Followers

Friday, August 7, 2009

Kebersihan Makanan

'Kebersihan separuh daripada iman' - sunnah Rasulullah. Sebagai orang Islam adakah kebanyakan kita, terutama peniaga makanan - tidak kira restoran atau gerai (kategorikan kedai makan)- mempraktik sunnah ini? Secara jujur, saya sungguh sedih melihat tahap kebersihan kedai makan (KM) di kebanyakan lokasi yang pernah saya berkunjung. Coretan ini tidak bertumpu kepada kawasan tertentu tetapi pandangan secara menyeluruh.

Pertama sekali, saya bertanya kepada diri sendiri, mengapa KM, terutama gerai-gerai, didirikan berhampiran dengan parit/longkang? Masalahnya ialah saluran air sisa-sisa ini tidak mengalir dan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan. Memang lauk-pauknya nampak mengiurkan - ikan panggang, segala jenis ulam, sup 'gearbox' hingga 'torpedo', dan tak tahu lagilah. Tetapi bagaimana saya dapat menikmati kelazatan makanan tersebut sekiranya terpaksa berpakaian ala 'Zorro' tanpa topeng mata setiap kali mengunjung KM seperti ini?

Ada juga gerai-gerai dibina di tepi jalanraya dengan lalulintas tanpa henti. Untuk perokok tidak menjadi masalah kerana dapat menyedut karbon monoxide secara percuma. Tetapi, bagaimana dengan yang lain-lain? Pedulikan.....mereka yang datang dengan sukarela untuk menghirup kenikmatan udara!

Saya dan geng kerap melepak di sebuah gerai selepas bermain golf. Lokasi gerai memang menarik; bersebelahan tasik dan kuda-kuda berlarian. Suasananya sungguh nyaman. Masalahnya ialah kuih-muih tidak ditutup; diletak atas meja dengan lalat-lalat menjadikannya stesen perhentian. Saya pernah menyuarakan kepada tuanpunya gerai supaya mengguna tudung saji untuk menutup makanan. Tindakan yang diambil hanya menutup kuih-muih dengan pinggan-pinggan sahaja. Saya tidak pernah menjamah kuih-muih tersebut. Saya hanya minum dan makan masakan yang ditempah, sekiranya perlu. Janganlah hendak mengurangkan kos sehingga sanggup mendedahkan makanan kepada pencemaran yang akan menjejaskan kesihatan pelanggan!

PBT mengeluar ratusan ribu RM, mungkin jutaan, membina Medan Selera (MS) untuk peniaga-peniaga mencari rezeki halal. Kemudahan air, api dan yang paling mustahak - tong sampah - disediakan. Tetapi, parit/longkang tetap menjadi tempat buangan. Sekiranya berhampiran dengan sungai, hanyutlah sisa-sisa ke kuala.....! Lain pula MS Layang-Layang, Labuan, semasa saya bertugas di sana pada awal 80'an. Persekitarannya sungguh bersih dan saya berbangga membawa tetamu dari England untuk menikmati sate. Maaflah jika keadaan MS tersebut sekarang tidak sepertimana yang saya ceritakan, maklumlah cerita lama. Saya harap kebersihan masih diutamakan. Tak mungkin saya akan membawa tetamu saya, sekarang dah tak ada kawan 'mat saleh', ke MS di mana saya bermustautin sekarang.

Peringatan: MS yang saya cuba elakkan bukannya yang ada di kompleks beli-belah. Semasa tinggal di KL, MS yang paling kerap saya kunjung ialah di KLCC kerana nasi dagang.

Kebanyakan kita selalu beranggapan negatif apabila dikejutkan dengan kenaikan harga barang keperluan seperti gula, ayam, minyak masak, dll. Cuba lihat dari sudut positifnya pula. Hikmahnya ialah dapat mengelakkan penyakit, terutama kencing manis dan masalah jantung. Mana tidaknya, minum dan makan masakan rumah; kebersihan sudah pasti. Bawa makanan dari rumah ke pejabat. Apa yang hendak dimalukan. Dan, anda boleh berjimat...

Peniaga-peniaga, betulkanlah nawaitu anda, sekiranya belum. Carilah rezeki yang halal dan diberkati Allah. Tentukan makanan yang disediakan bersih, lazat dan harga berpatutan. Kos yang anda tanggung untuk ciri-ciri tersebut akan berbaloi, insyaAllah.

No comments: