Sambungan dari SINI (klik)
Sesi indoktrinasi
“...34 pucuk senjata, antaranya sepucuk meriam katak, empat pucuk mesingan ringan, 12 pucuk senapang Sten, sepucuk carbine, 14 pucuk raifal, sepucuk pistol buatan Kanada dan sepucuk pistol isyarat. Selain itu, mereka juga merampas 29 butir peluru meriam katak, 32 butir bom tangan, sembilan butir bom asap, 3,000 butir lebih peluru berbagai jenis, lapan bilah benet, 33 buah haversack…”[1]
Itu dakwaan Abdullah CD tanpa sebarang pengesahan daripada mana-mana pihak berkuasa. Kecuali 33 haversack (26 anggota Platun No 12 termasuk seorang SC sebagai juru pandu dan tujuh anggota SC), dakwaan jumlah ‘29 butir peluru meriam katak’ dipertikaikan. Meriam katak/mortar dan Bren gun memainkan peranan sebagai senjata bantuan platun di bawah Detasmen Mortar dari Seksyen Bantuan yang ditumpang daripada Kompeni. Kebiasaannya, satu platun membuat tugasan operasi dalam hutan bawa enam butir bom mortar; 18 butir bom mortar untuk tiga platun. Bom-bom itu dibawa oleh dua orang kru mortar. Jika ada keperluan membawa lebih daripada jumlah itu, tugasan membawa bom-bom itu diagih kepada lain-lain anggota dalam kumpulan Markas Platun. Ini akan membebankan anggota terbabit disebabkan tambahan yang terpaksa dipikul; berat sebutir bom mortar lebih kurang 1.02 kg (HE). Anggota Seksyen Raipal dikecualikan kerana seksyen boleh dipisahkan dari platun untuk penugasan tertentu.[2] Bersandar kepada kebiasaan enam butir dibawa manakala dua butir bom pula telah diguna semasa pertempuran, kemungkinan hanya empat butir bom mortar yang dirampas oleh komunis; bukan 29 butir.
Tetapi kemenangan itu bukannya ‘murah’. Komunis terpaksa dibayar dengan harga yang mahal juga. Sjn Jamaluddin melihat gerila komunis mengumpul beberapa mayat komrad mereka yang terbunuh ditanam dalam beberapa lubang. Sama seperti yang dialami Pbt Nordin, Sjn Jamaluddin dan lain-lain tawanan tidak diapa-apakan. Musuh memapar sikap persahabatan dalam usaha memenangi hati mereka. Ketua komunis memberitahu mereka tidak perlu takut kerana akan dibebaskan dan balik ke pangkalan selepas pukul 6:30 petang. Mereka juga boleh membawa bersama anggota yang WIA.[3] Sementara menunggu waktu itu, ketua komunis cuba mendoktrinkan mereka supaya menyokong perjuangan komunis.[4]
Sama seperti propaganda yang disampaikan kepada penduduk Kpg Pulai pada Julai 1948 sebelum menyerang Gua Musang pada 17 Julai 1948, ketua komunis menjelaskan kekuatan mereka telah berjaya menghalau British daripada Malaya.[5] Tujuan dia supaya mereka benci British dan meninggalkan pasukan keselamatan. Mereka juga “...dikehendaki membawa keluar risalah-risalah komunis untuk disebar kepada umum.”[6] Sebagai tawanan, para wira hanya mendiamkan diri sahaja bagai ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’; sia-sia sahaja. Pengetahuan ketua komunis tentang semangat patriotisme tawanan dia sangat dangkal. Kerana semangat kecintaan terhadap tanah air inilah membuatkan wira-wira dengan sukarela sedia menggadai nyawa dengan menyertai pasukan keselamatan. Mereka sedia berkorban dalam usaha menentang komunis. Bagi anggota 3 RAM, semangat patriotisme selari dengan moto RAM ‘Ta'at Setia’ yang sudah terpahat dalam jiwa mereka.
*****
[1] Abdullah CD.
(2023). Memoir Abdullah CD: Bahagian Kedua, hlm. 100.
[2] Penjelasan oleh Mej Jen Dato’ Abdullah bin Babu PGB (B)
melalui aplikasi WhatsApp pada 3 Mac 2025.
[3] Tan Sri Datuk A. Samad Idris. (1983). Askar Melayu 50
Tahun sebelum ini, hlm. 296.
[4] Harry Miller, A Malay Platoon at Ulu Semur sebelum ini.
[v] Ibid.
[6] Tan Sri Datuk A. Samad Idris. (1983). Askar Melayu 50
Tahun sebelum ini, hlm. 296.
Bersambung...In syaa Allah...