Pengikut

Khamis, 8 September 2011

ANTARA DARAH, MARUAH DAN PENGHARGAAN - BHG 2

Sambungan dari coretan ini....

Aku terus membetulkan senjataku ke arah sasaran yang ku lihat sekarang. Ketika pejera senjataku tepat menghala ke sasaran, aku terfikir sejenak...terlintas di fikiranku sekiranya aku tembak seorang pengganas yang berhampiran Kapt. Xxxx, bagaimana dengan pengganas yang lain, sudah tentu mereka akan menembak Kapt Xxxx, dan tentu sekali MISSIONKU gagal, sedangkan perintah yang ku terima ialah menyelamatkan Kapt Xxxx dengan apa cara sekalipun.

Sekiranya terbunuhlah Kapt Xxxx dalam Gerakan ini, bererti UTUSANKU gagal. Jika dengan tembakanku membunuh musuh yang pertama menyebabkan matinya Kapt Xxxx ke mana...di mana dan dengan siapa aku akan bergantung nasib? Siapakah yang akan membela aku jika terjadi demikian? Kerana aku benar-benar melanggar perintah yang diarahkan iaitu Menyelamatkan Kapt Xxxx dengan apa cara sekali pun.

Masa terus berlalu, kira-kira 10 minit kemudian selepas Mej Damian keluar ke tempat Permulaan, aku terdengar bunyi brek 3x3 ton tentera di luar sana yang tidak jauh dari kedudukan kami. 5 minit kemudian, ku dengar satu tembakan dan diikuti dua tembakan (double tap). Ku tahu tembakan double tap ialah tembakan dari rakanku, kerana kumpulan kami dilatih menembak double tap sekali tembak. Pada mulanya, aku menyangka yang kami telah mendapat bantuan dari 8 Melayu Diraja, tapi sebenarnya dua orang pengganas wanita telah cuba untuk membuat serang hendap terhadap pasukan tentera yang datang dengan truck sebentar tadi. Pemergiannya ke lokasi tersebut telah bertembung dengan Kpl yusof yang berada di situ, dan melepaskan tembakan satu das dan dibalas oleh Kpl Yusof dengan double tap. Selepas menembak Kpl Yusof, penggganas tersebut terus menghilangkan diri. Kedua-dua tembakan tidak mengena sasaran.

Dengan kedengaran tembakan tadi, pengganas yang bersama Kapt Xxxx terus membiarkan Kapt Xxxx dari jagaannya, bagi menyelamatkan dirinya. Sangkanya kumpulan tentera telah masuk ke lokasinya berpandukan bunyi brek kenderaan serta bunyi tembakan sebentar tadi.

Dari pemerhatianku, Kapt Xxxx telah bebas dari ketiga-tiga pengganas yang mengawasinya kerana menyelamatkan dirinya. Aku tidak pasti dari sudut mana mereka menghilangkan diri. Suasana hening seketika. Aku dan kumpulanku, kecuali Mej Damian, masih di kedudukan yang sama. Lebih kurang 10 ke 15 minit selepas itu, datanglah Panglima Markas Kor Lt Jen Dato' Zzzz bersama-sama beberapa orang panglima lagi serta beberapa orang Pegawai Kanan yang mengiringi beliau. Setelah mendengar taklimat ringkas dari Mej Damian mengenai operasi yang berjalan tadi, lantas beliau berkata yang beliau ingin berjumpa dengan anggota-anggota yang terlibat.

Aku, Mej Damian, Kapt Muzaini, Kpl Yusof serta beberapa orang lagi datang berjumpa Panglima Markas Kor Lt Jen Dato'  Zzzz. Beliau mengarahkan supaya Kpl Yusof yang terlibat dengan tembak-menembak tadi, menceritakan apa yang berlaku. Kpl Yusof, berdiri di sebelah kedudukanku, menceritakan apa yang berlaku terhadapnya sebentar tadi. Memulakan cerita, beliau berkata '.....setelah kedengaran bunyi brek 3x3 ton di luar sana, aku mengawasi kawasan hadapanku. Seketika kemudian, aku terdengar seperti ranting kayu dipijak orang. Aku terus berpusing menoleh ke belakang. Ketika itulah musuh menembakku dan aku terus membalas tembakan tersebut tapi musuh sempat melompat melarikan diri.  Jarakku dengan musuh lebih kurang 10 meter dari kedudukanku'. 

Panglima Markas Kor terus mengemukakan soalan terhadap Kpl Yusof. Katanya....'Kamu dengar tak kalau orang melompat di jarak 10 meter?' Soalan ini ku (Ghani) fikir harus ku jawab bagi mententeramkan keadaan. Dengan perasaan separuh berani, aku mengemukakan soalan terhadap Panglima Markas Kor. Kataku '....Dato', jika saya tembak musuh tadi, matilah Kapt Xxxx dalam kumpulan itu. Saya nak bergantung dengan siapa Dato'?' 

Panglima Markas Kor menjeling ke arahku, mungkin agaknya dia marah kerana soalan yang dikemukakan terhadap Kpl Yusof masih tidak berjawab. Kemudian beliau terus menyambung '...Orang melompat di jarak 10 meter kamu dengar tak?' Lantas aku terus menjawab '...Dengar Dato''. Beliau terdiam sejenak, mungkin sedang memikirkan pertanyaanku tadi. Akhirnya beliau berkata '...Orang habis juta-juta ringgit cari musuh. Kamu dapat musuh kamu lepas. U..L..S Komando'. Kemudian beliau bangun dan beredar dari kedudukannya, serta diiringi oleh pegawai-pegawai kanan yang mengikutinya.

U..L..S atau T.K G..A....begitulah yang aku dan rakan-rakanku terima setelah aku dan rakan-rakanku mempertarungkan nyawa menyelamatkan Kapt Xxxx. Sekiranya Kapt Xxxx Xxxxxx terbunuh dalam usaha menyelamatkannya tadi, sudah pasti komando dipersalahkan. Sebaliknya Kapt Xxxx selamat, komando juga dipersalahkan.

Sidang pembaca yang saya hormati, untuk memakai BERE HIJAU dan bergelar KOMANDO yang diiktirafkan, kami terpaksa menjalani kursus selama 2 bulan lebih, pelbagai derita yang kami tempuhi. Hanya orang-orang yang tabah sahaja dapat menghabiskan kursus yang penuh cabaran itu.

Aku menulis cerita ini sekadar untuk meluahkan perasaan yang terpendam agar ianya tidak menjadi trauma yang menghantui fikiran. Kepada Kapt Xxxx yang khabarnya telah berpangkat kolonel ketika cerita ini ku tulis, banyak-banyaklah bersyukur kepada Allah yang telah menyelamatkan nyawanya dalam peristiwa tersebut. Kalau ada kelapangan, carilah seorang demi seorang anggota KOMANDO yang terlibat dalam menyelamatkan nyawa tuan. Cuma 8 orang sahaja dan kini cuma tinggal 7orang lagi yang masih ada. Kerana baru-baru ini Kapt Muzaini telah pulang ke rahmatullah. marilah kita  MEMBACA AL-FATIHAH untuknya. AL-FATIHAH.~

Saya telah menghubungi Kol Xxxx  untuk mendapatkan cerita beliau. Kerana kesuntukan masa, tidak banyak maklumat yang dapat dicatatkan. Menurut beliau, insiden ini berlaku Ahad, Februari 1987, 2-3 hari sebelum Tahun Baru Cina. Beberapa keluarga telah pergi berkelah di Batu 16 Jalan Gombak, berhampiran dengan kuil Hindu. Itu sahaja yang dapat dicatatkan. Saya akan cuba mendapatkan cerita selanjutnya, insyaAllah. 


PW2 Haji Abdul Ghani....Saya tabik spring kepada Encik terhadap keikhlasan meluahkan apa yang terpendam dalam diri selama ini. Saya berbangga dengan semangat setiakawan/esprit de corps  anda yang tak berbelah bagi terhadap pasukan anda. Terima kasih.

14 ulasan:

Nur Emyinda berkata...

Salam Tn Mejar Nor and PW2 Hj Abd Ghani,

Sy mengikuti blog Tn dan cerita2 yang dipaparkan...Yang ini...sedih dan getirnya pengalaman hidup wira2 pejuang; terutama di era PKM berleluasa. Tak dapat saya bayangkan bagaimana saban hari diri tercabar dengan serangan musuh dan tersepit di antara tngjwb tugasan yang diberi dan nyawa sendiri yang dipertaruhkan. Sounds like, "You just do it, no questioning... mission must be succesfully accomplished. Menurut perintah... That;s an order!". Well, sesiapa pun yang telah seolah diberi "peluang hidup kali kedua ini" wajarlah yang berkenaan yang telah berjaya diselamatkan bersyukur dan setidak2nya dikesempatan yang ada mencari rakan2 yang telah menyelamatkan mereka...Inilah sahabat sebenar. They are not only merely a soldier, a matter of just following orders from the superior i guess. Esprit de corps and discipline sure they are! Bg saya, these men, so called Commandos, are true unsung heroes, who risks their lives to save their friends....so remember cherish and honour them... coz i do...no doubt i'm no soldier myself ;-) May God bless these men who had displayed much courage and bravery to save other mens' lives!

Tanpa Nama berkata...

Salam, Mej.
Hamba yang jahil ingin bertanya. ULS dan TKGA tu apa?

Terima kasih...

Tanpa Nama berkata...

U..L..S bukan singkatan nama tp refer untuk USELESS.
T.K G..A pulak untuk Tak Guna

Tanpa Nama berkata...

begitulah nasib tentera ni....mission accomplished pun kena marah. bayangkan kalu kapt tu kena tembak mati masa en ghani tgh rescue dia,alamat sampai pencen la tak abis cerita.
agak2nya all crew nuri pun ada situasi mcm ni x masa fly???? buat salah x buat pun salh....any komen sir??

mangchikla berkata...

uwaaaaaa anon 2:20 PM, cekap 'decipher' :D

jimio berkata...

dalam organisasi tentera perkara2 macam ni dah kira common je, no isu...

gogo berkata...

nak lagi citer-citer komando, best la...

Tanpa Nama berkata...

Salam Tuan Nor dan Encik Hj Abd Ghani,
Jika saya 'commander on the ground' atau ketua unit yang menjalankan operasi menyelamat tersebut, saya akan memulakan tembakan dan berusaha membunuh seberapa banyak musuh yang boleh. Ini ulasan am saya setelah mengamati maklumat dan gambaran yang sedikit dari pihak En Hj Abd Ghani yang berada di tempat kejadian.Saya hormati tindakan dan keputusan Encik ketika itu, yang penting, Kapten dari Kor Jurutera berkenaan dan ahli keluarga beliau yang berkelah itu terselamat. Saya katakan mereka ini memang bernasib baik, berada di dalam 'hostage situation' dan terselamat kesudahannya.En Hj Abd Ghani memanglah wira sebenar ketika itu termasuk juga semua ahli kumpulan En yang berjaya melaksanakan misi dengan berjaya, mengikut 'mission' operasi, yang mana mahu tawanan terselamat.
Jangan risau En Hj Abd Ghani,besar kemungkinan Panglima yang mengajukan soalan2 mendesak selepas operasi berkenaan tidak diberi taklimat tepat berkenaan 'mission' sebenar operasi menyelamat berkenaan.
Cuma jika saya ketua menyelamat tersebut, saya ulangi,saya akan dapatkan seberapa banyak musuh dibunuh, dalam masa yang sama cuba menyelamatkan tebusan.Jika En Hj Ghani anak buah saya semasa operasi berkenaan, saya akan galakkan Encik dan anggota saya yang lain membunuh musuh dan menyelamatkan tebusan di masa yang sama.Apa yang terjadi kemudian ,saya akan bertanggungjawab, memang ini prinsip saya di dalam perkhidmatan dahulu, namun tiada rezeki membunuh musuh. Saya faham,dengan rasa rendah diri, dengan rasa yang tidak takabur, itulah yang saya akan lakukan didalam situasi En Hj Abd Ghani.Kita kena faham, yang penting bagi pihak atasan ialah 'results dan body counts', mereka hanya mahu 'tally' atau bilangan musuh yang dibunuh tercatat dan bertambah.Saya faham, memang senang bercakap dari 'bikin', atau ungkapan biasa iaitu 'cakap tidak serupa bikin'.
Saya tabit mereka yang biasa dan berpeluang bertempur dan membunuh ramai musuh kominis kita.Doa kita juga kepada rakan2 uniform kita yang terbunuh semasa bertugas semoga mereka mati syahid, (kepada yang berugama Islam).Terima kasih tidak terhingga kepada semua rakan2 dari TLDM, TUDM dan agensi kerajaan lain yang membantu dalam operasi Tentera Darat bagi membersihkan ancaman kominis dari bumi kita.Terima kasih Tuan Nor,dan semua pilot2 dan aircrew lain juga, seronok Tuan kami naik Nuri dan Hercules masa dulu2. In my opinion, all the air crews of RMAF are truly professionals in carrying out their duties. Wassalam semua. Kalau boleh nak jumpa Tuan Nor dan En Hj Ab Ghani di Malaysia nanti, kena teh tarik, roti canai sambil sembang2.
Salam Perantauan,
Kapt (B) Ridzuan (RAMD).
Perth,Australia Barat.
E mail : ridzlam@yahoo.com.

Tanpa Nama berkata...

Salam semua,
Kalau tidak silap saya, pegawai yang diselamatkan itu adalah seorang pegawai Kor Jurutera.Beliau berkelah bersama keluarga, semasa diberkas pengganas kominis, beliau sempat menyorokkan BATC10 (IC Tentera)beliau, jika tidak pasti keluarga beliau dan beliau akan mati dibunuh.Dimaklumkan juga beliau dapat menghubungi dan memaklumkan situasi beliau ditawan musuh melalui telefon (telefon awam? Telefon cellular belum banyak digunakan ketika itu).'Body language' serta perwatakan beliau pasti nampak seperti seorang anggota tentera apatah lagi rambut pendek beliau.Beliau menyamar sebagai guru, bila ditanya musuh, jika tidak silap saya.Cuma pegawai tentera berkenaan dan keluarga beliau tidak diapa-apakan kerana musuh belum dapat memastikan status Kapten berkenaan, tentera atau awam.
Kisah 'inside information/story' dari PW2(B) Hj Abd Ghani ini amat menarik sekali.Tahniah dan syabas,bagi saya "your mission is accomplished,Encik!".Saya berdoa semoga En Hj Abdul Ghani lebih tenteram dan bebas dari trauma yang menghantui Encik selama ini dan dapat bersara di dalam aman. Wassalam.
Kapt (B) Ridzuan (RAMD).
Perth,Australia Barat.
ridzlam@yahoo.com

basri bin omar berkata...

Salam SdrRidzuan!

Tepat tekaan Sdr tu...salam Syawal

Mej. Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B) berkata...

Saudara Semua,

Satu dilema untuk En Abd Ghani. Apa pun, saya yakin beliau meresa lega setelah meluahkan perasaan yang tempendam sekian lama.

Tanpa Nama berkata...

syabas encik abd ghani...pengalaman encik menemui musuh tetapi tidak menembak musoh itu perkara biasa kpd lain lain infantry units yg pernah menjejak musuh di zaman insurgensi.

Jeneral yg marah tu, pernah ke dia tengok atau bertempur dgn musoh? kalau tak pernah ada experience tu....dia memang .....

Tanpa Nama berkata...

Salam sahabat,
Saya Kapt (B) JLJ yang pernah berkhidmat dengan Mk 21 GGK sebagai BEME pada tahun 1995-1998. Masa tu Mej Damien buat 2IC 22 Kdo. Sebelum bersama komando saya berkhidmat dengan 14 RAMD (Bantuan) sebagai OC LAD selama 2 tahun. Sepanjang 5 tahun dengan unit tempur ni adalah sikit-sikit semangat infantri. Walaupun rapat dgn pegawai komando termasuk Mej Damien, saya tak pernah mendengar cerita ini. Anyhow pasal komen jeneral tu, adatlah sebagai pegawai dan anggota bawahan dalam perkhidmatan. Mungkin tak ramai yang tahu masa zaman Jen Daud di Mk Kor TD, bila melawat anggota yang mati bertempur, ceritanya beliau menggunakan kaki sahaja untuk menyelak anggota sambil berkata 'This is because lack of traning (Ini adalah kerana kurang latihan). Bagi saya subjektif komen tu. Salah pun tidak betul pun tidak. Masing-masing kena menilai sendiri. Bagi Kapt (B) Riduan, konsep bertempur beliau adalah membunuh musuh diberi keutamaan disamping menyelamatkan tebusan. Tidak salah kerana beliau mempunyai kaedah tempur beliau sendiri dan akan bertanggung jawab atas tindakan beliau. Bagi saya berbeza kerana didalam keadaan tersebut saya utamakan keselamatan pegawai tersebut terlebih dahulu. Membunuh musuh adalah keutamaan ketiga. Keutamaan kedua adalah keselamatan anggota trup saya. Tugas umum saya adalah membunuh musuh jika berkesempatan. Tugas khas saya pada ketika itu adalah menyelamatkan pegawai tersebut. Secara peribadi sekiranya pegawai tersebut terbunuh dan ada anggota saya yang tewas, saya akan menyesal seumur hidup. Saya gagal bukan saja didalam tugas umum dan khas tetapi juga gagal melaksanakan amanah keluarga mereka yang tewas. Sebagai pegawai amanah keluarga mereka yang dibawah tanggungan saya adalah keutamaan satu. Saperti kata Lt Kol Harold More semasa di La Drang Valley, I will be the first to enter the battlefield and the last to leave. Saya lebih sanggup mengadap jeneral disebabkan gagal membunuh musuh daripada menulis surat, mengiringi jenazah dan menyerahkan bendera negara kepada keluarga anggota ataupun tanggungan saya yang tewas. Sun Tzu pernah berkata, a good general is not the one who win most of the battle but the one who win with most of his men intact. Dua konsep bertempur yang berbeza dari dua bekas pegawai yang melalui latihan yang sama. Jadi bagi anggota bawahan, perjalanan cerita akan bergantung kepada aturcara pegawai atasan melaksanakan tugas mereka. Walau apa pun yang penting kita telah melaksanakan tugas yang diamanahkan. Hanya mereka yang berada bersama semasa kejadian sahaja yang boleh menilai. Bagi yang lain penilaian hanya melalui penulisan yang dipersembahkan yang mana akan memberikan maklumbalas yang mungkin kita suka atau pun tidak. TQ.

Capt (Rtd)
REME Corps
Army

Baharin Jalil berkata...

Pada tahun 1987, saya Pemangku Pegawai Rentah 11RGK pernah mendengar kejadian hostage yang diceritakan tetapi tidak ketahui operasi secara mendalam dan kelibatan unit komando. Mungkin operasi itu singkat waktu dan tiada kematian telah berlaku,menyebabkan tidak tersebar meluas.

Namun kita bersyukur Alhamdulillah anggota kita dan keluarga selamat. Saya mengucapkan syabas kpd En.Ghani dan rakannya, bagi saya apa yang mereka lakukan adalah yang terbaik yang mereka mampu lakukan dalam situasi menyelamat nyawa tahanan diutamakan. Membunuh kominis sudah jatuh keutamaan kedua. Memang menyelamat tebusan dan membunuh kominis sekali adalah lebih berjaya, namun kita diluar tidak dapat komen melainkan kita saksikan kejadian itu dengan mata sendiri.
Jeneral yang komen tu kadangkala kurang rasional. Saya sendiri pada tahun sama bergerak ke Bentung dalam kejadian lain, untuk command RKK diketuai oleh Allahyarham Lt.Ali menyerang kem Chong Chor pada waktu menjelang pagi keesokkan hari. Selepas serangan yg berjaya membunuh seorang komunis dan mencederakan beberapa yang lain,apabila first message dimaklumkan ke Markas Kor, apa yg mereka ingin tahu apa isi kandungan dalam pack, walhal RKK saya tengah buat hot pursuit. Saya tidak pedulikan Markas Kor kerana operasi masih berjalan. Tanya MIO Pahang waktu tu. Ini lah ceritanya, tidak tahu mana keutamaan.
Saya mengundudur diri dari ATM pada 1988 setelah 19 tahun tak kering bulu memburu kominis dari Sarawak hingga Semenanjung, survived 2 MT Ambush disebabkan premature activation of the land mines by the kominis at hill cutting slope to Oya Camp, Sibu dan SiRusa Serikei.
Akhirkata Cakap tak Serupa Bikin la.