Followers

Monday, September 14, 2009

Sehari Dalam Kehidupan Seorang Pilot

Kali ini, nak merapu sikit. Baru sahaja habis tarik troli 9 lubang dengan 2 orang member. Walaupun bulan puasa, setiap pagi kami tetap main golf, malah tahun-tahun sebelum ini, kami bermain 18 lubang. Puasa tahun ini, 2009, agak letih sikit - maklumlah, umur dah menjangkau 60 tahun!

Membaca semula rencana 'I REMEMBER WHEN.....' (tak jemu-jemu membacanya, maklumlah, pertama kali melihat gambar dalam surat khabar) mengingatkan saya rutin seharian sebagai kapten helikopter nuri..... di era saya semasa aktif melakukan tugas penerbangan. Pada saya, semasa menjadi kapten pesawat nurilah yang sungguh memuaskan sebagai seorang pilot, terutama di No 3 Skn. Mana tidaknya, selama berkhidmat hampir 3 tahun di sana, hanya sekali menjadi 'Pegawai Bertugas', sekali menghadiri 'Mess Night', dan tidak pernah terlibat dalam sebarang 'parade'. Tugas hanya...terbang...terbang!  Mungkin, keadaan sekarang sudah banyak berubah mengikut peredaran zaman, wallahualam..... Malah, No 3 Skn telah berpindah ke bangunan baru.

Sebagai pilot, tugas saya hanya terbang sahaja....tiada urusan pentadbiran yang perlu dilakukan. Itu tugas eksekutif, iaitu Ketua Skuaderon (KS), Flight Commanders (FC) dan Training Officer (TO). Secara ringkasnya, FC menentukan siapa yang ditugaskan untuk penerbangan operasi manakala TO menentukan pilot-pilot melakukan MCT (monthly continuation training). Semasa mula berkhidmat dengan TUDM, setiap pilot nuri diberi 5 jam sebulan untuk MCT. Peruntukan ini dikurangkan kepada 3 jam pada akhir 70'an.

Ruang pejabat? Mana ada untuk aircrew. Hanya KS mempunyai pejabat; FC dan TO berkongsi pejabat. Jawatan rasmi saya semasa di No 3 Skn ialah Timbalan FC (Nuri).....nama ada sikit glamor tapi meja pun tiada. Kelebihan yang diberi ialah saya boleh 'authorize' penerbangan nuri. Tetapi ini semua bukannya satu masalah bagi saya; tak kisah pun! Ketika mula berkhidmat di No 3 Skn, KS masih berpangkat Mejar sahaja. Pilot berpangkat Lt Muda hingga Kapten; AQM berpangkat Sarjan hingga WO2 (seorang sahaja). Saya berkhidmat di bawah 3 KS. Pengganti KS pertama dan seterusnya berpangkat Lt Kol (U).

Jadi, dimana kami - baik aircrew nuri atau Alouette - melepak? Dimana lagi...... Bilik Anak Kapal atau lebih dikenali.....

'Crewroom'

Crewroom di No 5 Skn. Lawatan pilot dari Tentera Udara Diraja Brunei

Di sinilah kami manghabiskan masa sekiranya tiada tugas penerbangan. Apa yang ada di crewroom hanyalah kerusi dan meja rotan (government issued). Dan, dengan kemahiran aircrew sendiri, dibuat 'bar' (jangan pandang serong ya - mana ada jual minuman keras). Semua penghuni club eklusif ini dikenakan caj bulanan 'coffee swindle' untuk membeli nescafe, gula dan susu. Sekarang baru anda tahu mengapa pilot nuri jadi penagih nescafe, macam saya ni.....Minumlah kami sehingga mabuk dengan kopi dari pagi hingga petang. Untuk meluangkan masa, ada yang baca surat khabar/majalah, main chess, scrabble, carrom tetapi tiada tv. Bagaimana pula aroma dalam crewroom dengan sebilangan besar pilot dan AQM memakai flying suits dan asap rokok berkepul-kepul macam chimney? Tak tahu lah saya......dah sebati. Masa itu mana ada 'Ambi Purr'.

Isteri saya ada menceritakan yang guru tiada pejabat sendiri kecuali Pengetua dan guru-guru kanan. Jadi, cikgu-cikgu, anda sekurang-kurangnya ada juga meja dan kerusi di Bilik Guru. Kami dengan kerjaya yang penuh glamor ni, apa pun tiada.....!

Yang menjadi hak kami ialah......lockers! Setiap pilot diberi locker untuk menyimpan 'flying suit, helmet, boots', navigation bag, atau apa-apa yang anda sukalah. Bau di sini boleh tahan juga......mujurlah kebanyakan kami mengguna 'ubat gegat' (mothballs).

Sebagai kapten nuri, anda ada co-pilot untuk menyediakan 'Flight Plan' dan apa-apa yang perlu sebelum penerbangan. Berlari-larilah hamba Allah tu....saya sendiri telah melalui liku-liku ini hampir 2 tahun sebelum menjadi kapten pesawat. Beliau dan AQM 'terpanggil' untuk memanjat nuri bagi melihat minyak enjin, keadaan rotor blades, dan sebagainya.....biasalah tu! Kapten pula, pergi ke Bahagian Kejuteraan untuk mengesahkan penerimaan pesawat. Tanda tangan sahaja.....anda bertanggungjawab keatas pesawat dan crew/penumpang. Kesilapan anda membuat keputusan mungkin mengakibatkan.... ANDA DAN MEREKA.... 'HANYA TINGGAL DALAM KENANGAN'!

Kalau tak silap saya, ada satu filem menayangkan isteri seorang pilot pesawat pejuang menghantar suami beliau ke skn dan melambai tangan semasa sisuami terbang. Dan diiringi dengan lagu 'Kau Di Awan Biru' (lebihkurang macam tu lah)....... sungguh romantik! Sudah pasti, ini tak berlaku pada saya atau mana-mana pilot nuri. Tak tahulah kalau senario ini dipraktik oleh famili pesawat pejuang.......Jangan marah!

Saya tinggal di rumah kelamin sepanjang berkhidmat dalam TUDM. Setiap hari hanya menaiki 'kapcai' sahaja. Semasa mula-mula berkhidmat di No 10 Skn, TUDM Kuantan, kapcai saya mengumpul banyak jam penerbangan. Mana tidaknya, sekiranya membuat detachment di Butterworth, kapcai dibawa bersama bagi memudahkan saya memecut ke Pulau Pinang (PP); ketika itu PP masih Bebas Cukai.

Sebelum berakhir waktu kerja, kami akan ke Bilik Operasi untuk melihat siapa kena loteri - ditugas untuk penerbangan keesokan hari. Sekiranya masa berlepas jam 0700, kami mesti berada di pesawat sekurang-kurangnya 1 jam sebelum waktu berlepas terbang; jam 0600 dah ada di Skn. Semasa Operasi Selamat Sawadee, si burung nuri ini kerap balik kesarang di waktu malam. Adakalanya, kami terpaksa menghantar 'casevac' ke Lapangan Terbang Bayan Lepas kerana tidak dapat mendarat di Hospital Pulau Pinang disebabkan kegelapan. Mendarat di Skn jam 2000 sudah menjadi kebiasaan.....no big deal. Jam 0800 keesokan hari.....terpacak di Skn. Sungguh dedikasi kami semua di waktu itu....he....he.

Teringat saya satu peristiwa di TUDM Kuantan. Ketua Cawang Penerbangan (KCP) telah menunggu di Bilik Pengawal untuk memerhati waktu pilot dan AQM masuk Pengkalan. Ramai dari aircrew No 10 Skn tiba lewat - terdapat kami masuk kerja jam 1000. Apa lagi, beliau telah 'menjemput' Bos saya ke pejabatnya untuk membincang tentang tahap disiplin kami. Nak tahu apa jawapan Bos?..... Aircrew masuk ke Pengkalan jam 0600 dan nuri mendarat jam 1800 tiada beliau ambil tahu.....sudah tentu kami layak datang lambat. KCP mungkin atau sengaja 'terlupa' arahan ASI (Air Staff Instruction - betulkan saya kalau tersilap) bab 'Crew Duty Time'. Semenjak itu, KCP meletak jawatan 'Pengawal'.

Untuk keistimewaan ini, kami diberi elaun penerbangan (EP). Untuk makluman, EP semasa mula-mula saya menerima 'sayap' ialah RM350. Beberapa tahun kemudian naik ke RM550. EP terakhir sebelum mengucap sayonara kepada TUDM pada 1992 ialah RM880. Nak tahu berapa EP semasa.......?

  • Juruterbang (Instructor) - RM4,000
  • Kapten pesawat - RM3,500
  • Co-pilot - RM2,500
 Wow......

Pemuda dan pemudi, jangan lepas peluang keemasan ini........macam buat 'recruitment drive' pula! TUDM kena bayar elaun nampak gayanya.....

Aircrew......adakah keadaan masih sama ke?

1 comment:

Capt Pepatung said...

Salute and respect to you Sir.. Moga menjadi panduan kepada juruterbang baru dan yang ingin menjadi seperti Tuan..
Entry yg simple tapi sangat menarik..keep it up sir..! Cant wait for next entry..after golf session,off course..haha