Followers

Sunday, September 6, 2009

Destinasi.....Bangladesh


Senario.......sebuah nuri dalam keadaan 'standby' untuk penerbangan VVIP dari 23 Oktober hingga 28 Oktober, 1980 di perkarangan Pejabat DYMM Sultan Pahang, Pekan. Saya diarahkan untuk standby dari awal pagi hingga lewat petang. Pada salah satu hari tersebut, saya dikejutkan dengan secara tiba-tiba Bos No 1, PTU, muncul di dalam nuri.

'Nor...bila nak pergi ke Bangladesh?' beliau bertanya. 'Bangladesh? Buat apa, Dato'?'....secara jujur saya tidak tahu apa yang beliau cakap.

'You're going to staff college there' jawapan beliau. Saya betul-betul tergamam kerana tidak terlintas difikiran bahawa saya telah dipilih untuk mengikuti kursus tersebut. 
Pada 28 November 1980, secara  rasminya saya menerima mesej dari DTU untuk membuat persiapan sebelum berangkat ke Bangladesh. Kursus sebenar bermula pada 2 Mac hingga 26 Dis 1981. Untuk melayakkan famili ikut bersama, tempuh kursus mesti melebihi 1 tahun. Untuk tujuan ini, saya akan hadir untuk 'pre-course attachment'. Sebenarnya saya tidak memerlukan attachment ini kerana saya pergi bersendirian. Tetapi ATM mengambil kira keperluan anggota-anggota lain yang berhasrat untuk membawa famili bersama.

Saya diberitahu saya tidak layak menerima elaun untuk pakaian musim sejuk.......sebabnya? Bangladesh terletak di bawah Tropic of Cancer, jadi cuaca di sana macam Malaysia......! Itulah jawapan oleh pihak berkaitan (Garisan ini sebenarnya merentasi negara Bangladesh). Perkara ini telah saya bawa kepada pengetahuan pegawai atasan untuk dipertimbangkan. Nasib berpihak kepada saya kerana beliau adalah mantan Ketua Skn semasa saya di No 3 Skn. Dapatlah saya elaun pakaian tersebut........

Nak tahu berapa elaun seberang laut pula? Lebih kurang RM230 sahaja........sebabnya? Kos kehidupan di Bangladesh adalah rendah. Pada pengiraan pihak berkuasa, jumlah ini cukup untuk menampung keperluan saya di sana! Elaun Sabah/Sarawak lebih banyak - RM10 sehari ketika itu.

Terbanglah ke Dacca dengan pesawat 707 'Biman' Airlines pada penghujung Disember 1980.



Saya ingatkan saya bersendirian dari ATM mengikuti kursus tersebut. TDM turut menghantar seorang mejar,  Mej Pakwan Chik Hashim. Beliau membawa keluarganya, termasuk anaknya, bekas pengacara program 'Majalah 3', Puan Nozie -  masih kanak-kanak lagi ketika itu. Beliau adalah pegawai TDM kedua mengikuti kursus ketiga di 'Army Wing'.








Saya pula mengikuti kursus kedua di 'Air Wing' dan adalah pegawai TUDM pertama dihantar ke sana dan pegawai asing pertama menghadiri kursus tersebut. Kira pioneer jugalah.....




 

Seramai 7 orang pegawai asing mengikuti kursus tersebut; 2 dari Malaysia, 2 dari UAE dan seorang masing-masing dari Arab Saudi, Kenya dan Zambia.

DSCSC ditubuh pada 1979. 'Chief Instructor (CI)' dipinjam dari 'Royal Engineer, British Army' dan 'Senior Instructor (SI) untuk Air Wing dari RAF. SI ketika itu ialah Gp Capt Reekie dan pernah berkhidmat di Labuan sebagai pilot 'Hunter' - kalau tak silap saya. Kursus ini adalah 'carbon copy' maktab turus di Bracknel, UK. Semua perancangan berlandaskan kepada senario di UK.   
 
Saya tinggal di Mes Pegawai manakala Pakwan Chik di rumah kelamin. Sudah pasti masakan bukan selera kita orang Malaysia. Mujurlah Pakwan ada. Isteri beliau, Puan Puteh, suka memasak dan kerap kali menjemput saya makan dirumah beliau. Sempena bulan Ramadan ini, mengingatkan saya semasa berpuasa di sana. Semasa berbuka, saya dihidangkan dengan dua-tiga biji buah tamar, sedikit jagung mentah dan bawang besar yang sudah dihiris. Terdiam buat seketika. Apabila ditanya, hidangan lengkap selepas solat magrib. Pakwan telah mengadakan 'Rumah Terbuka' semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri. Beliau turut menjemput siswa-siswi Malaysia di IPT. Mereka turut membantu Puan Puteh menyediakan sate, ketupat, rendang, dan sebagainya. Keluarga Pak Arab tidak meraikan hari lebaran seperti kita.

Untuk makluman, ramai warga Malaysia menuntut didalam bidang perubatan di Bangladesh. Kebanyakan mereka ditaja oleh 'parent scholarship'. Kos memang murah ketika itu; hanya RM200 sebulan sudah mencukupi untuk perbelanjaan, termasuk sewa bilik di universiti. Yuran pengajian pun memang murah. Bukan semua kelulusan universiti diiktiraf oleh MMA dan kerajaan Malaysia. Apa yang mereka buat untuk mengatasi masalah ini? Mula-mula mereka masuk mana-mana IPT yang menerima kelayakan mereka sehingga tahun ketiga, selepas itu bertukar ke IPT yang diiktiraf, seperti Universiti Dacca, Universiti Chittagong. Bijak, bukan?

Untuk solat Jumaat pula, ada sebuah surau berdekatan dengan mes. Selepas Imam membaca surah Al-Fatiha, seperti biasa, saya pun '......aaamin' - keseorangan!  Alamak....saya terlupa  yang mereka bukan dari mazhab Shafie.

Semasa cuti sekolah, isteri saya telah terbang ke Dacca selama seminggu. Komandan membenarkan beliau tinggal bersama saya di mes, termasuk makan.  Pak Arab meminjamkan tv untuk beliau menonton semasa saya menhadiri kuliah.

Gambar semasa menghadiri perjumpaan isteri-isteri di dewan Kolej. Tiga dari kiri ialah Puan Puteh. Pertama dari kanan ialah isteri saya.

Untuk melepas rindu dengan isteri di Kuantan, saya kerap menalipon beliau. Masa itu mana ada e-mel atau hand-phone. Kos panggilan.....melangit mahalnya. Masalahnya ialah bukan mudah untuk membuat panggilan- kena 'book' dan  terpaksa menjerit sehingga semua penghuni mes tersentak daripada  mentelaah untuk kuliah keesokan hari. Mana tidaknya, panggilan dari Kuantan atau Dacca akan melalui Singapura dan, ada masanya, Hong Kong! Tarak percaya ka? Sekarang? Sungguh canggih teknologi komunikasi dewasa ini.....!

Satu pagi di hujung minggu, saya telah pergi ke Gulshan, kawasan elit dimana terdapat pejabat Pesuruhanjaya Malaysia. Saya hairan melihat pekedai-pekedai tergesa-gesa menutup kedai mereka dan kenderaan berkurangan. Apa lagi......ambil tut-tut balik ke kolej. Penuntut-penuntut Tentera Darat Bangladesh yang tinggal bersama saya di mes juga tidak kelihatan. Apabila ditanya, Pegawai Bertugas memberitahu bahawa Presiden Zia telah ditembak mati. Kalau tak silap saya, kerajaan telah mengistihar darurat di seluruh negara.......terlupa berapa hari kolej ditutup. Saya pernah berjumpa pegawai yang dituduh sebagai  'konspirator', kalau tak silap Mej Jen Manzur, semasa kami melawat Divisyen beliau di Chittagong. Beliau turut terbunuh.

Apa yang tak boleh saya padam dari ingatan ialah bagaimana susahnya rakyat Bangladesh menyara hidup. Dari kecil lagi mereka terpaksa bekerja. Anda bayangkan.......ditepi jalan kelihatan seorang ibu dengan dua-tiga anak kecil mengadap longgokan batu-bata. Bersarung tangankan tiub basikal dan tukul, siibu akan memecahkan batu-bata. Anak-anak akan mengumpul pecahan tersebut. Ini adalah bahan untuk membina jalan raya. Banyak lagi peritan hidup yang saya lihat.

Terima sijil daripada Presiden Sattar pada 23 Disember, 1981
(maaf, tanda tangan Komandan tidak kelihatan)

Selepas tamat upacara  penganugerahan sijil, malam itu juga saya telah terbang balik ke Malaysia - transit di Bangkok. Selamat sampai di Kuala Lumpur pada 24 Dis 81. Sebelum kursus tamat, saya telah diberitahu bahawa saya ditukar ke Labuan sebagai Ketua No 5 Skn. Saya memberitahu isteri untuk beliau membuat persiapan. Pembaca.......isteri saya seorang pakar dalam bidang mengemas barang-barang untuk berpindah. Kotak-kotak dari plywood bersusun dalam bilik stor. Cakap saja.......semuanya beres. Semuanya dibuat 'single-handedly'.

Saya banyak-banyak bersyukur kepada Allah s.w.t kerana melimpahkan rahmat kepada saya dan negara Malaysia tercinta ini. Sayang sekali sekiranya ada rakyat yang 'take for granted' apa yang ada pada mereka.  Rakyat negara asing sanggup berhijrah ke Malaysia semata-mata untuk keluar dari kemiskinan. Kita di sini................?

Untuk Kol (B) Pakwan dan Puan Puteh, sekiranya anda membaca coretan ini.......TERIMA KASIH.

No comments: