Pengikut

Sabtu, 2 Julai 2011

SEORANG PAHLAWAN YANG LUPUT DIMAKAN ZAMAN - BHG 4

Sambungan daripada coretan ini....

Mengikut perancangan, SEP Yy Yyy akan pergi menjemput Commander Fam Tze Heong dan isterinya Comrade Hoi Yin serta membawa mereka melalui lorong tempat saya berada. SDO (Special Duty Officer) Xx Xxxx (Bekas Pengganas Komunis yang telah menyerah diri dan ditugaskan sebagai jurucakap/penterjemahan/penyelaras diantara SEP dan saya), SEP Zzz Zzz dan SEP Vvvv Vvvv menanti untuk menangkap atau membunuh Commander Fam Tze Heong dan isteri. SEP Yy Yyy akan berjalan di hadapan dengan meninggalkan Commander Fam Tze Heong dan isterinya dalam jarak antara dua hingga 4 ke 5 meter sahaja. Saya akan berada di atas lorong, manakala SDO Xx Xxxx, SEP Zzz Zzz dan SEP Vvvv Vvvv akan berada di sebelah kiri saya. 

Apabila sampai di hadapan, SEP Yy Yyy akan melompat ke belakang saya untuk mengambil perlindungan. Dengan cara ini, dapatlah saya menerkam atau pun melepaskan tembakan ke arah Commander Fam Tze Heong dan isteri. Semasa SEP Yy Yyy keluar menjemput Commander Fam Tze Heong, saya telah mengarah SDO Xx Xxxx, SEP Zzz Zzz dan SEP Vvvv Vvvv untuk mengambil tempat kedudukan masing-masing yang sesuai supaya dapat serang hendap tersebut dilaksanakan dengan jayanya.

Sejurus selepas SEP Yy Yyy meninggalkan kami, saya mendengar bunyi pergerakan dalam keheningan tengah malam tersebut. Saya tidak begitu khuatir dengan bunyi tersebut kerana telah mengetahui bahawa bunyi-bunyi tersebut ialah datangnya dari bunyi pergerakan SEP Yy Yyy, Commander Fam Tze Heong dan isterinya. Dengan itu, saya bertambah yakin Operasi Teliti 2 yang sedang berlangsung ini berjalan dengan lancar sebagaimana yang saya rancangkan. 

Dengan senjata Sub-Machine Gun (SMG/MGK) yang telah siap sedia bercekah, saya menanti ketibaan SEP Yy Yyy dalam kegelapan malam dengan hati yang berdebar-debar. Lama-kelamaan bunyi pergerakan yang saya dengar semakin hampir dan degupan jantung saya semakin kencang. Setibanya dihadapan saya, SEP Yy Yyy melompat ke belakang saya. Commander Fam Tze Heong tiba-tiba berada di hadapan saya kerana agak begitu rapat beliau berjalan dengan SEP Yy Yyy. Oleh yang demikian, rancangan untuk menangkap Commander Fam Tze Heong dan isterinya hidup-hidup tidak dapat dilaksanakan. Rancangan untuk tindakan membunuh kedua-duanya harus dilaksanakan serta merta. Dengan tidak berlengah-lengah lagi, saya menarik picu senjata SMG saya untuk melepaskan satu tembakan semburan ke arah Commander Fam Tze Heong dan isterinya. 

Oleh sebab tembakan yang saya lepaskan terlalu dekat, iaitu kira-kira satu ke dua meter sahaja jaraknya, menyebabkan Commander Fam Tze Heong yang terkena tembakan saya itu tidak rebah. Peluru yang saya semburkan itu telah tembus terlalu laju (velocity of 2700 meters/second) hingga sasaran tidak rebah. Walau bagaimanapun, saya terdengar isterinya Comrade Hoi Yin yang berada dibelakangnya telah rebah ke bumi selepas semburan 20 butir peluru selesai saya muntahkan ke arah mereka dalam kegelapan malam itu.

Sejurus lepas itu, saya melihat Commander Fam Tze Heong masih berdiri tegak sambil melepaskan tembakan melulu beberapa butir semburan ke kiri dan ke kanannya dan saya menjadi bertambah cemas. Dengan erat, saya menggenggam laras senjata SMG yang kehabisan peluru itu lalu melepaskan satu pukulan ke tengkok Commander Fam Tze Heong. Oleh sebab hayunan saya yang begitu kuat dan tepat megenai sasaranya, maka Commander Fam Tze Heong rebah ke tanah dan senjata SMG yang saya pegang juga lucut dari genggaman saya lalu terpelanting ke dalam semak. Saya terus menerpa kearah Comander Fam Tze Heong sambil dengan pantas memulas tengkoknya beberapa kali. Kemudian secepat kilat saya mengeluarkan pisau yang berada di pinggang serta terus membenamkan hujung mata pisau saya hingga kehulunya ke dada Commander Fam Tze Heong dengan dua tikaman. 

Selepas itu, saya terdengar Comrade Hoi Yin yang sedang mengerang kesakitan di hadapan saya dan kerana khuatirkan beliau akan bertindak secara membuta tuli melepaskan tembakan lagi ke arah saya, dengan tidak berlengah lengah saya pun melompat pula ke arahnya serta membuat dua tikaman ke dada dan perut pengganas wanita berkenaan. Setelah senyap dan tidak bernyawa lagi dari kedua-duanya, selepas itu barulah saya meninggalkanya.

Setelah pasti yang kedua-dua pengganas telah tidak bernyawa lagi, saya pun memeriksa kedua-dua badan mereka. Peristiwa ini telah memberi kesan trauma yang mendalam terhadap diri saya dan mengalami penyakit anemmia sehingga kini. Untuk makluman, saya telah diberhentikan dari Angkatan Tentera Malaysia di atas sebab-sebab kesihatan (Medical Boarded 40% Disability) pada tahun 1983 selepas peristiwa ini. Saya pun mengumpul senjata, peluru, dan kesemua peralatan yang didapati daripada kedua-dua pengganas komunis itu. Barang-barang yang diperolehi ialah seperi berikut:-

1.       Satu pucuk senapang AK47 bersama 4 kelopak penuh dengan 100 biji peluru.
2.       Satu Stand Gun bersama 2 kelopak penuh dengan 40 biji peluru.
3.       120 butir peluru 7.62.
4.       50 butir peluru 9mm.
5.       2 beg galas yang berisi kelengkapan peribadi.
6.       Peta kawasan.
7.       Dokumen dan risalah komunis termasuk banyak buku-buku ajaran Mao Tze Tung.

Oleh sebab Commander Fam Tze Heong dan Comrade Hoi Yin merupakan ketua kumpulan serta pemimpin tertinggi bagi kumpulan Combat Unit 330 North Kalimantan People Guerilla Front mereka, maka dari beg galas kedua-duanya saya perolehi wang kertas Ringgit Malaysia dan Indonesia Rupiah disamping seketul emas. Saya hanya mengambil dua utas jam tangan yang dipakai oleh Commander Fam Tze Heong dan Comrade Hoi Yin sebagai tanda kenang-kenangan dan tidak mengambil sesen pun wang yang saya jumpai. Kesemuanya saya berikan kepada SDO Xx Xxxx supaya dibahagi-bahagikan sesama mereka. Kedua-dua jam tangan tersebut masih ada di dalam simpanan saya sehingga hari ini.

Untuk mengimbas kembali, sewaktu saya melepaskan tembakan ketika itu ke arah Fam Tze Heong dan isterinya, saya hanya mendengar satu atau dua butir tembakan yang ditembak oleh salah saorang bekas pengganas yang berada di sebelah kiri saya. Entah kemana hala tembakannya saya juga saya tidak tahu. Apa yang pasti selepas pertempuran selesai, saya membuat pemeriksaan peluru serta senjata dan didapati dua biji sahaja yang telah digunakan olih SDO Xx Xxxx (malangnya senjata SDO Xx Xxxx telah ‘jammed’, peluru melekat di dalam chamber senapangnya) manakala dua  lagi, iaitu SEP Zzz Zzz dan SEP Vvvv Vvvv, langsung tidak melepaskan apa-apa tembakan. SEP Yy Yyy yang berada dibelakang saya, tidak membuat apa-apa tembakan oleh kerana beliau telah diarahkan supaya berdiam diri sahaja. 

Selain itu, mereka juga tidak berbuat apa-apa sewaktu saya bertindak ke atas Commander Fam Tze Heong walaupun mereka mengetahui yang isterinya Hoi Yin masih bernyawa dan boleh mengakibatkan kecelakaan kepada saya. Saya kira mereka berdua tidak sampai hati untuk bertindak ganas terhadap Commander Fam Tze Heong dan isterinya Hoi Yin. Setelah mendengar dengkuran nafas Comrade Hoi Yin lebih kurang 10 minit, barulah beliau berhenti daripada dengkurannya sekaligus berhenti daripada menghirup udara bersih di tengah tengah keheningan malam itu bagi menyahut panggilan ajal lantaran penglibatannya dalam satu perjuangan yang sia-sia serta dikutuk masyarakat.

Bersambung...

6 ulasan:

SENAPANG PATAH berkata...

salam Tuan..
meremang bulu roma saya bila membaca kisah ini.
Seolah olah saya sendiri turut berada disana ketika kejadian.
Terima kasih tuan atas caretan ini.

Tanpa Nama berkata...

Salam Tuan

Baru saya tau,rupanya bekerja sebagai MI operatives ni cabaran yang besar. Bukan saja risiko dibunuh, malah tugas tu sendiri walaupun berjaya dilakukan tetap boleh menimbulkan trauma kepada MIO tu.

Tabik hormat kepada semua warga ATM yang telah berjuang menggadaikan nyawa sendiri untuk tanah air

plan berkata...

tq atas post yg menarik ini, jarang dpt melawat blog tuan sbb sibuk dgn tugasan

Robert Rizal Abdullah berkata...

Squad,

Thanks for highlighting another squad's story. Commendable bravery.

Mej. Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B) berkata...

Saudara Semua,

Terima kasih kita kepada Mej Dato' Salehuddin yang sedia berkongsi pengalaman beliau. Harap ramai lagi mengikut langkah beliau dengan e-melkan cerita mereka kepada saya untuk dikongsi bersama.

Bukan calang-calang orang boleh melaksanakan tugas sebegitu.

haizan hairin berkata...

Berderau darau bace blog yang ni