Pengikut

Jumaat, 21 Februari 2025

Serang hendap di Sg Semur - bhg 10

Sambungan dari SINI (klik)

 

 ‘SC’ datang membantu


Lokasi: RV...

Tugasan pemungut daun nipah dan daun payung yang diawasi oleh  Sjn Wan Yaacob dan 15 anggota SC hampir siap. Pada lebih kurang pukul 10:30 pagi, mereka terdengar tembak-menembak bertubi-tubi. Sjn Wan Yaacob yakin tembakan itu adalah pertempuran antara Platun 12 dengan musuh. Beliau nekad membawa anggotanya untuk membantu Lt M Hassan. Lantas, beliau mengarah anak buahnya bersiap sedia untuk bergerak dengan segera. Selain itu, beliau mengarah pemungut daun supaya kekal di lokasi sehingga mereka kembali.

Seterusnya, Sjn Wan Yaacob serta anak buahnya berkejar ke lokasi pertempuran. Mereka tiba di situ sejam kemudian. Setiba di sana, beliau mengatur taktik  untuk mengalih perhatian musuh yang sedang bertempur dengan Platun No 12. Beliau mengarah   kumpulan Bren gun yang terdiri daripada tujuh orang anggota menyeberang sungai. Kumpulan beliau yang terdiri daripada lapan anggota memberi tembakan perlindungan (covering fire) semasa kumpulan Bren gun menyeberang sungai. Masalahnya mereka tidak ketahui musuh menyedari kehadiran mereka.

Ketika kumpulan tersebut menyeberang sungai, musuh menembak bertalu-talu mereka dari arah selatan tebing sungai; hanya tiga orang SC yang berjaya menyeberang sungai. Empat lagi anggota yang tidak sempat menyeberang sungai. Lantaran itu, kesemua mereka membalas tembakan. Pertempuran berlaku lebih kurang 20 minit sebelum kumpulan tersebut kehabisan peluru.[1] Manakala kumpulan Sjn Wan Yaacob terus memberi tembakan perlindungan. Namun demikian, tembakan perlindungan daripada Sjn Wan Yaacob tidak berterusan kerana kumpulan beliau turut menjadi sasaran musuh dari belakang.

Dalam keadaan ini Sjn Wan Yaacob tidak dapat membantu kumpulan Bren gun. Justeru, beliau membuat keputusan untuk membawa kumpulannya cuba menyerang kedudukan musuh dengan bergerak ke bahagian rusuk kiri bukit. Namun demikian, pergerakan tidak begitu lancar kerana hutan tebal.[2]  Apabila tiba di lokasi yang difikir sesuai,  beliau mengarah anggotanya hanya tembak apabila melihat. Jangan tembak semberono sahaja bagi menjimat peluru. Arahan ini membawa hasil. Mereka melihat seorang musuh bersenjata Bren gun. Saat yang ditunggu-tunggu. Senjata kumpulan Sjn Wan Yaacob memuntahkan peluru terhadap musuh itu membuatkan dia tersungkur.

*****

Sementara itu, musuh yakin kumpulan Bren gun SC kehabisan peluru kerana tiada lagi tembakan ke atas mereka. Seperti yang sudah dijangka, musuh mengarah tujuh anggota SC tersebut untuk menyerah diri.[3] Anggota SC tiada pilihan. Mereka akur perintah tersebut kerana sekadar menentang secara fizikal sudah pasti membawa maut. Komunis memungut senjata mereka. Seterusnya, mereka diarah dan diiringi ke markas komunis di atas bukit.

Sjn Wan Yaacob dan lapan anggotanya di bawah lindungan-Nya. Kedudukan mereka tidak dapat dikesan oleh musuh. Pada pukul 2:30 petang, tiada lagi kedengaran tembakan baik daripada anggota Platun No 12 atau pun musuh, Sjn Wan Yaacob yakin pertempuran telah berakhir. Beliau tidak tahu untung nasib tujuh anggotanya. Mana mungkin beliau bersama lapan anggota bersamanya serta jumlah peluru yang terbatas, terus menentang musuh. “Aku mesti lapor kepada pihak atasan secepat mungkin.” Itu yang bermain dalam fikirannya. Apabila malam menjelma dan percaya musuh telah beredar, Sjn Wan Yaacob membawa anak buahnya meredah hutan balik ke pangkalan SC di Kpg Pulai. Mereka tiba pada awal pagi keesokan hari, 26 Mac 1950.[4]

Bersambung...In syaa Allah...


[4]              Harry Miller, A Malay Platoon at Ulu Semur sebelum ini. 

Sabtu, 15 Februari 2025

Serang hendap di Sg Semur - bhg 9

Sambungan dari SINI

Biar putih tulang, jangan putih mata

 Komunis sangat marah. Mana tidaknya. Mereka berpendapat para wira akan menyerah diri setelah Ketua Platun dan beberapa anggota terkorban. Sebaliknya mereka mendapati Kpl Jamaluddin dan anggotanya terus menentang mereka. Walaupun marah, mereka memberi ‘peluang’ untuk menyerah diri. Buat kali kedua, ketua komunis menyeru kepada para wira:

“Slender Melayu. Kalau slender gua tatak tembak sama lu.”[1] Seruan ini tidak dijawab oleh Kpl Jamaluddin. Malahan tiada kedengaran sebarang tembakan daripada anggota platun. Keadaan ini membuatkan komunis menyangka kesemua anggota Platun No 12 sudah tewas. Gerila komunis melihat beberapa anggota gugur dan cedera sementara seorang menyerah diri (Pbt Nordin). Tanpa sebarang respons kepada seruan itu, mereka beranggapan saki baki  anggota sama ada terkorban atau cedera sehingga tidak mampu untuk bertindak balas. Lantaran itu, lebih kurang 12 orang musuh[i2 di lereng bukit merangkak turun untuk mengutip harta rampasan, iaitu senjata dan peluru. Musuh tersilap percaturan! Mereka berhadapan dengan perajurit yang pegang kepada pepatah Melayu: “Biar putih tulang, jangan putih mata.”

 Kerana Kpl Jamaluddin, L/Kpl Muhamad dan Pbt Rashid memerhati gelagat musuh sambil berhati-hati mengacukan senjata mereka ke arah musuh. Sebaik sahaja musuh hampir kepada wira-wira yang gugur untuk mengambil senjata dan peluru, ketiga-tiga anggota tersebut serentak melepaskan tembakan kepada musuh-musuh itu. Tembakan mereka tepat menyinggah sasaran dan musuh terus tumbang. Sebaik melihat komrad mereka tumbang, barisan musuh di seberang sungai melepaskan tembakan Brengan bertalu-talu ke atas kumpulan Kpl Jamaluddin di rumpun pokok hampir 15 minit.[3] Namun begitu, tembakan itu tidak menepati sasaran. Ketiga-tiga anggota dilindungi Maha Pencipta.

‘Kedegilan’ tiga wira 3 RAM membuatkan musuh bertambah berang. Sama seperti sebelum ini, ketua komunis dengan penuh geram menyeru supaya Kpl Jamaluddin menyerah diri: “Slendar Melayu. Kalau tidak kamu semua habis. Slendar lakas, lakas, lakas...!”[4]

Tiada jawapan daripada Kpl Jamaluddin. Lalu komunis melepas tembakan bertubi-tubi dan membaling grenad tangan ke arah Kpl Jamaluddin dan dua rakannya di rumpun buluh. Lalu berlaku pertempuran sengit antara kedua-dua pihak. Dalam pertempuran ini, L/Kpl Muhamad dan Pbt Rashid tercedera akibat terkena serpihan grenad tangan.[5] L/Kpl Muhamad tercedera pada tangannya manakala Pbt Rashid pada kakinya. Kpl Jamaluddin bernasib baik. Peluru musuh hanya terkena pada ‘pouch’ dan bajunya sahaja.[6] Namun demikian, kecederaan ini tidak menoktah semangat perjuangan mereka. Mereka terus memberi tentangan sehingga kehabisan peluru. Kini mereka hanya mampu berserah kepada-Nya untuk perlindungan.

*****

Sama seperti dua rakannya, Kpl Jamaluddin kehabisan peluru Stengannya. Tetapi ini tidak mematahkan semangatnya untuk terus menentang musuh durjana. Lantas beliau merangkak ke arah seorang anggota yang terkorban untuk mengambil senjatanya. Musuh pula buat kali keempat menyeru supaya wira-wira menyerah diri.[7]  Tetapi tiada sebarang jawapan. Kpl Jamaluddin mendengar suara musuh di tebing di atasnya. Lantas, beliau melontar sebutir grenad tangan ke arah suara itu; “boom.” Daripada jeritan kesakitan musuh, beliau yakin lontarannya menepati sasarannya.[8]

 Jam menunjukkan lebih kurang pukul 2:30 petang. Sudah empat jam pertempuran berlaku bagaimanapun musuh masih gagal menumpas kedegilan Kpl Jamaluddin. Keadaan ini membuatkan musuh sangat geram dengan seorang anggota RAM ini. Selagi kumpulan ‘rumpun buluh’ tidak dimusnah, komunis sedar usaha untuk memungut ‘harta perang’ akan gagal. Keadaan ini membuatkan ketua pengganas seboleh-bolehnya menawan wira RAM ini. Dengan itu, tumpuan mereka sekarang ialah menembak ke arah Kpl Jamaluddin di rumpun buluh. Di samping itu, beberapa orang pengganas komunis di atas tebing dengan berhati-hati bergerak untuk mengepung kedudukan Kpl Jamaluddin.

Keadaan sungguh getir. Kpl Jamaluddin tidak menembak membuta tuli untuk menjimatkan peluru. Beliau mengarah L/Kpl Muhamad supaya memerhati sebarang pergerakan musuh di tebing sungai. Namun demikian, semak samun di rumpun buluh penempatan mereka membatas penglihatan mereka. Tiba-tiba seorang gerila melompat dari tebing ke atas L/Kpl Muhamad. Kecederaan yang dialaminya membuatkan beliau tidak mampu untuk melawan. Dalam keadaan kelam kabut ini,  seorang lagi gerila pula melompat ke atas Kpl Jamaluddin. Beliau cuba melawan tetapi gerila itu mengacu senjatanya kepada Kpl Jamaluddin. Manakala beberapa gerila bergegas mengatasi ketiga-tiga wira tersebut.

Dengan tertawannya ketiga-tiga wira tersebut, iaitu  Kpl Jamaluddin, L/Kpl Muhamad dan Pbt Rashid, pertempuran empat jam itu berakhir. Daripada 26 anggota pasukan keselamatan, hanya tiga anggota yang tidak cedera oleh peluru musuh. Mereka ialah Kpl Jamaluddin, Pbt Nordin (tawanan pertama) dan Pbt Wan Ismail. Sementara itu, lima anggota yang cedera tetapi masih boleh berjalan ialah L/Kpl Mohammad, Pbt Salleh, Pbt Mohd Sabri dan Pbt Hussin. Pbt Ahmad, Pbt Mohd Shariff dan Pbt Osman pula mengalami cedera parah manakala Pbt Wahab dan Pbt Rashid cedera di kaki. Kelima-lima mereka ini tidak mampu untuk bergerak. Pbt Wahab yang sangat dahaga merangkak ke tebing sungai untuk minum. Bagaimanapun, seorang  komunis memberitahunya supaya tidak minum jika mahu hidup.[9]

 Seterusnya, Kpl Jamaluddin diarah untuk membawa anak buahnya menemui ketua komunis di atas bukit manakala. Ekoran itu, mereka berenam mendaki bukit ke markas taktikal musuh dengan diiringi oleh musuh.  



[2]              Zakaria Salleh. (2007). Limpahan Darah di Sungai Semur. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 107.

[3]             Tan Sri Datuk A. Samad Idris. (1983). Askar Melayu 50 Tahun sebelum ini, hlm. 289.

[4]             Ibid.

[6]             Zakaria Salleh. (2007). Limpahan Darah di Sungai Semur sebelum ini, hlm. 109.

[7]            Harry Miller, A Malay Platoon at Ulu Semur sebelum ini.

[9]             Syed Othman Syed Omar. (2004). Pahlawan Tanahair sebelum ini, hlm. 154.

      *****

Bersambung...in sya Allah   

Sabtu, 8 Februari 2025

Serang hendap di Sg Semur - bhg 8

 Sambungan dari SINI

 Biar putih tulang, jangan putih mata

Komunis sangat marah. Mana tidaknya. Mereka berpendapat para wira akan menyerah diri setelah Ketua Platun dan beberapa anggota terkorban. Sebaliknya mereka mendapati Kpl Jamaluddin dan anggotanya terus menentang mereka. Walaupun marah, mereka memberi ‘peluang’ untuk menyerah diri. Buat kali kedua, ketua komunis menyeru kepada para wira:

 “Slender Melayu. Kalau slender gua tatak tembak sama lu.”[1] Seruan ini tidak dijawab oleh Kpl Jamaluddin. Malahan tiada kedengaran sebarang tembakan daripada anggota platun. Keadaan ini membuatkan komunis menyangka kesemua anggota Platun No 12 sudah tewas. Gerila komunis melihat beberapa anggota gugur dan cedera sementara seorang menyerah diri (Pbt Nordin). Tanpa sebarang respons kepada seruan itu, mereka beranggapan saki baki  anggota sama ada terkorban atau cedera sehingga tidak mampu untuk bertindak balas. Lantaran itu, lebih kurang 12 orang musuh[2] di lereng bukit merangkak turun untuk mengutip harta rampasan, iaitu senjata dan peluru. Musuh tersilap percaturan! Mereka berhadapan dengan perajurit yang pegang kepada pepatah Melayu: “Biar putih tulang, jangan putih mata.”

Kerana Kpl Jamaluddin, L/Kpl Muhamad dan Pbt Rashid memerhati gelagat musuh sambil berhati-hati mengacukan senjata mereka ke arah musuh. Sebaik sahaja musuh hampir kepada wira-wira yang gugur untuk mengambil senjata dan peluru, ketiga-tiga anggota tersebut serentak melepaskan tembakan kepada musuh-musuh itu. Tembakan mereka tepat menyinggah sasaran dan musuh terus tumbang. Sebaik melihat komrad mereka tumbang, barisan musuh di seberang sungai melepaskan tembakan Brengan bertalu-talu ke atas kumpulan Kpl Jamaluddin di rumpun pokok hampir 15 minit.[3] Namun begitu, tembakan itu tidak menepati sasaran. Ketiga-tiga anggota dilindungi Maha Pencipta.

‘Kedegilan’ tiga wira 3 RAM membuatkan musuh bertambah berang. Sama seperti sebelum ini, ketua komunis dengan penuh geram menyeru supaya Kpl Jamaluddin menyerah diri: “Slendar Melayu. Kalau tidak kamu semua habis. Slendar lakas, lakas, lakas...!”[4]

Tiada jawapan daripada Kpl Jamaluddin. Lalu komunis melepas tembakan bertubi-tubi dan membaling grenad tangan ke arah Kpl Jamaluddin dan dua rakannya di rumpun buluh. Lalu berlaku pertempuran sengit antara kedua-dua pihak. Dalam pertempuran ini, L/Kpl Muhamad dan Pbt Rashid tercedera akibat terkena serpihan grenad tangan.[5] L/Kpl Muhamad tercedera pada tangannya manakala Pbt Rashid pada kakinya. Kpl Jamaluddin bernasib baik. Peluru musuh hanya terkena pada ‘pouch’ dan bajunya sahaja.[6] Namun demikian, kecederaan ini tidak menoktah semangat perjuangan mereka. Mereka terus memberi tentangan sehingga kehabisan peluru. Kini mereka hanya mampu berserah kepada-Nya untuk perlindungan.

Lukisan memaparkan serang hendap ke atas Platun No 12, Kompeni D, 3 RAM 
di Sg Semur pada 25 Mac 1950. Sumber: Mej Yaakop bin Jaafar

Bersambung...in sya Allah 

[2]              Zakaria Salleh. (2007). Limpahan Darah di Sungai Semur. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 107.

[3]             Tan Sri Datuk A. Samad Idris. (1983). Askar Melayu 50 Tahun sebelum ini, hlm. 289.

[4]             Ibid.

[5]              Haji Mubin Sheppard, Ambush at the River Bank sebelum ini.

[6]             Zakaria Salleh. (2007). Limpahan Darah di Sungai Semur sebelum ini, hlm. 109.


Sabtu, 1 Februari 2025

Serang hendap di Sg Semur - bhg 7

 Sambungan dari  SINI...

Menyerah diri? Tidak sama sekali

 Dalam pada itu, terdengar jeritan: “Selendar Melayu! Slendar!”[1] Seorang komunis sambil menembak dengan mesingan menyuruh Kpl Jamaluddin dan anak buahnya menyerah diri. Bukan sahaja jeritan supaya trup menyerah diri, malahan kedengaran pengganas bersorak riuh rendah atas kejayaan mereka. Menyerah diri? Begitu rendah tanggapan komunis terhadap semangat juang Askar Melayu. Serah diri? Ketua mereka gagal membuat perkiraan keadaan (appreciation) faktor yang tidak dapat dilihat anggota RAM - ‘semangat.’ Sudah tentu tidak sama sekali!

Tanpa diduga oleh pengganas komunis, Kpl Jamaluddin dengan lantangnya menjerit: “Gua tak mau surrender. Gua mahu lawan sama lu.”[2] Marah dengan ‘kedegilan’ anggota platun, komunis melepaskan tembakan bertubi-tubi. Tidak cukup dengan tembakan senjata, musuh yang berada di lereng bukit melontar grenad tangan. “Boom...boom.” Sememang mereka di bawah lindungan-Nya. Kpl Jamaluddin, L/Kpl Muhamad dan Pbt Rashid terselamat daripada serpihan grenad tersebut. Ini membuatkan semangat mereka berkobar-kobar untuk menentang musuh. Lalu mereka menghala senjata masing-masing ke arah gerila komunis yang jelas kelihatan. Mereka tekad satu peluru satu musuh. Bagi menjimatkan peluru, dengan berhati-hati mereka menarik picu senjata. Kewaspadaan mereka tidak menghampakan. Mereka melihat peluru-peluru  yang melungsur dari aras senjata  menepati sasaran. Akibatnya beberapa orang musuh terbunuh.[3]

*****

Sama seperti lain-lain anggota, ketiga-tiga anggota di belakang, iaitu 4411 Pbt Omar bin Deris (belakang sekali),  4123 Pbt Wahab bin Siding dan 3999 Pbt Salleh bin Nahu membalas tembakan musuh. Apabila mendengar jeritan komunis supaya menyerah diri, Pbt Wahab yang berada di hadapan Pbt Omar mengalih tenangan Stengannya ke arah jeritan tersebut. Dalam berbalas tembakan itu, malang sekali peluru musuh singgah di paha kiri. Darah panas mengalir dari pahanya namun sama sekali tidak melemahkan semangat beliau.

Dalam pada itu dan tanpa mengetahui keadaan rakannya di hadapan, iaitu  Pbt Salleh, Pbt Wahab  memberitahunya supaya membantu Pbt Omar di belakang yang ketika itu terus menerus menentang musuh. Tetapi apakan daya, tidak lama kemudian tiada  lagi kedengaran tembakan Pbt Omar.  Pbt Omar telah gugur![4]

“Si Loh! Si Loh!”[5] Kedengaran jeritan pengganas komunis di belakang. Jeritan itu mengesahkan bahawa Pbt Omar telah menyahut undangan-Nya! Seterusnya Pbt Wahab melihat tiga komunis turun dari tebing menuju ke arah mayat Pbt Omar untuk mengambil senjata dan peluru arwah. Walaupun menanggung kesakitan, Pbt Wahab tekad tidak melepaskan peluang keemasan ini. Dengan berhati-hati, beliau menenang Stengannya ke arah gerila-gerila komunis. Apabila mereka berada lebih kurang 22 ela (20 meter), beliau menarik picu senjatanya yang menyembur kesemua 32 butir peluru 9 mm dalam kelopak. Semburan itu menepati sasarannya. Ketiga-tiga gerila terus tersungkur dan menggeletar sebelum nyawa mereka melayang. 

 Tetapi Pbt Wahab terpaksa bayar dengan harga yang mahal atas kejayaannya. Seorang komunis melontar sebutir grenad tangan ke arah dan meletup berhampirannya. Serpihan grenad terkena pada buku lali kaki kirinya. Kini kaki kirinya cedera parah dan kesakitan yang dihadapinya membuatkan beliau tidak berdaya lagi untuk menentang musuh![6] Dalam keadaan begini, beliau percaya musuh akan menangkapnya bila-bila masa sahaja. Ingatan ini membuatkan beliau merasa gerun kerana beliau bertindak zalim terhadap tawanan mereka sebelum dibunuh. Kezaliman ini termasuk memotong kemaluan dan badan yang diperlakukan terhadap anggota RAM dalam serang hendap di Jelebu, Negeri Sembilan.[7]

Dalam pemikiran Pbt Wahab mungkin komunis hanya menyeksa terhadap tawanan, iaitu yang masih hidup; tidak diapa-apakan terhadap mayat. Sekiranya sebaliknya berlaku kepada mayat, beliau nekad untuk ‘membawa’ komunis bersamanya jika itu yang berlaku. Bagi tujuan itu, beliau mencampak Stengannya tidak jauh dari kedudukannya. Beliau yang dalam kedudukan meniarap menyembunyi sebutir grenad tangan berhampirannya dan berpura-pura mati. Dan berdoa kepada Maha Pencipta untuk mendapat perlindungan-Nya!

4123 L/Kpl  Wahab bin Siding (B) (Allahyarham) menunjukkan kesan parut pada buku lali kaki kanannya (kiri) dan paha  kirinya (kanan) sambil diperhatikan oleh Mej Yaakop bin Jaafar. Sumber: Mej Yaakop bin Jaafar

*****

Sebaik sahaja trup diserang, 3999 Pbt Salleh bin Nahu yang berada di kedudukan ketiga di belakang, membalas tembakan dengan senjata Stengannya. Kesemua 32 butir peluru 9mm dalam kelopak habis disemburnya. Ketika memasukkan kelopak baharu (reload), beliau terasa panas di pahanya. Sebutir peluru menembusi paha kanannya dan darah bersembur keluar. Namun demikian, kecederaan yang dialaminya tidak membataskan beliau untuk terus menentang musuh durjana sehingga kesemua peluru habis diguna. Bagaimana pun, sekali lagi peluru musuh menemui sasarannya. Kali ini sebutir peluru menembusi  tangan kirinya pula.

Darah terus mengalir dari tangan dan paha Pbt Salleh. Beliau berasa lemah dan tindakannya mula terbatas. Namun demikian, kecederaan tersebut tidak sama sekali mematah semangat juang Pbt Salleh sebaliknya terus berkobar-kobar menentang musuh. Lantaran itu, beliau perlu mengeluarkan kelopak yang kosong untuk dimasukkan kelopak ketiga. Beliau berhadapan dengan kesukaran untuk mengeluarkan kelopak tersebut. Tetapi lawan tetap lawan. Bagi mengatasi halangan ini, beliau terpaksa menggunakan gigi bagi menarik ‘bolt’ pada bahagian kanan senjata.[8]

 Kegigihan Pbt Salleh berjaya memasukkan kelopak ketiga. Lalu beliau menarik picu Stengan. Malangnya, senjata beliau menghadapi ‘stoppages[9] ketika peluru ketiga meluncur dalam laras. Beliau tidak dapat menentang takdir-Nya yang bahawa perjuangannya berakhir di situ. Sama seperti rakannya Pbt Wahab, beliau berdoa agar Allah melindungi dan reda apa yang ditakdirkan-Nya.

*****

Bersambung...in sya Allah



[2]              Ibid., hlm. 288.

[3]              Ibid.

[4]              Syed Othman Syed Omar. (2004). Pahlawan Tanahair sebelum ini, hlm. 152.

[5]              Ibid., hlm. 153.

[6]              Ibid., hlm. 153.

[7]              Ibid., hlm. 153.

[8]              M. Daim,  Serang Hendap Sungai Semur: Askar Melayu menyerahlah!, Air Times, 7 Mei 2020. Lihat https://www.airtimes. my/2020/05/07/serang-hendap-sungai-semur-askar-melayu-menyara hlah/ (diakses pada 4 April 2024).

[9]              Ibid.