Pengikut

Jumaat, 23 November 2012

OPS SELAMAT - Bhg 1

Pada December 1987, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, telah terbang ke Manila untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke3 pada 14-15 Dis 87. Kehadiran beliau di Filipina telah menempah sejarah sebagai Perdana Menteri Malaysia pertama menjejak kaki ke negara tersebut semenjak tertubuhnya negara Malaysia. Ketiadaan lawatan rasmi PM ke negara tersebut sebelum ini disebabkan tuntutan mereka terhadap Sabah yang masih belum menemui penghujungnya.

Ketika itu, keadaan politik di Filipina tidak stabil. Pergolakan ini boleh mengancam keselamatan para delegasi. Namun demikian, ketua-ketua negara ASEAN nekad menghadiri sidang tersebut bagi menunjukkan sokongan mereka terhadap kerajaan kepimpinan Presiden Corazon Aquino. Justeru, bagi mengelakkan sebarang kemungkinan 'Ops Selamat' dilancarkan yang misinya ialah untuk menyelamat PM & delegasi Malaysia sekiranya keadaan memaksa.
Salah seorang yang terlibat secara langsung ialah Brig Jen Dato' Ibrahim Bin Hashim TUDM (klik di sini), ketika itu berpangkat Mejar. Beliau telah sudi untuk kongsi bersama pengalamannya berikut....

 Pada 15 Nov 1987, Panglima MABANUD telah mengarah saya untuk berjumpa beliau dengan segera di pejabatnya. Pada ketika itu, saya adalah Ketua Flait Operasi No 3 Skn, TUDM Butterworth. Pada hari tersebut juga, sebuah pesawat Cessna telah dihantar dari Kuala Lumpur untuk mengambil saya di TUDM Butterworth.  Tepat pada jam 1430, saya telah berada di pejabat Panglima dan beliau memberi satu arahan yang belum pernah saya lakukan. Beliau mengarahkan saya membuat persediaan untuk mengendalikan OPERASI SELAMAT iaitu, satu Operasi menyelamat Perdana Menteri ketika Persidangan Kemuncak ASEAN yang akan diadakan di Manila, Filipina.  Beliau telah memberi kelulusan untuk saya membuat latihan penerbangan yang tidak mengikut SOP semasa, termasuk latihan terbang malam mendarat di atas bangunan dan navigasi malam aras rendah. Ini merupakan satu cabaran yang besar dan belum pernah dibuat sebelum ini dan pesawat helikopter Nuri tidak mempunyai kelengkapan secukupnya. Panglima turut mengarahkan supaya Operasi ini di rahsiakan dan tidak siapa patut mengetahuinya sehingga hari sebenar. Pada petang tersebut juga saya dihantar pulang ke Butterworth dengan pesawat Cessna.
Saya terus membuat perancangan rapi tanpa memaklumkan kepada anggota Skuadron kecuali kepada Kapt (U) Hoong yang juga pembantu saya dan kapten pesawat untuk operasi ini.  Pada 16 Nov 1987, satu latihan khas telah diatur dengan TLDM dimana helikopter Nuri menjalankan latihan mendarat waktu siang dan malam di atas KD Mustyari di Lumut.  Pada 19 Nov 87, latihan jarak jauh aras rendah diadakan dari Butterworth ke KL pada waktu siang dan kembali ke Butterworth pada waktu malam.  Pada 21 Nov  87, latihan penerbangan mendarat di atas bangunan KOMTAR Pulau Pinang di lakukan pada waktu siang dan malam. Anak kapal yang terlibat ialah Lt Kol Harun, saya sendiri, Kapt Sofian, F/Sgt Damanhuri dan Sgt Koey. Pengalaman mendarat di atas KOMTAR pada waktu malam amat mencabar sekali dan semua lampu di atas dek terpaksa ditutup bagi memudahkan pendaratan. Latihan ini amat perlu memandangkan situasi yang sama mungkin akan berlaku dalam Ops SELAMAT.
Selain dari latihan penerbangan khas, persiapan detasmen yang rapi juga dibuat bagi memastikan Operasi ini berjalan dengan lancar, termasuk alat-alat ganti pesawat yang mencukupi. Anggota Pasukan Khas TUDM juga diarah membuat persiapan rapi bagi tugas menyelamat orang kenamaan. Pada ketika ini, semua anak kapal tidak mengetahui mengapa latihan intensif dan persiapan rapi dibuat kerana tiada arahan bertulis dikeluarkan oleh pihak atasan. Saya hanya mengeluarkan arahan lisan untuk detasmen selama dua minggu.

Pada keseluruhannya, detasmen helikopter untuk Operasi SELAMAT melibatkan dua buah Nuri dan dua buah Allouette dari No 3 Skn dan No 10 Skn di atas empat buah kapal TLDM.  Fleet helikopter diletak dibawah perintah Lt Kol Mustapha, Ketua No 10 Skn, dan saya sebagai Komander kanan helikopter  Nuri. Krew Nuri yang lain ialah Kapt Sofian, Kapt Sabri, Kapt Rosdi dan Kapt Hoong, manakala helikopter Alouette ialah Mej Razak Othman dan Kapt Wan Baharuddin.  Saya juga dibantu oleh AQM PW Muthu, PW Charles, Sgt Koey dan Sgt Pong.  Setelah menjalani beberapa hari latihan intensif, semua helikopter telah terbang ke TLDM Lumut pada 28 Nov 87 dan terus membuat latihan bersama dengan kapal TLDM siang dan malam. Peralatan tambahan dan alat ganti pesawat juga telah dimuatkan ke dalam kapal TLDM untuk tugas selama dua minggu.


Bersambung....

5 ulasan:

anon berkata...

hohoho...sgt teruja ble membaca.... ^_^ teringat plak ms persidangan ASEAN time PM DS Najib kat Thailand hari tue yg tersekat gara2 tentera merah.....xsaba bahagian 2 (pjg2 ckit..hahaha)

Temuk berkata...

As-salam Mej.
Sebagai orang biasa yang tak sensitif dengan keadaan sekeliling, termasuk hal keselamatan orang besar-besar di dalam satu-satu situasi, tertanya-tanya saya sendiri, yang agaknya boleh mengancam VIP kita masa itu kumpulan apa? Mengapa pula mereka (mungkin) mahu ganggu VIP kita? Mungkin jawapannya ada juga dalam sambungan cerita Mej. nanti. Terima kasih berkongsi kisah lama yang penuh suspens ini.

Nur Emyinda berkata...

Salam Tuan Mejar Nor Ibrahim,

Interesting read...look forward to reading the next entry.

p/s New facelift ya. Congrats Tuan. Lovely lavender background! Nice and sweet combination of colours Tuan ;-)

askartua berkata...

Sir,
As I imformed you earlier most of the rakyat do not know much about security and it is the duties of Ministries involved (Def/Internal) to enlighten them.Nothing much had been done.Your initiative more or less had achieved to educate the rakyat on this aspect.Congrats on new facelift,hoping you receive more commentaters in your blog.Salam

Mej. Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B) berkata...

Waalaikumussalam Cikgu,

Kalau tak silap saya, ketika itu ada pihak yang nak menggulingkan kerajaan Presiden Aquino.

Saudara/Saudari,

Terima kasih. Pemaparan pun juga ber'hijrah'...He...He...He.