Pengikut

Rabu, 29 Oktober 2025

SAR Low's Gully: "Jangan masuk...jangan masuk"

Sambungan dari SINI

Tiada ruang buat kesilapan

Seterusnya Kapt Mohamad Izhar bersama Sjn Salleh mengisi semula bahan api. Masa faktor kritikal! Flt Lt Richard Mowbray menyarankan supaya lima anggota yang terperangkap diambil melalui kaedah winching. Namun, Kapt Mohamad Izhar menjelaskan dengan tegas - tindakan itu berisiko tinggi. Pada altitud 6,000 kaki, pesawat memerlu pitch (kuasa enjin) yang tinggi untuk kekal dalam keadaan terapung (hovering). Sedikit sahaja kesilapan, bencana pasti berlaku.

 Sebaliknya kapten pesawat menyaran supaya menghantar bekalan makanan. Saranan beliau diterima. Ekoran itu dua beg berwarna kuning segera diisi dengan dua radio, ubat-ubatan, tablet bahan api ‘hexamine,’ biskut, coklat, kaserol ayam, ‘lambs stew’ dan ‘corned-beef’ - tipikal rangsum tentera Inggeris.

*****

Sebaik pesawat berlepas, Flt Lt Richard Mowbray yang teruja segera menghubungi Lt Kol Tony Schumacher di Bilik Operasi 5 BIM, Kem Lok Kawi.

Isyarat radio tidak jelas, ekoran itu beliau terpaks menjerit, “Kami sudah menjumpai mereka!” Tidak pasti sama ada mesej itu sampai, beliau segera meminta supaya pesawat Nuri dihantar dengan segera.[1]

Kebetulan dua orang wartawan berada di kampung tersebut. Kehadiran mereka di situ adalah untuk mengetahui apa yang sedang berlaku di kampung tersebut. Mereka tertanya-tanya apabila melihat penduduk berkerumun di luar dewan itu. Di dalam dewan  anggota SAS sedang menyiap peralatan mereka. Mereka tidak sama sekali menyangka sedang dihidang dengan ‘scoop’ yang menjadi idaman setiap wartawan – penemuan lima anggota British yang hilang, berita sensasi dunia. Namun kegembiraan mereka terbantut. Mereka tidak mempunyai alat komunikasi untuk menghantar berita panas itu ke akhbar masing-masing!

Bagaimanapun, kelibat dua wartawan itu tidak disenangi oleh Flt Lt Richard Mowbray. Beliau bimbang mereka menghidu kehadiran SAS. Justeru,  beliau segera menghalang mereka menghampiri dewan dan mengarah supaya menunggu di seberang jalan.[2] Beliau melarang mereka daripada bercakap dengan mana-mana anggota SAS kecualinya. Beliau akan memaklum apa yang berlaku. Tidak cukup dengan itu, beliau memberi amaran: “If there’s one mention of Special Forces in any article...I won’t come looking for. They’ll do it.”[3] Beliau sebenarnya tidak mengetahui penglibatan anggota SAS dalam operasi SAR sudah pun terpampang di dada akhbar UK.

*****

Ketika Platun No 8 berehat di tebing Sg Penataran, pada jam 10.15 pagi, operator radio bergegas ke Lt Zainal Abidin membawa satu mesej. Setelah menelitinya, beliau segera mengarah anak buahnya berkumpul. Sebaik mereka berdiri di hadapannya, dengan nada tegas bercampur lega, beliau mengumum:

“...kesemua ke lima-lima  anggota Tentera British yang hilang telah dijumpai lokasinya. Mereka semua akan dikeluarkan dengan mengguna helikopter Nuri.”[4]

Kesunyian hutan yang hanya diisi dengan desiran sungai dan kicauan unggas tiba-tiba pecah dengan sorakan kegembiraan. Walaupun bukan mereka yang menemuinya, Platun No. 8 tetap bersyukur - misi Op Belantara mencapai matlamatnya.

*****

Kapt Mohamad Izhar bersama crewman serta seorang anggota SAS berlepas pada jam 10.30 pagi menyusur jurang yang curam dan sempit. Pesawat terbang rendah, meniti di antara dinding batu yang semakin menutup, melawan deruan angin yang kuat. Dalam kekalutan itu, beliau menenangkan dirinya – “Izhar…fokus…fokus.” Dia sedar, kehadirannya kini menjadi harapan kepada lima nyawa yang menunggu di bawah!

Pemandangan di New’s Pool di hilir berhampiran Kevin’s Cave. 
Sumber: Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster

Akhirnya pesawat tiba di lokasi berkenaan dan pesawat dibawa dalam keadaan terapung (hovering). Kapt Izhar kemudiannya mula menurun collective perlahan-lahan hingga pesawat berada pada ketinggian yang sangat rendah. Jarak kipas utama dengan kedua-dua belah dinding granit ketika itu hanya lebih kurang 10 kaki sahaja. Kemudian, kapten pesawat mengarah Sjn Salleh untuk menurun kedua-dua beg yang telah diikat dengan tali nilon. Tugasan ini dilaku oleh anggota SAS. Mej Foster yang berada di bawah, menangkap tali tersebut. Disebab beg-beg tersebut agak berat, satu beg terjatuh dalam air manakala satu lagi di atas batu di mana L/Kpl Cheung Y.K. dan Pbt Lam W.K. berada. Sebelum pesawat berlepas, Mej Foster memberi isyarat ‘lima’ dengan jarinya dan ‘dua’ ke arah kayu balak, iaitu dua orang di situ.

Alouette III – M20-17 – menghampiri Kevin’s Cave. 
Sumber: Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster
Sementara itu, Kapt Mohamad Izhar mengimbas panel instrumen sambil memerhati ke luar pesawat. Beliau ternampak kelibat seorang yang kurus duduk berhampiran satu balak. “Mungkin itu Neill,” bisiknya. Masalah beliau masih belum berakhir. Kedudukan pesawat membatas beliau mengolah gerak pesawatnya. “Bagaimana mahu keluar dari sini?” bermain dalam benaknya. Jika memilih untuk berlepas ke hadapan, pesawat perlu segera mendaki selari dengan cerun yang curam - satu tindakan yang menuntut pitch yang tinggi. Rumusannya hanya ada satu laluan sahaja - masuk dan keluar melalui laluan yang sama. Persoalannya, jurang yang sempit menghalang beliau melakukan ‘spot turn’ 180 darjah, iaitu memusing pesawat ke arah laluan semasa masuk.[5]

Lantaran itu, dengan penuh berhati-hati, beliau menarik collective untuk menaikkan pesawat. Setelah melepasi kanopi pokok di hadapan, beliau menarik cyclic bagi mengundurkan pesawatnya sehingga mencapai ketinggian di mana dinding jurang makin melebar. Setelah yakin kedudukan pesawat selamat untuk tindakan selanjutnya, kapten pesawat melakukan spot turn dan berlepas ke pangkalan hadapan. Walaupun udara pergunungan sejuk menggigit, peluhnya menitik deras. Satu-satunya penerbangan yang tiada ruang langsung untuk kesilapan. Pesawat mendarat dengan selamat. Syukur alhamdulillah.

*****

Apabila beg kuning dibuka, Lt Kol Robert Neill terkejut melihat kandungan di dalamnya - rangsum Tentera British. Seketika beliau terpinga; tidak menyangka ATM turut menggunakan bekalan yang sama. Namun persoalan itu terjawab apabila beliau membaca nota Flt Lt Mowbray yang sudah basah kuyup: “HELP IS ON ITS WAY. ENCLOSED ARE RATIONS, RADIOS. HANG ON IN THERE LAD!” bersama arahan penggunaan radio. Mereka juga dikehendaki menghubungi juruterbang.[6]

Sumber: Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster

Tulisan pada nota itu jelas bukan tulisan orang Melayu. Hatinya sebak - barulah mereka sedar bahawa Tentera British turut terlibat dalam operasi SAR ini. Sudah tentu, keluarga mereka kini tahu mereka masih hidup. Air mata mereka mengalir. Bukan kerana sedih, tetapi kerana syukur dan kegembiraan yang tidak mampu diungkap.[7]

*****

Masa terus berlalu dalam kegelisahan. Kelibat pesawat Nuri masih tidak kelihatan. Isyarat tangan Mej Foster memberikan pelbagai tafsiran - adakah dua anggota telah meninggal dunia, atau masih cukup kuat untuk dinaikkan melalui winching? Dalam ketidaktentuan itu, Kapt Mohamad Izhar menyaran menghantar seorang paramedik bagi menilai keadaan mereka. Beliau menjelas pesawatnya tiada kemudahan strecer jika diperlukan.

Tawaran itu diterima. Apabila melihat bergen rucksack paramedik yang berat, Kapt Mohamad mengarah agar ditinggalkan. Paramedik itu terpaku, tidak percaya dengan arahan tersebut - seolah-olah disuruh beroperasi tanpa kelengkapan peribadi. Namun, beliau terpaksa akur demi menyelamat subjek yang membawa mereka keluar dari keselesaan UK ke realiti getir operasi di kampung terpencil itu. Di medan operasi sebenar, perintah datang dahulu, alasan kemudian.

Kesediaan kapten pesawat dipersetujui oleh Flt Lt Richard Mowbray dan SAS. Apabila melihat ‘bergen rucksack’ paramedik yang berat, Kapt Mohamad memberitahu beliau untuk meninggalkan bergen tersebut. Paramedik itu terpaku seketika, tidak percaya arahan yang didengarnya. Terkejut paramedik tersebut mendengar arahan itu: mungkin anggota SAS beroperasi tanpa bergen.

 Pesawat dengan tiga POB (Person On Board) berlepas pada jam 11.15 pagi.[8] Seperti sorti sebelumnya, Kapt Mohamad membawa pesawat dalam keadaan terapung di dalam jurang. Dengan cermat, beliau menurun collective sedikit demi sedikit, sedar setiap inci pergerakan boleh membezakan antara kawalan dan bencana. Tanpa disedarinya, satu tayar di belakang mencecah bongkah batu. Beliau segera mengarah paramedik turun. Sebaik sahaja penumpangnya berada di bumi dengan selamat, beliau melaksana prosedur keluar dari situ  seperti sorti sebelum ini dan kembali ke pangkalan hadapan dengan selamat. Syukur alhamdulillah

Tiga sorti ke Low’s Gully menguji tenaga dan ketahanan mental Kapt Mohamad Izhar serta Sjn Salleh. Kedua-duanya keletihan, namun puas - setiap penerbangan bermakna, setiap tindakan membawa harapan. Kini, semua menunggu ketibaan Nuri -talian hayat.’

Bersambung...in sya...Allah...



[1]              Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 233.

[2]              Ibid.

[3]              Ibid., hlm. 234.

[4]              Lt Kol Zainal Abidin (Bersara). Operasi Menyelamat Low’s Gully sebelum ini, hlm. 64.

[5]              Penjelasan oleh Laksma (M) Dato’ Mohamad Ishar bin Hassan (B) melalui telefon pada 16 Oktober 2025.

[6]              Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 232; Keratan akhbar tanpa nama akhbar, tarikh, dan halaman sebelum ini.

[7]              Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 233.

[8]              Laporan oleh Phillip Sherwell bertajuk “Helicopter blades almost touched the tree trunks” dalam keratan akhbar tanpa nama, tarikh, dan halaman sebelum ini.

  

Ahad, 26 Oktober 2025

SAR Low's Gully: "Jangan masuk...jangan masuk"

Sambungan dari SINI

SOS 

 Jumaat, 25 Mac 1994/14 Syawal 1414H

Sg Penataran. Selepas sarapan pagi, Lt Zainal Abidin mengarah pasukannya mula bergerak. Namun, rentak pergerakan agak perlahan disebabkan tiga anggota mengalami kecederaan. Mereka diletak bersama Sarjan Platun di bahagian belakang. Di celah hutan tebal itu, mereka tiba-tiba terdengar bunyi nyaring enjin Turbomeca Artouste jelas di udara seolah-olah pesawat itu betul-betul di atas kepala mereka. Namun, kanopi hutan yang rapat menelan sepenuhnya kelibat pesawat.

 Kevin’s Cave. Hari kedua puluh di gua; jam 7.30 pagi. Sebaik sahaja sinar pertama sang suria menembusi celah batu, lima subjek pencarian itu sudah terjaga. Harapan mereka hanya satu - kemunculan helikopter...talian hayat! Buat pertama kali, cuaca begitu cerah. Langit biru membentang luas di hadapan pintu gua - suatu pemandangan yang seolah-olah memberi isyarat penyelamat bakal tiba. Namun, tatkala jarum jam mencecah 8.00 pagi, langit kekal membisu. Tiada deruman enjin. Tiada bayang pesawat.

 Kekecewaan Lt Kol Robert Neill dicatat dalam diarinya. Beliau menganggap pihak berkuasa Malaysia masih belum melancarkan operasi mencari. Nada yang sama terakam dalam catatan Mejar Foster - luahan marah dan kecewa. Beliau mempersoal sama ada pihak berkuasa Malaysia sudah memulakan operasi, dan jika sudah, adakah mereka telah memaklum UK  bahawa lima anggota British tersebut tidak ditemui. Kemarahan itu menebal hingga terlintas di hatinya - andai mampu, mahu sahaja dibakar seluruh hutan yang mengurung mereka.[1]

 Sungguh jauh terlencong tanggapan mereka!

Kpg Nahandang Melangkap. Setelah melalui beberapa halangan, Flt Lt Richard Mowbray dan Lt Cdr Mike Elesmore (B) akhirnya tiba di destinasi pada jam 6.00 pagi. Seperti yang dirancang sehari sebelumnya, mereka terus ke Dewan Sukan - lokasi yang dijadikan Markas Hadapan kedua sambil menunggu ketibaan pasukan SAS.[2]

 Kota Kinabalu. Pada jam 6.00 pagi di Kota Kinabalu, anggota SAS mula bergerak dari Outward Bound Sabah menuju ke Kpg Nahandang Melangkap[3] dengan menaiki kenderaan. Mereka tiba di lokasi tersebut pada lebih kurang jam 8.30 pagi.[4] Sementara itu, Kapt Mohd Izhar bersama Sjn Salleh - masih mengguna nama panggilan ‘Angkasa 389 Bravo’ - berlepas dari Kem Lok Kawi ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Di situ, mereka mengambil dua anggota SAS untuk dibawa ke Kpg Nahandang Melangkap.[5]

Pesawat berlepas pada lebih kurang jam 6.45 pagi. Sementelah cuaca begitu elok pagi itu, Kapt Mohamad Izhar mengendali pesawatnya ke Low’s Gully supaya dua anggota SAS dapat meninjau kawasan yang mereka akan beroperasi nanti. Ketika pesawat berada pada ketinggian kira-kira 7,000 kaki, jam menunjukkan 7.15 pagi.[6] Dari kokpit, Kapt Mohd Izhar terlihat sesuatu pergerakan di dasar jurang.

 Pada saat yang sama, di dasar jurang - 7.15 pagi - lima anggota yang hilang mendengar bunyi yang tidak asing lagi kepada mereka. Tatkala Alouette III melintas di atas, Mej Foster segera memancar cahaya dari flashlight kamera untuk menarik perhatian juruterbang. Mereka melihat pesawat itu berlegar sebentar sebelum berpaling arah. Permulaan hari baharu di hidang dengan kekecewaan!

Dengan nada kecewa, Lt Kol Robert Neill menulis dalam diarinya:

“Helikopter kedengaran. Harapan sentiasa ada, tetapi Chow dan saya tidak bergerak dari beg kami. Kami sudah terlalu kerap melakukannya sebelum ini. Salah satu penerbangan kelihatan berada di atas kepala. Tidak boleh terlalu yakin, kerana kekecewaan itu menyakitkan. Helikopter itu telah beredar semula. Semua orang mendengar dengan penuh tumpuan.”[7]

*****

Flt Lt Richard Mowbray dan Lt Cdr Mike Elesmore (B) menunggu ketibaan dua anggota SAS di Kpg Nahandang Melangkap. Setelah berbincang dengan mereka, Flt Lt Richard Mowbray mendekati kapten pesawat. Semasa mereka berbincang sesama mereka, Kapt Izhar masuk dewan yang menempat anggota SAS. Sebagai seorang anggota tentera, Kapt Mohamad Izhar tertanya-tanya bila melihat kelengkapan yang dibawa oleh kumpulan penyelamat British yang baharu. Mereka dilengkap dengan gogal penglihatan malam (night vision goggle) alat komunikasi yang canggih, kelengkapan yang jarang sekali dilihat digunakan selain oleh pasukan infantri elit. Dengan nada ingin tahu, beliau bertanya salah seorang daripada mereka tentang unit asal mereka. Jawapan yang diterima ringkas namun padat dengan makna: “SAS” - pasukan elit British yang terkenal dengan ketangkasan dan ketepatan dalam operasi khas.

 Flt Lt Mowbray bertanya kepada Kapt Mohamad Izhar sama ada pesawatnya masih mempunyai bahan api yang mencukupi. Jika ya, beliau mahu membawa dua anggota SAS itu untuk melaku tinjauan udara di jurang berkenaan. Setelah meneliti bacaan tolok bahan api, Kapt Mohamad Izhar mengangguk – bahan api  mencukupi, namun pesawat kecil itu hanya mampu membawa dua orang tambahan. Mendengar jawapan itu, Flt Lt Mowbray berundur diri. Beliau berpesan kepada Kapt Mohamad Izhar supaya “...Terbang ke lokasi yang kita pergi semalam - ke bahagian yang sama di jurang itu. Tunjukkan lubang winch dan kontur 2,000 meter.”[8]

Dengan pesanan itu, pesawat dengan ‘four POB’ berlepas meninggal padang kecil kampung itu menuju semula ke jurang yang tersembunyi di perut Gunung Kinabalu, tempat misteri yang menyimpan nasib pasukan pendaki yang masih belum ditemui. Seperti yang dialami kelmarin (24 Mac), Kapt Mohamad Izhar ternampak pancaran cahaya dan kelibat seseorang ketika pesawat melintasi kawasan berkenaan. Kali ini, beliau nekad untuk mengesah sama ada individu itu daripada 16 RAMD atau lima orang yang mereka cari. Lantaran itu, beliau memusing sambil menurun pesawatnya bagi mendapat pengesahan visual.

Ketika proses mengolah gerak itu, kapten pesawat ternampak ‘SOS’ dengan batu-batu putih di atas bongkah batu berwarna gelap di tebing sungai. Walaupun sudah lebih tiga dekad berlalu, Kapt Mohamad Izhar masih ingat dengan jelas melihat “Foster yang tinggi orangnya berseluar pendek tanpa baju dan  dua anggota Cina melompat-lompat sambil melambai-lambai tangan.”[9] Beliau lalu memancar lampu pesawat sebagai isyarat bahawa mereka telah ditemui.[10] Sah. Lima anggota yang hilang masih hidup.

SOS' hasil daripada susunan ketulan batu berwarna putih di atas bongkah batu 
(anak panah).  Sumber: PW U II Sandiran a/l Gopal (B)


Tiba-tiba pesawat berhadapan dengan tiupan angin kencang. Bimbang keadaan menjadi tidak terkawal, Kapt Mohamad Izhar memutus untuk terbang balik ke Kpg Nahandang Melangkap. Di waktu yang sama, beliau cuba menghubungi markas melalui radio, namun gagal - kedudukan pesawat yang rendah di curang yang tinggi menghalang capaian isyarat.[11] 

Pesawat mendarat pada jam 10.15 pagi. Sebaik mendarat, Kapt Mohamad Izhar melapor: “Kami nampak beberapa orang di atas batu di dalam jurang itu. Mereka masih hidup. Mereka telah menanda isyarat SOS pada bongkah batu. Mereka terkandas di antara dua air terjun yang curam pada ketinggian 6,000 kaki dari aras laut.”[12] Suasana di lokasi itu berubah daripada agak suram ke kegembiraan.  Dengan penemuan itu, episod 10 hari (15-25 Mac) pencarian ternoktah.

 

Pesawat Alouette III - M20-17 - di Kpg Nahandang Melangkap. Sumber: Kpl Wan Mustafa bin Wan Yusoff (B)

 Bersambung...in sya Allah...

[2]              Lt Kol Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 229.

[3]             Lt Kol Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 229.

[4]             HQ British Forces, Hong Kong, OPERATION GULLY HEIGHTS sebelum ini, hlm. 3; Laporan oleh 372076 Lt Gabriel Buja Joel TUDM, The Rescue Mission sebelum ini, hlm. 2. Lt Gabriel mencatat mengambil lapan anggota SAS di Kpg Bundu Tuhan ke Kpg Nahandang Melangkap.

[5]              Ibid.

[6]             Richard Connaughton. (1996). Descent Into Chaos sebelum ini, hlm. 116.

[7]            Lt Kol Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 230.

[8]           Ibid., hlm. 230.

[9]             Penjelasan oleh Laksma (M) Dato’ Mohamad Ishar bin Hassan (B) melalui telefon pada 16 Oktober 2025.

[10]              Lt Kol Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 231.

[11]             Ibid.

[12]            Laporan oleh Phillip Sherwell bertajuk “Helicopter blades almost touched the tree trunks” dalam keratan akhbar tanpa nama akhbar, tarikh, dan halaman daripada ‘Scrap Book’ No 7 Skuadron, PU Kuching. 

Sabtu, 18 Oktober 2025

SAR Low's Gully: "Jangan masuk...jangan masuk"

Pancaran Cahaya

Khamis, 24 Mac 1994/13 Syawal 1414H

 Jam 00.01 minit...masuk hari baharu. Dalam kegelapan malam di ketinggian kebiasaannya ‘Flight Level 310’ (31,000 kaki) atau lebih, sebuah pesawat B747 MAS menyusur merentasi 2 benua. Dalam kabin yang tenang, di antara para penumpang, terdapat 12 anggota ‘Special Air Service (SAS)’ - pasukan elit Tentera Darat British dan 3 pakar ‘terowong (potholing)’ daripada Army School of Adventure Training di Ripon.[1] Mereka diatur gerak untuk menyertai pasukan RAF MRS dalam Op Gully Heights. Sementelah  membabit  SAS, pergerakan mereka  berlangsung dalam suasana penuh rahsia.[2]

 Seperti kumpulan MRS yang berlepas pada 15 Mac 1994, pesawat mereka juga meninggalkan Lapangan Terbang Heathrow, London, pada jam 10.00 malam (waktu tempatan). Mereka dijangka tiba di Kota Kinabalu pada jam 22.50 malam (waktu tempatan)[3] setelah menyambung penerbangan dari Lapangan Terbang Subang.

Di tebing Sg Penataran

Seperti biasa, selepas pada jam 6.30 pagi, Lt Zainal Abidin bersama anak buahnya melaksana rutin harian. Tidak lama kemudian, mereka mula mendaki bagi menyusur Sungai Penataran. Semasa pergerakan, kedengaran bunyi nyaring yang tidak asing bagi anggota platun - bunyi enjin Turbomeca Artouste IIIB turboshaft. Namun kelibat pesawat kecil itu tidak kelihatan akibat litupan hutan yang tebal. Anehnya, bunyi tersebut kini semakin kerap kedengaran di kawasan pencarian mereka. Keadaan ini membuat beliau berfikir:

 “Mungkin pihak markas atasan telah dimaklumkan tentang penemuan barangan semalam, dan pihak TUDM kini mempergiatkan usaha mencari dengan memperkecilkan skop pencarian di kawasan ini.”[4]

Semangat platun melonjak. Mereka yakin berada di trek yang betul, menuju ke lokasi 5 anggota British tersebut. Namun demikian, perjalanan tidak semudah disangka. Mereka terpaksa menempuh “...sungai berbatu dengan bongkah sebesar rumah.”[5] Kesukaran laluan menyebabkan L/Kpl Mohd Azlin bin Saliman tergelincir lalu menghempap dua lagi anggota di bawahnya ketika mendaki tebing curam. Lt Zainal Abidin segera mengarah anak buahnya membantu ketiga-tiga mangsa.

L/Kpl Mohd Azlin mengalami kecederaan terseliuh pada kakinya dan sukar bergerak seperti biasa. Apabila malam mula menjelma dan keadaan gelap, Ketua Platun memutuskan agar mereka bermalam di situ. Keletihan membuat mereka tidur di atas bongkah-bongkah batu dan berbumbungkan langit. Malam itu, seperti biasa beliau menghantar sitrep kepada Markas Taktikal mengenai kecederaan tiga anggotanya. [6]

 Kevin’s Cave

Sebelum sang suria menyinari ufuk timur, Lt Kol Robert Neill dan empat pendaki telah bangun dengan penuh harapan agar kedengaran sesuatu bunyi yang asing - bukan kicauan unggas atau deruan sungai. Bunyi yang boleh menyelamatkan mereka.

Kevin’s Cave - lokasi lima anggota ekspedisi yang hilang. Sumber: Google

Angkasa 389 ‘Alpha’ & ‘Bravo’ 

Lebih kurang jam 4.30 pagi, ketika ramai yang masih dilamun mimpi dan berselimut, Hangar No. 5 Skuadron kembali hidup. Kru kejuruteraan - wira-wira di belakang tabir - sibuk menyiapkan dua buah pesawat Alouette III. Juruteknik daripada ketukangan Enjin, Rangka Pesawat, Radio, Elektrikal dan Instrumen bekerja dengan penuh dedikasi, memeriksa setiap bahagian pesawat selari dengan ketukangan mereka. Selesai pemeriksaan, mereka menyiapkan BAT M3053 ‘Traveller’ bagi persediaan pesawat yang akan bermalam di luar pangkalan. Tidak lama kemudian, kedua-dua pesawat di parkir di ‘dispersal’ skuadron, menunggu ketibaan juruterbang. 

 Pada lebih kurang jam 5.40 pagi dua buah pesawat Alouette III masing-masing dengan nama panggilan Angkasa 389 ‘Alpha’ dan Angkasa 389 ‘Bravo’ berlepas dari dispersal No 5 Skuadron untuk penerbangan lebih kurang 40 minit ke Kota Kinabalu. Tugasan mereka ialah membawa beberapa anggota untuk tinjauan di Low’s Gully. Angkasa 389 ‘Alpha’ dikendali oleh Kapt Kamarudin bersama Sjn Wan Shaharuddin bin Wan Mat.[7] Pesawat kedua pula, M20-17, dikendali oleh Kapt Mohamad Izhar bin Hassan TUDM bersama Sjn Salleh.[8] Mereka mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada lebih kurang jam 6.30 pagi.

 Kedua-dua kru Alouette III tidak perlu menunggu  penumpang. Penumpang utama, iaitu Mej Jen John Foley (bawah) selaku Komander Pasukan British (Commander British Forces) di Hong Kong sudah berada di situ. Beliau dikerumuni oleh para wartawan. Beliau tiba dari Hong Kong pada 23 Mac 1994. Selaku komander yang dipertanggungjawab oleh ‘Assistant Chief of Defence Staff (Operations),’[9] Tentera Darat British, untuk mengawasi Op Gully Heights, beliau turun padang untuk mengetahui perkembangan operasi dan memberi bantuan jika perlu. Kemudahan untuk beliau membuat tinjauan udara dipermudah, apatah lagi beliau dan Brig Jen Hussin sama-sama alumni Royal Military Academy Sandhurst - ‘Old Boys.’

 Pada mulanya, Kapt Kamarudin ditugas untuk membawa Mej Jen John Foley bersama Lt Kol Tony Schumacher dan Kpl Hugh Brittan. Bagaimanapun, pesawat beliau mengalami masalah. Lantaran itu, ketiga-tiga penumpang menaiki pesawat Kapt Mohamad Izhar. Pesawat berlepas pada lebih kurang jam 6.45 pagi. Mej Jen John Foley memberitahu kapten pesawat yang beliau mahu melihat kedudukan Low’s Gully secara menyeluruh sebelum meninjau jurang tersebut. Ekoran itu, juruterbang mengarah pesawat ke Gunung Kinabalu.

Mej Jen John Foley.  Sumber: FB - Ex-military Services in Brish Hong Kongi

Mej Jen John Foley (kanan) dan Lt Kol Tony Schumacher (belakang) dalam pesawat Kapt Kamarudin sebelum bertukar menaiki pesawat Kapt Mohamad Izhar. Sumber: The Straits Times, 25 Mac 1994

Ekoran itu, juruterbang berlepas terus ke Gunung Kinabalu. Seperti yang dijangka, awan tebal mula menyelimuti puncaknya. Melihat pergerakan awan, silap perkiraan mereka akan terperangkap dalam awan yang bergulung-gulung; bukannya alang-alang punya cabaran.  Justeru, Kapt Mohamad Izhar menaikkan pesawat hampir 14,000 kaki untuk beberapa minit.

 Di ketinggian ini, pengawalan pesawat menjadi ‘sloppy’ - pesawat tidak lagi responsif serta merta apabila mengaplikasi cyclic atau collective cyclic dan collective![10] Sebaik melepasi cabaran ini, juruterbang menurun pesawat di utara gunung. Dari situ, pesawat menyusuri jurang Low’s Gully. Kehadiran mereka disambut:

  “...Dalam sekelip mata, dinding batu di kedua-dua sisi mereka kelihatan seolah-olah sedang bergerak ke atas dengan pantas: satu arus angin turun yang luar biasa, menerjah menuruni jurang, telah menolak mereka ke belakang dan ke bawah.”[11]

 Dalam keadaan begini, Mej Jen John Foley dan kapten pesawat ternampak pancaran cahaya.

*****

Di Kevin’s Cave yang berketinggian lebih kurang 6,400 kaki (1950 meter), sebaik sahaja Mej Foster, L/Kpl Cheung Yiu Cheung (Kevin) dan Pbt Lam Wai Ki (Victor) meletak haversack mereka di atas bongkah batu di tengah sungai pada jam 7.15 pagi, terdengar bunyi yang ditunggu-tunggu. Sebuah helikopter terbang tinggi di atas mereka. Sudah mereka begitu teruja. Lantas, Kevin mengguna alat ‘flash light’ kamera Mej Foster ke arah pesawat. Victor pula mengguna ‘headlamp’ memancar SOS mengguna  ‘morse code.’[12] Lt Kol Robert Neill yang masih berada dalam beg tidur dan Pbt Chow Wai Keung dalam gua, bergegas keluar apabila mendengar bunyi enjin Turbomeca itu. Tetapi pesawat tersebut hilang daripada penglihatan mereka!

Namun, mereka tidak berputus asa. Kelima-lima mereka berada di luar gua penuh dengan harapan mereka akan diselamatkan. Kedinginan angin memaksa Lt Kol Neill dan Pbt Chow masuk semula ke dalam gua.

Lt Kol Robert Neill dalam beg tidurnya di Kevin's Cave.
 Sumber: PW U I I Sandiran a/l Gopal (B)

*****

Kapt Mohamad Izhar membuat pusingan 180º. Tetapi apakan daya. Awan mula menyelimut lokasi pancaran tersebut. Tidak apa yang boleh dilakukan, hanya terbang ke Kpg Bundu Tuhan. Beliau mendapati Kapt Kamarudin yang membawa Flt Lt Richard Mowbray dan Lt Cdr Mike Elesmore (B) berada di situ. Sebaik mendarat, Mej Jen John Foley diberi taklimat oleh PW Alastair Haverson tentang perkembangan pencarian anak buahnya. Mej Jen John Foley memberitahu Ketua MRS mengenai pancaran cahaya .

Sedang taklimat berjalan, Flt Lt Richard Mowbray dan Lt Cdr Mike Elesmore (B) mengambil peluang untuk melaku tinjauan udara di kawasan jurang dan Kpg Melangkap Kappa. Objektif utama Flt Lt Mowbray ialah mengenal pasti lokasi sesuai bagi pembinaan ‘landing point (LP)’ pesawat Nuri berhampiran dasar jurang - kawasan yang masih belum dicapai oleh 16 RAMD.

Untuk melaksana tugasan ini, beliau merancang agar anggota SAS diturun melalui kaedah ‘winching’ daripada pesawat Nuri. Setelah berada di dasar jurang, anggota SAS akan menumbang pokok dengan bahan letupan bagi memboleh Nuri mendarat kemudian. Selain itu, Flt Lt Mowbray turut meninjau lokasi bagi penubuhan markas baharu berhampiran padang bola di Kpg Melangkap Kappa, bersebelahan Markas Taktikal No 16 RAMD.

Seterusnya, si perancang berbincang dengan Kapt Mohamad Izhar yang memberitahunya tiada sebarang halangan. Pesawat dengan empat ‘person on board (POB)’ itu berlepas menuju ke Low’s Gully.

Pada jam 10.20 pagi, deruan enjin yang nyaring akhirnya kedengaran oleh kelima-lima subjek SAR di dasar jurang. Kali ini, Lt Kol Robert Neill masih berada di dalam beg tidurnya, sementara Pbt Chow terlantar lemah akibat sakit belakang dan tidak keluar dari gua. Mej Foster, L/Kpl Cheung dan Pbt Lam yang masih berada di kawasan lapang segera memancarkan cahaya flashlight kamera dan headlamp ke arah langit. Namun, seperti sebelum ini, isyarat mereka tidak dikesan oleh pesawat.

Dua kekecewaan dalam jarak masa yang singkat!

Selesai meninjau dan merakam foto lokasi untuk winching, pesawat mendarat di Kampung Melangkap Kappa. Berdasarkan hasil pemerhatiannya, Flt Lt Mowbray memutus untuk menjadi Dewan Sukan kampung itu sebagai Markas Hadapan SAS. Seterusnya, mereka berlepas pulang ke Kota Kinabalu, melalui ruang udara Low’s Gully. Setelah menurun penumpang dan mengisi semula bahan api, Kapt Mohd Izhar menerus penerbangan ke Kem Lok Kawi untuk bermalam di sana. Hari itu beliau mencatat 4.40 jam.

Sementara itu, Kapt Kamarudin pula berlepas dari Kampung Bundu Tuhan ke Kota Kinabalu bagi menurun tiga penumpangnya. Selepas mengisi bahan api,  berlepas pulang ke Labuan, manakala Flt Lt Richard Mowbray dan Lt Cdr Mike Elesmore (B) bergegas ke Hotel Hyatt, Kota Kinabalu, bagi menghadiri sidang akhbar yang disampaikan oleh Mej Jen John Foley.

Sidang Akhbar

 Dalam sidang akhbar tersebut, Mej Jen John Foley menegaskan bahawa operasi pencarian akan diteruskan walaupun kemajuannya perlahan. Beliau menegaskan: “Kami akan terus mencari selagi harapan untuk menemui mereka yang hilang masih ada.” [13]

Beliau turut mengumum bahawa 12 anggota penyelamat baharu akan diatur gerak ke Low’s Gully dengan serta-merta. Pasukan itu akan memula pencarian dari air terjun di dasar jurang ke kawasan yang telah dicapai oleh penyelamat 16 RAMD.[14]

Mej Jen John Foley dan Brig Jen Hussin semasa siding akhbar. Sumber: Richard Connaughton

 Ketibaan SAS

Jam 10.50 malam - ketibaan 12 anggota SAS dan tiga ‘cave holers’ di Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Mereka disambut oleh antara lain Lt Kol Tony Schumacher, Flt Lt Richard Mowbray, Lt Cdr Mike Elesmore (B) dan Lt Kdr Cliff Williams.

Sebaik melepasi pemeriksaan imigresen, pasukan penyelamat tersebut dibawa terus ke Outward Bound Sabah, kira-kira 18 kilometer dari lapangan terbang. Langkah ini diambil bagi mengelak kehadiran anggota SAS dihidu oleh pihak media. Di situ, Lt Cdr Mike Elesmore (B), yang pernah bertugas di pusat berkenaan, diberi kemudahan untuk menjadikan salah satu ruang sebagai markas kecil operasi.

 Dalam taklimat malam itu, Lt Cdr Elesmore mencadang agar pencarian dilakukan dari bawah ke atas. Kaedah ini, menurutnya, dapat mengurang masalah bekalan, berbeza dengan laluan dari atas yang pernah ditempuhi oleh Lt Kol Robert Neill - yang memerlukan dua hingga tiga hari perjalanan sebelum sampai ke kawasan tumpuan pencarian. Walau bagaimanapun, beliau hanya mampu mencadang, bukan mengarah kerana kini beliau seorang pesara. Namun cadangan itu diterima. [15]

Dengan segala persiapan rapi, para penyelamat akhirnya melelapkan mata, menanti terbitnya fajar - permulaan hari yang bakal menentukan nasib lima anggota yang masih hilang di Low’s Gully.

Tetapi tidak untuk Flt Lt Richard Mowbray dan Lt Cdr Mike Elesmore (B). Tugasan mereka masih belum berakhir. Sebaik taklimat berakhir, mereka merentasi kegelapan malam menuju ke Kpg Melangkap Kappa.[16]

 Bersambung...in sya Allah...

 


[1]              Richard Connaughton. (1996). Descent Into Chaos sebelum ini, hlm. 114.

[2]              Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS. London: Century, hlm. 220; The Straits Times, New team to search for missing soldiers, hlm. 21; Laporan oleh 372076 Lt Gabriel Buja Joel TUDM, The Rescue Mission At Low’s Gully sebelum ini.

[3]              HQ British Forces, Hong Kong, OPERATION GULLY HEIGHTS POST OPERATION REPORT, HK 10002/8 J3 OPS bertarikh 7 April 1994, hlm. 3.

[4]              Lt Kol Zainal Abidin (Bersara). Operasi Menyelamat Low’s Gully sebelum ini, hlm. 63.

[5]              Ibid. hlm. 62.

[6]              Ibid.

[7]              Penjelasan oleh Lt Kol  (B)  Kamarudin bin Hassan TUDM melalui telefon pada 16 Oktober 2025.

[8]              Laksma (M) Dato’ Mohamad Izhar bin Hassan (B), Buku Harian Penerbangan Pemandu.

[9]              HQ British Forces, Hong Kong sebelum ini, hlm. 1.

[10]            Penjelasan oleh Laksma (M) Dato’ Mohamad Ishar bin Hassan (B) melalui telefon pada 16 Oktober 2025.

[11]            Lt Kol Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS. London: Century, hlm. 224

[12]            Ibid. hlm. 115.

[13]            The Straits Times, New team to search for missing soldiers, 25 Mac 1994, hlm. 21.

[14]            Ibid. hlm. 225.

[15]            Lt Kol Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 226.

[16]            Ibid., hlm. 229.