Nuri menaikkan mangsa mengguna kaedah ‘winching.

Mengambil kira aspek keselamatan, pegawai terbabit memilih sebuah bukit untuk meletupkan beberapa pokok. Tugasan ini berlarutan hingga lewat petang. Oleh kerana itu, misi casevac tidak dapat dilaksana pada hari itu.

*****

Terjaga daripada tidur sebelum fajar menyingsing, Rjr Abang Bolhi bersyukur kerana masih menghirup udara-Nya. Seterusnya, beliau mula bergerak menurun bukit ke sungai yang akan membawanya ke Chemor. Tetapi sungguh perit dugaan-Nya! Pergerakannya sangat terbatas kerana luka yang dialaminya. Beliau terpaksa bergerak perlahan-lahan bagi mengelak darah dari terus dari dada, belakang dan tangannya. Keadaan ini ada kalanya memaksa beliau merangkak. Pada lewat petang, beliau akhirnya tiba di anak sungai yang akan membawanya ke sungai yang mengalir ke Chemor.

      Setiba di anak sungai, dengan perlahan-lahan Rjr Abang Bolhi cuba membersihkan lukanya di badan dan tangan dengan tuala ‘Good Morning.’ Tetapi beliau tiada tenaga lagi untuk membersih seluruh badannya apatah lagi di bahagian belakang. Keadaan ini membuatkan lukanya menjadi tumpuan langau dan lalat!

      Kegelapan mulai meliputi kedudukan Rjr Abang Bolhi. Beliau begitu letih untuk meneruskan menyusuri sungai dan memerlukan rehat malam itu. Hasratnya untuk berlindung dan selindung dipermudahkan-Nya. Beliau  mendapati terdapat sebuah gua kecil hanya lebih kurang  dua depa daripada kedudukannya. Beliau membuat keputusan untuk bermalam dalam gua tersebut dan akan masuk ke dalam gua itu nanti apabila yakin keadaan selamat. Jadi, sementara itu beliau berselindung di satu pokok besar. Dari kedudukannya, beliau dapat melihat sebarang kelibat yang masuk ke gua.

Sememangnya Rjr Abang Bolhi ditakdirkan-Nya tidak terus masuk ke dalam gua. Jam ‘Rado’ di pergelangan tangan kirinya menunjukkan jam 6:45 petang. Tiba-tiba beliau  melihat kelibat tujuh petualang negara lengkap dengan senjata seorang demi seorang masuk gua kecil tersebut.

      “Mati aku...Ya Allah...Lindungi hamba-Mu ini.” Bisikan hati Rjr Abang Bolhi!

      Dalam keadaan biasa, kemunculan musuh tanpa mereka menyedari kehadirannya, merupakan peluang datang menggolek. Ini yang diidam-idamkan oleh anggota keselamatan, termasuk Rjr Abang Bolhi. Tetapi apakan daya. Beliau kini tidak berada dalam keadaan biasa; begitu lemah dan kesakitan yang dialami menghantuinya.

      Apa pilihan yang ada pada Rjr Abang Bolhi? Pada mulanya, beliau terfikir untuk menembak musuh. Namun demikian, MGK beliau tanpa kelopak yang telah hilang semasa beliau tergolek menuruni bukit apabila ditembak musuh sehari sebelum itu. Bukan itu sahaja, beliau tiada kudrat untuk mengangkat senjata disebabkan tapak tangan kirinya ditembusi peluru. Ini membuat beliau berfikir untuk melontar grenad tangan ke dalam gua. Bagaimana pun, terfikir pula apa yang akan berlaku jika grenad tersebut tidak meletup. Kemungkinan ini berlaku kerana grenad dibasahi dengan darah dan air. Tindakannya akan mendedahkan kedudukannya. Beliau di ambang maut!

      Pantang maut sebelum ajal. Andainya kehadiran Rjr Abang Bolhi diketahui musuh, beliau nekad untuk cuba ‘membawa’ bersama petualang negara. Sama-sama mati! Dengan saki baki tenaga yang dibekalkan kerana meminum air hujan walaupun kelaparan, dalam kesakitan beliau berjaya menarik pin keselamatan grenad tangan dan menggenggam grenad tersebut dengan tangan kanannya. Beliau akan membaling grenad ke arah musuh  sekiranya mereka menghampirinya. Sepanjang malam yang begitu sejuk sampai ke tulang hitam, beliau bersengkang mata dan tidak bergerak serta menahan kesakitan. Bukan itu sahaja, kesejukan telah mengakibatkan beliau tidak dapat buka tapak tangan kirinya yang menggenggam grenad; jari-jemarinya mengalami kekejangan.

*****

15 Jun 1971

Pada jam lebih kurang 11:00 pagi, kedengaran bunyi enjin GE T-58 yang tidak asing kepada trup menghampiri lokasi elemen Kompeni Bravo untuk membawa keluar Rjr Bajau. Nuri dikendali oleh Flt Richard Jalleh, Fy Off Ismail bin Saud dan Sjn Marimuthu.[3] Rjr Bajau dinaikkan melalui kaedah winching dan dibawa ke pangkalan 4 Renjer di mana ambulans sedia menunggu.

Sebaik sahaja turun daripada pesawat, Rjr Bajau dikejar ke Hospital Besar, Ipoh. Beliau terpaksa ‘direhatkan’ selama hampir dua minggu di situ.[4]

Bersambung...in syaa Allah.



[1]              Syed Othman Syed Omar. (1993). Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia, hlm. 177.

[2]             Ibid., 175-176.

[3]             E-mel daripada Lt Kol Richard Jalleh TUDM (B) pada 23 Januari 2022. Beliau kini menetap di Perth, Australia.

[4]             Penjelasan oleh L/Kpl Bajau anak Ladi melalui telefon pada 5 Februari 2023.            

 


Tiada ulasan: