Pengikut

Jumaat, 28 November 2025

SAR Low's Gully: "Jangan masuk...jangan masuk"

Sambungan dari  di SINI

Medevac

Sabtu, 26 Mac 1994/15 Syawal 1414H

Jurang Low’s Gully. Selepas stand to, Platun No. 8 dan UCIS meneruskan rutin pagi seperti biasa di dasar jurang. Mereka kini menunggu arahan selanjutnya daripada Markas Taktikal 16 RAMD.

Kevin’s Cave. Sinaran sang suria pagi amat melegakan. Sepanjang malam, LUK Mohd Noh dan LUK Aris hampir tidak dapat tidur kerana kesejukan yang menikam tulang.[1] Mereka tidak perlu risau tentang sarapan pagi; L/Kpl Cheung Y.K. dan Pbt Chow W.K. telah menyediakannya. Seusai makan, mereka berehat di atas bongkah-bongkah batu sambil menunggu ketibaan pesawat Nuri.

 L/Kpl Cheung Y.K. menunggu ketibaan 'Talian Hayat. 
 Sumber: Koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B)

Dari kiri: Pbt Chow W.K., Mej Ron Foster, LUK Mohd Noh, L/Kpl Cheung Y.K. 
Sumber: Koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B)

LUK Mohd Noh (kiri) dan Wings (paramedik SAS) di luar Kevin's Cave. 
Sumber: Koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B)

Kem Lok Kawi. Sekitar jam 5.30 pagi, selepas bersarapan, kedua-dua kru Nuri dan Alouette III melaksana pemeriksaan ke atas pesawat massing-masing di padang kem. Seperti hari sebelumnya (25 Mac), Lt Kol Yahya dan Mej Dr Shamsuddin bersama tiga anggotanya menaiki Nuri. Peranan Alouette III pada hari itu siap siaga mengambil alih tugasan Nuri sekiranya pesawat tersebut menghadapi masalah teknikal.

Selesai pemeriksaan, kedua-dua pesawat berlepas ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu untuk mengisi bahan api sebelum menerus penerbangan ke Kg. Nahandang Melangkap pada jam 6.22 pagi[2] dan mendarat lebih kurang jam 6.35 pagi.

 Dari kampung itu, Gunung Kinabalu tersergam jelas; keadaan yang ideal untuk melaksana sorti ke Kevin’s Cave. Menyedari baki bahan api yang terhad serta keperluan mengeluar enam anggota dari lokasi tersebut, Lt Gabriel memaklum kepada CO 16 RAMD dan Mej Dr Shamsuddin bahawa beliau tidak dapat membawa mereka dalam sorti ini. Pada jam 6.45 pagi, pesawat berlepas bersama empat anggota CAR, sementara Kapt Mohamad Izhar kekal di kampung itu.

*****

Pengalaman operasi pada hari sebelumnya banyak membantu. Kapten pesawat menerbangkan Nuri terus ke Kevin’s Cave. Dalam keadaan terapung, F/Sjn Gobiraja menurunkan kabel hoist. Sebaik sahaja kabel mencecah batu, LUK Aris menyarung NATO strop pada Pbt Chow W.K., manakala beliau sendiri mengguna ‘bosun chair’ sebelum memberi isyarat untuk hoist dinaikkan. Setelah kedua-duanya selamat berada dalam pesawat, proses yang sama diulang - kali ini giliran Mej Ron Foster dan L/Kpl Cheung Y.K.

Mej Ron Foster turun dari M23-09. Sumber: Koleksi F/Sjn  Mohd Salleh bin Shariff (B)

Mej Ron Foster dikerumini penduduk Kpg Nahandang Melangkap.  
 Sumber: Koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B)

Demi keselamatan, kesemua mereka terpaksa meninggal haversack masing-masing. Menyedari hakikat ini, Mej Ron Foster membawa dokumen dan alatan paling penting - pasport, diari, dan kamera video.[3]

Tidak lama kemudian, kedua-dua lampu amaran bahan api - FWD FUEL LOW dan AFT FUEL LOW - kembali menyala serentak. Lt Gabriel segera membuat keputusan RTB (return to base), meninggalkan LUK Mohd Noh dan Wing. Pesawat mendarat pada jam 7.10 pagi.

Para subjek pencarian turun dari pesawat disambut anggota keselamatan dan seterusnya dibawa ke dewan sukan untuk pemeriksaan oleh Mej Dr Shamsuddin dan Mej Dr Andy Williams.

Dengan enjin tidak dimatikan, kedua-dua AQM dengan bantuan anggota CAR mengisi bahan api daripada beberapa dram 44-gelen. Untuk sorti berikutnya, kapten pesawat menawar tempat kepada Lt Kol Yahya, Mej Dr Shamsuddin dan tiga anggotanya. Sjn Mohd Salleh turut mengambil peluang untuk turut serta.

*****

Walau bagaimanapun, sorti kali ini tidak semudah yang pertama. Ketika memasuki jurang, sistem ‘Doppler’ gagal memberi bacaan hanyut (drift) dan angin lintang (cross wind). Dalam keadaan begini, kapten pesawat perlu mengawal pesawat semasa terapung dengan penuh berhati-hati - sebarang hembusan angin yang tidak dijangka boleh menolak pesawat ke dinding granit.

Bagaimanapun kekangan itu tidak mematah semangat Lt Gabriel. Selari dengan tradisi tentera, ‘tiada siapa yang ditinggalkan/leave no one behind, beliau bertekad menyempurna misi yang masih belum selesai. Tambahan pula, cuaca selepas ini tidak dapat diramal. Berbekal pengalaman sebelumnya, beliau bertekad untuk meneruskan misinya. Lantaran itu, beliau mengolah gerak pesawat terapung di atas Kevin’s Cave dalam keadaan ‘downwind.’[4] Beliau bergelut bagi mengekal kestabilan pesawat.

F/Sjn Gobiraja menurunkan kabel yang amat dinanti oleh kedua-dua paramedik. Sebaik kabel mencecah bongkah batu, LUK Mohd Noh dan Wings[5] dinaikkan. Setelah mereka selamat berada di dalam pesawat, kapten menaikkan collective sambil menolak cyclic dan keluar dari kawasan itu menuju pangkalan hadapan. Pesawat mendarat pada jam 8.27 pagi.[6]

Penyelamat bersama yang diselamat di Kpg Nahandang Melangkap. Dari kiri: Lt Gabriel, Pbt Chow W.K.,LUK Mohd Noh, L/Kpl Cheung Y.K., LUK Wan Mustafa, LUK Che Baharin, F/Sjn Sandiran, Sjn Mohd Salleh. Sumber: Koleksi F/Sjn  Mohd Salleh bin Shariff (B)
*****

Namun bagi Lt Kol Yahya, tugas belum selesai. Tiga anggota Platun No 8 yang cedera perlu dibawa keluar segera. Beliau meminta Lt Gabriel melaku satu lagi penerbangan medevac. Kapten pesawat bersetuju.

CO segera menghubungi Lt Zainal Abidin. Beliau memaklum perkembangan terkini. Selain itu, beliau mengarah mereka mencari lokasi yang sesuai untuk memudah kru menaik anggota-anggota tersebut melalui kaedah winching. Ketua Platun diingat supaya menembak suar bagi membantu kru Nuri mengenal pasti kedudukan mereka.

Selesai perbualan, Ketua Platun mengarah Sarjan Platun, Kpl Zulkifli bin Ahmad, mencari tapak yang sesuai. Beliau membawa beberapa anggota keluar dari kawasan penempatan. Lokasi yang dilihat paling berpotensi ialah di tebing sungai yang mengalir deras, dikelilingi pokok-pokok tinggi dan bongkah batu besar di kedua-dua tebing.[7]

 Tepat jam 9.30 pagi,[8] Nuri berlepas bersama enam anggota CAR dan Lt Kol Yahya menuju lokasi. Mendengar deruman enjin ‘Talian Hayat, Lt Zainal Abidin melepas pistol ‘Very.’ Sebaik melihat cahaya suar itu, Lt Gabriel mengolah gerak pesawat untuk terapung lebih kurang 200 kaki[9] di lokasi tersebut. Kali ini, giliran LUK Wan Mustafa diturunkan. Sebaik mencecah bumi, beliau mendapati L/Kpl Mohd Azlin  sukar untuk bergerak. Lantaran itu, beliau menyedia L/Kpl Zulkifli dan Pbt Zulkifli untuk dinaikkan dahulu. Apabila mendarat isyarat daripada LUK Wan Mustafa, F/Sjn Gobiraja memula proses menaik mereka berdua. Seterusnya, anggota CAR tersebut membantu L/Kpl Mohd Azlin dinaikkan.[10] Pesawat berlepas ke Kpg Nahandang Melangkap dan mendarat dengan selamat pada jam lebih kurang 10.15 pagi.[11] Ketiga-tiga anggota 16 RAMD diturun di situ.[12]

LUK Wan Mustafa memegang L/Kpl Mohd Azlin dinaik melalui kaedah 'winching.' 
 Sumber: Koleksi Kpl Wan Mustafa bin Wan Yusoff  (B)

Kapt Gabriel tidak memati enjin pesawat. Beliau perlu menghantar tiga anggota British itu ke Sabah Medical Centre dengan segera. Ekoran itu, proses mengisi semula bahan api dilaksana melalui kaedah ‘running refuelling.’ Di waktu yang sama, mengarah tiga anggota British terbabit dan anggota perubatan menaiki pesawat. Selesai pengisian, Nuri berlepas semula dan mendarat di hospital pada jam 10.55 pagi[13] diiringi oleh Alouette III.

Sebaik enjin Nuri dimatikan, berpusu wartawan menghampiri pesawat. Kedua-dua kru pesawat mengambil peluang untuk melawat Lt Kol Robert Neill dan Mej Ron Foster:

 Two visitors whom Neill and Foster were especially delighted to welcome were Gabriel Joel (by now known as ‘the Archangel Gabriel’) and Michael Izhar, pilot of the Alouette...”[14]

Berita Minggu, 27 Mac 1994. hlm. 1.  Sumber: Koleksi Koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B)
Pemberita di Sabah Medical Centre.  Sumber: Koleksi F/Sjn  Mohd Salleh bin Shariff (B)

*****

Di Kpg Nahandang Melangkap, tiga anggota yang cedera diberi rawatan awal oleh Kapt Dr Harcharan Singh. Seterusnya mereka dihantar ke RSAT (Rumah Sakit Angkatan Tentera) di Kem Lok Kawi dengan ambulans yang sudah berada di situ.[15]

*****

Dari parkir kereta hospital swasta itu, kedua-dua pesawat segera berlepas ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu untuk mengisi bahan api sebelum menerus penerbangan ke Labuan. Setibanya di Labuan, Lt Gabriel menaksi pesawatnya ke dispersal Pergerakan Udara, manakala Kapt Mohamad Izhar menghala ke kawasan No 5 Skuadron. Usai memati enjin pesawat, Lt Gabriel bersama kru dan anggota CAR bergerak ke pejabat Detasmen Flait SAR di Bangunan Pergerakan Udara bagi menerus tugasan hakiki mereka - berada dalam keadaan siap siaga untuk combat air rescue. Tugasan Lt Gabriel dan kru berakhir pada 29 Mac 1994 apabila pengganti mereka tiba dari Kuching mengambil alih detasmen.

Bagi hari itu, 26 Mac 1994, kru Nuri mencatat 4 jam 40 minit penerbangan,[16]  manakala kru Alouette III pula mencatat 2 jam 30 minit penerbangan.[17]

Dengan pendaratan Rescue 08 (Nuri) dan Angkasa 389 Bravo (Alouette III) di PU Labuan, maka berakhirlah penglibatan TUDM dalam Op SAR Low’s Gully – satu penglibatan yang terbukti amat signifikan. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa operasi ini merupakan antara operasi SAR paling epik yang pernah dilaksanakan oleh TUDM: satu operasi yang kompleks, berisiko tinggi, dan menampil kemampuan, keberanian serta profesionalisme warga TUDM pada tahap yang paling cemerlang.

 Bersambung...in...sya...Allah...



[1]              Maklumat daripada Kpl U Wan Mustafa bin Wan Yusoff (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 15 November 2025. Menurutnya, LUK Aris mencerita pengalamannya semasa bermalam di Kevin’s Cave.

[2]              Laporan oleh 372076 Lt Gabriel Buja Joel TUDM, The Rescue Mission sebelum ini, hlm. 3.

[3]             Ibid.; Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 245.

[4]             Ibid.

[5]              Ibid., hlm. 234.

[6]             Ibid.

[7]            Catatan harian Kpl U Wan Mustafa bin Wan Yusoff (B) sebelum ini.

[8]           Laporan oleh 372076 Lt Gabriel Buja Joel TUDM, The Rescue Mission sebelum ini, hlm. 3.

[9]             Ibid.

[10]              Penjelasan oleh Sjn Mohd Azlin bin Saliman (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 25 November 2025.

[11]             Laporan oleh 372076 Lt Gabriel Buja Joel TUDM, The Rescue Mission sebelum ini, hlm. 3.

[12]            Penjelasan oleh Sjn Mohd Azlin bin Saliman (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 25 November 2025.

[13]           Laporan oleh 372076 Lt Gabriel Buja Joel TUDM, The Rescue Mission sebelum ini, hlm. 3.

[14]           Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 232.

[15]            Penjelasan oleh Sjn Mohd Azlin bin Saliman (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 25 November 2025.

[16]           Kapt Gabriel Buja Joel PTU TUDM, Buku Harian Penerbangan Pemandu.

[17]           Laksma (M) Dato’ Mohamad Izhar bin Hassan PTU (B), Buku Harian Penerbangan Pemandu.


Tiada ulasan: