Pengikut

Selasa, 15 Oktober 2024

Serang hendap di Sg Semur - bhg 3

Sambungan dari  SINI

Tiada kesan kehadiran musuh

Setelah beberapa jam berjalan, No 12 Platun tiba di destinasi di mana SC bersama kaum Cina akan mengambil daun nipah itu nanti. Lokasi ini, iaitu di Sg Semur, dijadikan sebagai titik rondevu (rendezvous [RV]) iaitu titik temu untuk No 12 Platun dan kumpulan SC. Sementara menunggu ketibaan kumpulan SC, Lt M Hassan memecahkan platunnya kepada tiga kumpulan. Mereka diarah untuk melakukan rondaan di kawasan tertentu. Rondaan mereka tidak menemui kesan kehadiran pengganas komunis. Lantaran itu, ketiga-tiga kumpulan balik ke RV. Setelah mendengar taklimat daripada ketua-ketua kumpulan, Lt M Hassan mengarah anak buahnya makan tengah hari.

Pada lebih kurang pukul 12:00 tengah hari, kumpulan Sjn Wan Yaacob tiba. Sama seperti No 12 Platun, Sjn Wan Yaacob memberitahu mereka juga tidak menemui sebarang kesan kehadiran komunis dalam perjalanan. Ekoran itu,  Lt M Hassan bergerak ke Kpg Sungkai.[1] Setelah lebih kurang tiga jam meredah hutan belantara, mereka tiba di destinasi rondaan. Sama seperti sebelum ini, mereka tidak diketemui sebarang petunjuk kehadiran komunis. Oleh kerana malam kian menjelma, Lt M Hassan membuat keputusan untuk bermalam di situ.[2]

Bermalam bermakna keselamatan pangkalan perlu dipertingkat bagi menentukan mereka tidak diziarahi tetamu yang tidak diundang, iaitu pengganas komunis. Sebagai Sarjan Platun, Kpl Jamaluddin mengatur anggota untuk tugasan menyerang hendap dan kawalan penempatan secara bergilir-gilir. No 12 Platun tiada pelawat yang datang sepanjang malam. Syukur alhamdulillah.

Laluan rondaan oleh Platun No 12, 3 RAM pada 23 Mac 1950. Sumber: Mej Yaakop bin Jaafar. (2004).

                                   ***** 

                       

 

 24 Mac 1950...

Setelah bersarapan pagi, Lt M Hassan memberitahu anak buahnya mereka akan bergerak semula ke lokasi RV di Sg Semur sebelum ini. Sementelah mereka tiba di RV pada petang, Lt M Hassan membuat keputusan untuk bermalam di situ. Beliau mendapati para penuai masih tidak mencapai ‘kuota’ yang dikehendaki. Yang agak anehnya, beliau mendapati penuai-penuai tidak menunjuk sebarang kebimbangan. Sebaliknya mereka memberi tumpuan sepenuh melaku tugasan mereka. Malahan mereka menunjukkan kurang senang dengan kehadiran para pengiring.[3]

Lt M Hassan mengarah anak buahnya untuk bermalam di situ. Beliau memberitahu mereka akan bergerak balik ke Kpg Pulai awal pagi keesokan hari (25 Mac). Seterusnya, beliau membanding maklumat dengan Sjn Wan Yaacob mengenai kehadiran musuh. Rumusan mereka ialah tiada kesan kehadiran musuh di kawasan itu.  Lt M Hassan memberitahu Sjn Wan Yaacob beliau dan anggotanya akan balik ke Kpg Pulai keesokan pagi kerana kehabisan rangsum. Beliau berharap kumpulan Sjn Wan Yaacob juga turut bergerak bersama mereka.

*****

[1]            Zakaria Salleh. (2007). Limpahan Darah di Sungai Semur. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 73.

[2]           Ibid.

[3]          Ibid.

Bersambung...In syaa Allah


Tiada ulasan: