Sambungan dari di SINI
Tinggal dalam kenangan
*****
Kota Kinabalu. Di
Sabah Medical Centre, doktor mengesahkan kelima-lima warga British berada dalam
keadaan stabil dan tiada halangan untuk penerbangan pulang. Dengan kepastian
itu, Lt Kol Tony Schumacher mengatur penerbangan mereka bersama Kpl Hugh
Brittan ke Hong Kong dan seterusnya ke London. Kumpulan SAS turut serta dalam
penerbangan tersebut.[2]
Setiba di lapangan terbang, beberapa tetamu rasmi sudah menunggu, antaranya Brig Jen Hussin bersama stafnya, anggota RAF MRS, Lt Kdr Mike Elesmore (B), dan pegawai Taman Gunung Kinabalu.[3] Dalam sidang akhbar di Bilik Orang Kenamaan, Lt Kol Robert Neill merakamkan penghargaan:
“Saya bagi pihak rakan sepasukan, menyatakan penghargaan kepada semua anggota penyelamat di udara dan darat di atas usaha cemerlang mereka menyelamatkan kami. Ekspedisi itu memberikan cabaran yang dikehendaki dan memenuhi semua kriteria latihan untuk tentera.”[4]
Apabila ditanya mengenai kegagalan ekspedisi mencapai objektifnya, beliau menegaskan bahawa kegagalan itu tidak meluntur hasratnya untuk kembali menawan Low’s Gully suatu hari nanti. Namun demikian, beliau menegas perlaksanaan ekspedisi itu nanti tidak mengguna cara yang sama. Tentang operasi mencari dan menyelamat pula, beliau yakin mereka akan diselamatkan walaupun pencari berhadapan dengan cabaran getir.
Brig Jen Hussin pula mengulas: “Rakyat Malaysia bangga kerana dapat menyelamatkan kelima-lima mereka, meskipun menghadapi kesukaran di kawasan gunung-ganang itu.”[5]
Setiba di Hong Kong, para ‘survivors’ dibawa terus ke British Military Hospital, di mana keluarga mereka sudah menanti. Untuk mengelak gangguan media, pihak tentera mengehad kehadiran hanya kepada lima jurugambar yang dibenarkan berada di siru. [6]
Pada 28 Mac 1994, kesemua 21 anggota RAF MRS pula berlepas dari Kota Kinabalu melalui Kuala Lumpur, dan tiba di London pada 29 Mac 1994.[7]
*****
Penghargaan
Sebagai Komander Bersama operasi, Brig Jen Hussin merakam penghargaannya terhadap dedikasi anggota TUDM yang terlibat dalam melaksana tugasan yang dipertanggungjawab kepada mereka. Kenyataan beliau dan disokong oleh Lt Kol Tony Schumacher selaku wakil Tentera British untuk operasi tersebut:
“Tentera
Udara Diraja Malaysia mengambil risiko yang paling besar yang boleh
dibayangkan. Mereka melaku perkara-perkara yang luar biasa dengan helikopter
mereka.”[8]
Menyentuh peranan Bn 16 RAMD, Panglima 5 BIM itu merakam terima kasihnya kepada anggota yang terlibat dalam operasi tersebut. Beliau mengharap pengalaman tersebut akan dijadikan sebagai pendorong untuk mencapai tahap profesionalisme cemerlang. Beliau menegaskan:
“Tanpa
bantuan dan kesungguhan 16 RAMD adalah sukar untuk kita mengesan dan menjejaki
tentera British yang hilang itu, apatah lagi dengan keadaan persekitaran serta
pohon-pohon yang menghalang penglihatan dari udara.”[9]
*****
Setiausaha Pertahanan Britain, Malcolm Rifkind, menghantar mesej kepada rakan sejawatannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, merakam:
“Tanpa tindakan pantas dan profesionalisme Malaysia, anggota kami mungkin tidak sempat ditemui. Sokongan anda amat dihargai bukan saja oleh anggota terbabit dan keluarga mereka, tetapi juga oleh rakyat United Kingdom.”[10]
*****
Menteri
Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak, merakam kejayaan SAR:
“Kejayaan
misi menyelamat itu mencermin kebolehan dan nilai profesional yang tinggi di
kalangan anggota TUDM khasnya Unit Mencari dan Menyelamat (SAR). Ini adalah
kerana kerja-kerja mencari dan menyelamat di kawasan pergunungan adalah amat
sukar dan merbahaya ditambah lagi dengan keadaan cuaca yang buruk. Ternyata
mereka telah memperlihatkan sikap dan keberanian yang luar biasa.”[12]
*****
Tidak
ketinggalan, Datuk Seri Anwar Ibrahim,
Timbalan Perdana Menteri, memberi penghormatan kepada TUDM di atas kejayaan operasi tersebut
walaupun dalam keadaan yang mencabar. Beliau merakam: “Ini mencerminkan
kecekapan TUDM dan merupakan detik yang membanggakan bagi kita.”[13]
*****
Kerajaan
Britain tidak hanya menghantar surat penghargaan. Melalui Suruhanjaya Tinggi
Britain di Malaysia, Pesuruhjaya Tinggi Duncan Slater mengatur kunjungan hormat
ke atas Brig Jen Hussin pada 31 Mac 1994 untuk menyampai penghargaan rasmi
kerajaan Britain kepada anggota yang terlibat, khususnya TUDM.
Mawilud II (Markas Wilayah Udara) di Kuching mengkoordinasi pergerakan udara. Sebuah Nuri No 5 Skuadron ditugas untuk penerbangan ‘comm flight (communication flight)’ ke Kem Lok Kawi dengan penumpang terdiri daripada dua kru Alouette III (Kapt Mohamad Izhar dan Sjn Mohd Salleh) serta enam anggota CAR. Di PU Kuching pula, sebuah pesawat Cessna membawa Lt Gabriel, Lt Nazhar, F/Sjn Gobiraja dan F/Sjn Sandiran ke Kota Kinabalu.[14]
Pertemuan rasmi diadakan di Wisma Perwira, Kem Lok Kawi. Dalam ucapannya, Duncan Slater berkata:
“Ia
merupakan operasi yang sungguh sukar membabitkan keadaan yang amat rumit.
Bagaimanapun ia dapat dijalankan dengan jayanya. Saya menganggapnya sebagai
pencapaian yang mengagumkan dan kerajaan serta
rakyat Britain ingin menyampaikan terima kasih kepada mereka yang
terbabit.”[15]
F/Sjn Sandiran menunjukkan logo HQ British Forces Hong Kong dalam pesawat Cessna dalam penerbangan balik ke Kuching. Sumber: Koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B)
Imbauan
“Lowe's Gully, to me, is the most profound
experience I have ever had in my life. It seems, a lot of the time, that
nothing happened before the expedition. And not a day goes by but I do not think
of it in one form or another.”[16]
*****
PW Alister Haveron, Ketua RAF MRS:
“Once again, the weather turned and the gully
revealed its true face to those that dared enter it. It was just a hellhole. Some
of them were saying that they had never been in anything like it before and
they just, I mean, the sooner they could get back out of it, the better, but
they did know that there were five people's lives at stake and that we had to
keep pushing on down that gully as far as we possibly could.”[17]
*****
Kol Ghazali Alias (B), mantan Timbalan Panglima 5 BIM:
“Alhamdulillah,
kita yang terlibat keseluruhannya, berjaya menunaikan kewajipan tanpa sebarang
'mishap' anggota dan peralatan. Ianya satu operasi SAR yang mempamerkan
kerjasama mantap, sepadu diantara pasukan TDM, TUDM dan juga UK. Kesinambungan
yang berkesan ini juga sepatutnya menjadi satu teladan dari segi hubungan
diantara dua negara, yang telah lama menjalinkan tali persahabatan di bidang
ketenteraan dan diharap akan berlarutan. A job well done, as the saying
goes!”
*****
Lt Kol Shamsudin bin Sulaiman (B), Lt Kol Zainal Abidin bin Ismail (B), dan Mej Kayum bin Badarudin, mantan pegawai Bn 16 RAMD:
“Operasi
mencari dan menyelamat di Lows Gully ini merupakan suatu operasi yang begitu
hebat dan mencabar. Mengharungi hutan rimba dan merintangi Sungai Penataran
yang berbongkah batu sebesar rumah telah memberikan suatu cabaran yang hebat
kepada kami semua anggota Platun 7, Platun 8 dan Platun UCIS dari pasukan 16
RAMD. Suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Jarak kami sudah hampir
dengan mereka iaitu lebih kurang 2 km sahaja lagi. Walaupun bukan tim kami yang menjumpai mereka,
namun dengan maklumat yang kami berikan sehingga kelima-lima mereka berjaya
ditemui.”
*****
Laksma (M) Dato’ Mohamad Izhar bin Hassan PTU (B):
“Bila
tengok gambar itu, meremang tengkuk teringat masa ‘approach’ masuk bawa rangsum
dan paramedik ke lokasi ‘survivors.’ Macam mana saya masuk dan ‘hover’ untuk menurunkan
paramedik hingga ‘undercarriage’ mencecah bongkah batu pun saya tidak
tahu. Sempit betul tengok gambar ini. Mungkin masa itu adrenalina tengah yang memuncak.”
*****
Brig
Jen Idris bin A. Wahab TUDM, Timbalan Inspektor Jeneral ATM:
“Penerbangan adalah sangat mencabar kerana hanya satu laluan masuk ke kawasan Low’s Gully yang kami temui untuk membolehkan pesawat S61A-4 masuk atas faktor saiz helikopter. Laluan lain ditutupi oleh awan tebal. Semasa penerbangan di dalam kawasan Low’s Gully, updraft dan downdraft bersilih ganti. Pada masa yang sama flight controls menjadi semakin sloppy bila semakin tinggi kami terbang naik. Kami terpaksa keluar dari kawasan Low’s Gully bila hujan menghampiri kawasan tersebut. Kami terjumpa air terjun yang tinggi seumpama air terjun dalam filem Jurassic Park.”
*****
PW U II Che Baharin bin Che Mat (B):
“Saya
on board pada waktu itu. Hairan tidak terfikir takut, mungkin agak darah
muda. Cuba waktu sekarang...mampu pandang dan dengar sajalah.”
*****
F/Sjn Mohd Salleh bin Shariff (B):
“Kalau
diingatkan kembali, memang ‘daring’ ke lokasi yang sempit untuk
menyelamatkan ‘survivors.’ Syabas dan tabik buat pilot dan kru termasuk
pasukan lain yang terlibat. Tiada ‘task’
yang mencabar selain Low's Gully ini.”
*****

[1] Lt Kol Zainal Abidin (Bersara). Operasi
Menyelamat Low’s Gully sebelum ini, hlm. 66.
[2] Richard Connaughton. (1996). Descent
Into Chaos sebelum
ini, hlm. 123.
[3] Ibid. hlm. 248.
[4] Berita Minggu, Neil mahu tawan Gunung
Kinabalu, 28 Mac 1994, hlm. 11.
[5] Ibid.
[6] Lt Col Robert Neill & Major Ron
Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 250.
[7] Emel daripada PW Alister Haveron pada 8 November 2025.
[8] Richard
Connaughton. (1996). Descent Into Chaos sebelum ini, hlm. 115.
[9] Koleksi keratan
akhbar Lt Kol
Zainal Abidin (B) bertajuk Pengorbanan anggota Tentera British mengharumkan nama
negara
tanpa nama, tarikh, dan halaman.
[10] Berita minggu, London hargai bantuan ATM, 29 Mac
1994, hlm. 1.
[11] Utusan Malaysia, Keberanian
anggota TUDM dapat pujian, 28 Mac 1994, hlm. 6.
[12] Ibid.
[13] Koleksi keratan akhbar F/Sjn Mohd
Salleh bin Shariff (B) bertajuk Well done, Anwar tells air force tanpa
nama, tarikh, dan halaman.
[14] Maklumat daripada PW I Gobiraja a/l
Ayayoo (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 28 November 2025.
[15] Sabah Time, Britain ulangi penghargaan kepada Malaysia,
1 April 1994.
[16] Petikan kata-kata Lt Kol Robert Neill dalam filem dokumentari selama 5.48 minit terbitan ITN Factual Production for Channel Four.
[17] Petikan kata-kata PW Alister Haveron dalam filem dokumentari selama 5.48 minit terbitan ITN Factual Production for Channel Four.








Tiada ulasan:
Catat Ulasan