Followers

Friday, July 31, 2009

Cikgu Ismail Mat Dalam Kenangan

31 Julai, 2009, saya kehilangan seorang kawan, Cikgu Ismail Bin Mat (Cikgu Mail). Pada jam 7.10 pagi, seperti biasa, saya telah pergi ke Kelab Kedah Diraja(KKDR) untuk bermain golf. Sampai di sana saya diberitahu padang golf ditutup dari jam 7.00 hingga 10.00 sempena Hari Pahlawan; parade yang dihadiri DYMM Tuanku Sultan Kedah diluar pagar tee-box #2. Apa hendak dikatakan dan balik ke DGCC untuk membaca surat khabar.

Pada jam 9.30 Cikgu Pada yang berada di Kuala Lumpur menalipon saya memberitahu yang Cikgu Mail telah meninggal dunia pagi tadi. Saya menghubungi Lokman, kawan baik arwah, untuk mengetahui butir kematian dan beliau memberitahu yang arwah telah menghembus nafas terakhir pada jam 7.00 pagi dan jenazah masih di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). Bergegas saya kesana tetapi diberitahu oleh staf 'rumah mayat' hospital bahawa jenazah telah dibawa balik kerumahnya di Taman Rakyat, Alor Setar. Bergegas pula kesana dan ramai rakan sudah berada disana.

Saya telah mengenali Cikgu selama 8 tahun semasa bermain golf di KKDR. Kami kerap main bersama, samaada semasa pertandingan atau pada hujung minggu. Saya akan menalipon arwah untuk bermain pada hari Sabtu dan Ahad dan kebiasaannya beliau jarang menolak. Kalau tak silap, 5 bulan lepas, beliau dan isteri telah pergi ke Australia untuk menjaga cucu yang baru lahir. Arwah berada di sana lebihkurang 3 bulan sebelum kembali bersendirian. Semasa bertemu untuk bermain golf, beliau kelihatan kurang 'berisi' sepertimana yang saya tahu. Apabila ditanya, arwah memberitahu yang beliau tiada selera dan telah membuat temujanji dengan pakar perubatan di HSB.

Semasa pertemuan selepas temujanji dengan pakar, beliau memberitahu saya yang beliau disahkan mengidap barah perut (jangan tanya terma medikal) dan akan dibedah pada 9 Jul '09. Beliau telah masuk hospital pada 7 Jul '09. Beliau tidak menunjukkan kerisauan dan masih ceria semasa saya melawat beliau sebelum dibedah. Ketika itu isterinya telah terbang balik untuk bersamanya. Saya dan isteri telah melawat beliau pada 16 Jul '09. 'Saya dah tak ada perut lagi' ucapan beliau dan memberitahu mulai 18 Jul hanya boleh mengambil makanan 'liquid food' sahaja, seperti bubur, sup. 'Mujurlah dah jenuh makan'. Dalam pada itu masih boleh bergurau - boleh main golf selepas cheomoteraphy nanti. Beliau memberitahu yang beliau akan membuat rawatan 'chemo' dalam masa 2 bulan lagi. Pada 18 Jul, semasa dalam perjalanan ke Taiping, saya telah menghantar sms kepada beliau dengan ucapan selamat makan semi-solid food. Respons beliau ialah 'Makanlah kamu sebelum kamu ...tak boleh makan'. Kali terakhir saya berkomunikasi dengan arwah ialah pada 25 Jul '09 untuk bertanya khabar. Saya terkejut yang beliau masih berada di hospital disebabkan 'constipation'. Suaranya sungguh lemah dan menasihatkan agar beliau banyak berihat.

Dua tiga tahun lalu, secara berseluruh, saya memberitahu arwah supaya pergi melawat anak-anak di Australia atau Kuala Lumpur semasa 'monthly medal' di KKDR. Ini kerana beliau kerap menjadi Johan 'C' Division; bagilah peluang kepada golfer macam saya menang.

Dalam usia menjangkau 66 tahun pada November '09 ini, orang sekampung, Kuala Kangso, sekarang hanya tinggal kenangan........!

Al Fatihah.......Semoga Allah cucuri rahmat keatas roh beliau. Amin.

No comments: