Pengikut

Isnin, 3 September 2012

31 Ogos 1957...Ternoktah Segala Ancaman?

Pada 2 Sep, jam 1430, saya telah menghantar emel berikut kepada 'Forum' Utusan Malaysia...

31 Ogos 2012...55 tahun negara tercinta ini mengecapi kemerdekaan. Tetapi adakah sejujurnya rakyat Malaysia, terutama generasi 'X' dan 'Y', memahami bahawa keamanan tidak ternoktah pada tarikh keramat 31 Ogos 1957? Saya membangkitkan soalan ini kerana saya agak kecewa terhadap pengetahuan sejarah di kalangan segelintir golongan remaja. (Maaf kerana mengambil kenyataan seorang penuntut dijadikan ukuran).

Baru-baru ini, saya berkesempatan menceritakan pengalaman saya di era insurgensi kepada seorang penuntut politeknik. Beliau, bagai tidak percaya, menyatakan tidak tahu bahawa negara menghadapi ancaman daripada pengganas komunis sehingga 2 Disember 1989. Pada tarikh tersebut, termeterailah Perjanjian Keamanan yang ditandatangani di Haadyai, Thailand, dimana pengganas komunis bersetuju meletak senjata.

Penuntut berkenaan menyatakan, setahunya, tiada lagi sebarang ancaman terhadap keselamatan negara selepas pengisytiharan kemerdekaan oleh almarhum YM Tunku Abdul Rahman Putra di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Negara aman sejahtera selepas 1957!

Saya tidak menyalahkan beliau terhadap kecetetan pengetahuan sejarah negara sendiri. Jujur dikatakan, saya tidak mengetahui sukatan pelajaran subjek sejarah di peringkat sekolah menengah dewasa ini. Namun demikian, menyedari bahawa subjek SEJARAH bukannya subjek wajib, dan berlandaskan kepada kenyataan beliau, saya berpersepsi sukatan pelajaran subjek itu hanya tertumpu bagaimana negara mencapai kemerdekaan, wallahualam. Justeru, saya bersyukur apabila kerajaan mengumum mata pelajaran SEJARAH akan dijadikan subjek wajib. Selain itu, saya mengharapkan agar sukatan pelajaran itu dikaji semula supaya lebih menyeluruh.

Saya ada mencadangkan kepada beberapa agensi kerajaan agar menjemput para veteran sebagai pengkisah sekiranya mereka (agensi) menganjur majlis pengkisahan sempena 'musim patriotisme'. Saya percaya kehadiran para veteran akan memberi kesan kepada para perserta yang mengikuti apa jua kursus yang dianjur oleh agensi-agensi terbabit. Bayangkan perasaan para peserta apabila pengkisah datang dengan tongkat putih kerana kehilangan kedua-dua mata atau berkerusi roda, dan sebagainya. Kecacatan anggota bak angkara kedurjanaan pengganas komunis.

Negara bertuah kerana wira-wira yang tidak didendang ini masih hidup untuk menceritakan pengorbanan mereka demi mempertahankan kedaulatan negara. Alangkah ruginya jika pengalaman tersebut bersemadi dengan jasad apabila tiba masanya nanti! Saya sendiri sedia menceritakan pengalaman saya sekiranya diundang jika tiada aral melintang, insyaAllah.

Dan paling penting sekali, pada saya, program bagi menyemarakkan semangat patriotisme ini dilaksanakan secara berterusan, bukannya bermusim seperti musim buah-buahan.

Saya tak pasti sama ada surat saya akan disiarkan oleh Utusan...Wallahualam.

PS: "A Soldier's Wife Story" di sini.

5 ulasan:

Aku Menulis berkata...

salam tuan, tidak heran perkara tersebut berlaku. bukan sahaja pelajar, mungkin warga ATM pun ramai yg tak tahu apa itu peperangan insurgency yang berlaku hingga 1989. Malah peristiwa 13 Mei pun akan hilang dari sejarah kerana dikatakan dah jadi sensitif - katanya takut menyentuh perasaan satu bangsa. maka ia bakal dipadamkan dari catatan sejarah.

Arunzab berkata...


Saudara Nor,
I believe that there are many young men out there who think that with the declaration of independence in 1957 the war against the (CPM) was all but over. As the (CPM) were defeated and routed out, from towns to the villages and from villages to the suburbs and into the deep jungle and with it went their memory of the war. As in the metaphor 'out of sight out of mind'. The blame lies as you rightly put it that, the young are not reminded our history. 

It is sad that in spite of your nobel effort to suggest that our Veterans go to training establishments and give their first hand account of how the war was won has only received a luke warm response. I often worry that, with the slow demise of our veterans, with it will go the first person accounts of the many episodes of the the actual battle. If no action is taken now, then one day all this will come back to haunt us as the quote  "Those who forget history are condemned to repeat it?"

Mej. Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B) berkata...

COLTORAS & Saudara Arunzab,

Terima kasih. Memang benar apa yang dikata. Kalau anda masih ingat, saya ada menyatakan dalam blog bahawa ada penuntut TUDM di MPAT yang terkejut apabila dimaklum yang sebuah Nuri telah ditembak jatuh di Gubir. Itu mereka yang berpangkat Lt Kol & dianugerah sarjana. Justeru, apa yang nak diharapkan daripada warga tentera yang terdiri daripada generasi 'X' & 'Y'!!!

Jari jemari saya dah jem menghantar emel pada 'bintang2' di KEMENTAH...macam mencurah air di daun keladi. Pengesahan penerimaan pun tiada. Tak apalah, saya tak rugi apa2 pun. Sekurang2nya minda saya terus berfungsi, wallahualam.

Namun demikian, ada agensi telah mengundang para veteran sebagai pengkisah. At least the ball is slowly rolling now.

Temuk berkata...

Matapelajaran "Sejarah" amat penting diajar di sekolah-sekolah kita. Dan amat wajar diwajibkan. Kandungannya, dan juga kaedah pengajarannya, perlu diperhalusi agar pelajar menyukainya, lulus di dalamnya, hatta benar-benar belajar darinya.

Mej. Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B) berkata...

Cikgu Temuk,

Terima kasih. Kita tunggu sajalah sukatan pelajaran 'Sejarah' yang disebutkan oleh TPM di akhbar2 hari ini.