Pengikut

Rabu, 30 Mei 2018

Rundingan Baling: Di Belakang Tabir - Bahagian xix

Bersambung dari SINI...

Dalam menceritakan apa yang perlu Tunku bincangkan semasa bertemu dengan Chin Peng, sampai terlupa bagaimana tarikh rundingan itu dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Jadi, sekarang kenalah kalih ke belakang.

Bila Tunku menang pilihanraya, beliau membuat pengumuman melalui Radio Malaya menyatakan kesediaannya bertemu Chin Peng. Menurut Chin Peng, Tunku menegaskan "...There will be no preliminary meeting with any representatives or anybody else. The meeting will take place at a suitable place in North Malaya. An official, who is known to Chin Peng, will be nominated as the conducting officer. He will hold himself in readiness to meet Chin Peng at a rendezvous in a safe area, in which a local ceasefire will be arranged." Tunku juga menyatakan lokasi pertemuan mesti bukan dalam hutan tetapi berhampiran dengan kampung (Chin Peng, My Side of History, hlm. 363-364).

Lanjutan itu, Chin Peng telah menghantar 2 surat; 1 kepada Tunku pada 2 Okt 1955 dan 1 lagi kepada David Marshall, KM Singapura pada 4 Okt. Surat kepada Marshall hasil jawapannya yang sedia  hadir sekiranya dikehendaki oleh Chin Peng (The Sunday Times, 1 Oct 1955, Marshall Is Invited To Talks With Chin Peng, hlm. 1). Surat ini memaklumkan bahawa pegawai perhubungannya akan keluar dari hutan untuk membincangkan persedian rundingan tersebut (Nik Anuar, 1990, Tunku Abdul Rahman-Chin Peng Amnesty Talks, Jebat, 18, hlm. 185).  Kali ini surat dihantar dari Pulau Pinang. Walaupun pada mulanya Tunku kata tiada pertemuan awal, tapi sebenonya ada dan Klian Intan menjadi pilihan Chin Peng. Mengapa Klian Intan? Kerana seramai 2000 penduduk di situ "...solidly pro-CPM."

Sebelum pertemuan tersebut, Chin Peng dapat mengagak  bahawa I. S. Wylie, Pemangku Komisioner Polis, akan hadir dalam pertemuan ini. Mat Saleh ini pernah bersama Force 136 dan pernah bersama dengan MPAJA semasa menentang Jepun. Jadi mudahlah untuk berbincang. Justeru, dia telah melantik Chen Tien dan Lee Ah Tung untuk mewakilinya dalam pertemuan permulaan. Mengapa berdua ini dipilih oleh Chin Peng mewakilinya? Kerana Chen Tien merupakan orang kuat Chin Peng dan memahami pandangan bosnya dan kenal Wylie; Lee Ah Tung pula merupakan Ketua Propaganda.

Tekaan Chin Peng mengenai penglibatan Wylie memang tepat sekali. Wakil gomen ialah Wylie dan Too Joo Hing, Penolong Menteri Pelajaran.

Pertemuan pertama berlaku pada 17 Okt 1955 di Klian Intan. Wylie tiba dari KL dengan pewasat Beaver dan mendarat di Kroh. Dari situ naik kenderan ke Klian Intan. Sementara Too pula tiba dari Ipoh. Mereka memilih bilik di Town Hall sebagai bilik mesyuarat.

Menurut The Straits Times, (18 Okt 55), Chin Peng Comes To Town, hlm. 1, pada jam 0905, tanpa sebarang pengumuman, tiba-tiba muncul Chen Tien dan Lee Ah Tung dari hutan di Klian Intan, Perak. Mereka memakai pakaian awam tanpa senjata. Orang pertama yang terserempak dengan mereka ialah seorang pekerja lombong bijih, Saraman bin Amin. Terkejut berok dibuatnya. Depa beritahu Saraman yang mereka nak berjumpa dengan Tunku. Kedua-dua mereka seterusnya berjumpa dengan A. K. Pillai, Juruukur Lombong.

Sumber: Nik Anuar Nik Mahmud, Tunku Abdul Rahman And His Role In The Baling Talks, hlm. 26

Orang2 di Klian Intan betul2 ingat salah seorang PGK ini adalah Chin Peng, malah wartawan pun tak tahu itu bukan Chin Peng. Tu sebab tajuk laporan akhbar pun kata Chin Peng Comes To Town. Tak boleh salahkan wartawan2 juga. Seorang penduduk, Ho Leong Kong, bekas PGK, dengan penuh yakin memberitahu wartawan bahawa "...I am positive he was Chin Peng. He also seemed to remember me." Alasannya ialah kerana dia  kata pernah berjumpa ketua pengganas itu di Tanjung Malaim pada 1942. Ho kata bersama Chen Tien ialah Lee Chin Hee, seorang pekerja lombong sebelum masuk hutan pada 1951. Mungkinkah Lee Ah Tung juga Lee Chin Hee?

Setiba di dewan, Wylie turun ke bawah dan menjemput mereka ke bilik mesyuarat.

Maaf le saya tiada dokumen bagaimana pertemuan ini diaturkan dan security arrangement.

Cukuplah buat masa ini. Bersambung.

Nota: Seorang 'kawan' menghantar WhatsApp berbunyi "Your research and writing is not up to standard. Even a standard 3 pupil will hv migraine reading it." Ini kerana saya bercanggah pendapat dengan dia yang tak ada mengena dengan coretan2 dalam blog ini.

Para pembaca yang budiman, sekiranya coretan2 saya yang sempoi ini dianggap sampah, usahlah membuang masa membacanya walaupun semua coretan2 saya berlandaskan kepada sumber2 sahih, bukan omong kosong tanpa fakta, wallahualam. Terima kasih. 

Tiada ulasan: