Pengikut

Sabtu, 3 Julai 2010

Bila Terlepas Pandang, Akibatnya Meranalah Badan

Pertama sekali, ketahuilah bahawa saya sungguh simpati dengan segolongan kecil mantan warga tentera, pegawai mahu pun LLP, yang terpaksa melalui kehidupan yang agak menyedihkan, terutama di usia senja ini. Saya kesian apabila membaca surat dari 'SKOT SEKUPANG' yang disiarkan dalam 'Forum' Utusan Malaysia pada 30 Jun 2010.

Namun demikian, saya terpaksa memberi pandangan tentang apa yang diperkatakan beliau. 'SKOT' MESTI terima hakikat bahawa peraturan tentang syarat perkhidmatan dalam ATM dengan jelasnya menyatakan seseorang anggota LLP hanya layak menerima pencen setelah berkhidmat 21 tahun ...Ini satu kenyatan dan tidak boleh dipertikaikan!  Ini bermakna, secara teori, sekiranya seseorang itu berkhidmat 20 tahun 11 bulan 30 hari beliau tidak layak mendapat  pencen kerana kurang 1 hari! Sekarang saya difahamkan perkhidmatan ini boleh disambungkan selama dua tahun dan mereka akan layak mendapat lebih kurang 60% gaji pokok sebagai pencen.

Menurut SKOT, salah satu faktor mengapa mereka tidak menyambung perkhidmatan ke 21 tahun ialah kerana faktor kesihatan. Mungkin saya silap...seingat saya mereka yang ditamatkan perkhidmatan disebabkan kesihatan (medically boarded) akan diberi pencen dengan kadar tertentu, walau pun tidak memenuhi syarat di atas. Sekiranya diberhentikan atas sebab-sebab disiplin atau pun 'AWOL', sudah pasti mereka tidak layak menerima sebarang imbuhan, apatah lagi pencen.

Dua tiga tahun kebelakangan ini, ada ura-ura mencadangkan mereka yang berkhidmat 10 tahun tetapi kurang dari 21 tahun, turut diberi pencen mengikut 'formula' tertentu. Saya berharap cadangan tersebut akan menjadi kenyataan secepat mungkin. 

Saya telah menulis satu coretan khusus untuk segelintir anggota LLP bagi mengingatkan mereka agar banyak-banyak beringat tentang kehidupan selepas bersara nanti. Sekiranya ada masa, sila baca kembali coretan bertajuk "Anggota Tentera LLP...21 Tahun Kemudian!" di sini. Bersediakah anda, dari aspek kewangan, menghadapi  alam kenyataan yang penuh cabaran ketika umur baru mencecah awal '40an dan sudah berstatus 'pesara'? Anak-anak masih bersekolah, mungkin hutang rumah belum selesai, kos keperluan harian kian meningkat, dan entah apa lagi....

SKOT...Perkhidmatan tanpa pencen ini bolehlah dipersamakan dengan pegawai Tauliah Jangka Pendek (TJP). Untuk makluman anda, pegawai TJP, katakan seorang juruterbang, 'kontrak' perkhidmatan beliau hanya 13 tahun sahaja manakala bagi jurusan lain pula 10 tahun. Mereka boleh memohon untuk menukar kepada Tauliah Jangka Tetap (TJT) bagi melayakkan berada dalam 'skim pencen'.  Sekiranya tidak diluluskan kerana faktor-faktor tertentu....tiba saja 'TTP (ROD)'...sayonara dengan sedikit wang ganjaran. Itu sahaja! Lepas itu, pandai-pandai le membawa diri.

Walaubagaimana pun, kita sepatut bersyukur kerana kita masih layak mendapat kemudahan perubatan percuma. Jangan pandang remeh perkara ini. Sudah berumur ini, kalau kurang mengambil berat tentang kesihatan, hospitallah jadi rumah kedua dan doktor menjadi kawan rapat. Kos perubatan bukannya murah. Ambil satu contoh penyakit dalam carta paling 'popular' sekarang ini - KENCING MANIS. Di tahap kritikal, ianya memerlukan rawatan 'haemodialisis' setiap 2 hari sekali. Kos rawatan ini, paling rendah, ialah RM150 sekali rawatan = RM2250 sebulan. Ini belum termasuk lain-lain ubat dan kos pengangkutan.  Kita? PERCUMA...Syukur Alhamdulillah.

Wahai warga ATM yang masih berkhidmat...Anda sahajalah yang boleh menentukan arah mana yang anda ingin tujui. Usahalah untuk mencapai matlamat itu...akhirnya, Allah yang menentukannya. Tanpa sebarang usaha...tanggunglah sendiri dan jangan dipersalahkan orang lain. Mungkinkah terdapat  kebenaran apa yang diperkatakan oleh 'MULUNG'?

Oh ya...Saya rasa 017-544xxxx terlepas pandang kut tentang amoun pencen terkini. Kalau tak silap saya, pencen paling minima untuk mereka yang berkhidmat 21 tahun telah dinaikkan kepada RM725, bukannya RM420 lagi.

Pembaca...Sila perbetulkan sekiranya tedapat kesilapan fakta, maklumlah, sudah 18 tahun bersara. Sudah pasti banyak peraturan baru berkaitan dengan syarat-syarat perkhidmatan.

Sebagai penutup coretan, bacalah respons kepada keluhan SKOT...

'Forum' Utusan Malaysia pada 2 Julai 2010

Diharap coretan ini dijadikan iktibar demi untuk masa hadapan keluarga tersayang. Ingat...'SIMPATI' orang ramai tidak boleh mengenyangkan perut.

6 ulasan:

Nadia berkata...

MEjar,

nak tanya ya, katakan kalau Pegawai yang berkhidmat, kalau katakan berhenti awal selepas berkhidmat kurang dari 10 tahun memang dibenarkan atau tidak? ataupun telah terikat untuk berkhidmat selama 10 tahun dan kena bayar ganti rugi sekiranya berhenti awal???

Dan adakah pegawai yang bersara wal, layak memakai gelaran kapten (B) atau MEjar (B)

sekadar untuk meminta pandangan

Mej. Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B) berkata...

Nadia,

Terima kasih kerana membaca blog saya. Saya difahamkan, secara rasminya, seseorang pegawai itu tidak boleh berhenti sebelum kontraknya tamat walaupun beliau sanggup membayar 'ganti rugi'. Namun demikian, beliau boleh merayu kepada pihak atasan untuk dipertimbangkan. Case by case.

Untuk makluman, majoriti pegawai ini memohon untuk diserapkan kepada TJT tetapi bukannya mudah kerana TUDM sekarang 'very selective'..supply exceed demand. Gaji banyak, pangkat mudah naik dan kerja kurang!

Mengguna 'pangkat' selepas bersara dibenarkan. Namun demikian, ianya bukan 'otomatik' atau satu hak. Jabatan Rekod Perkhidmatan, KEMENTAH, akan mengeluarkan satu surat kebenaran. Sekiranya anda masih ingat baru-baru ini, akhbar melaporkan seorang pegawai tinggi TUDM telah menyaman Kerajaan kerana tauliah beliau ditarik balik dan tidak dibenar mengguna 'pangkat' selepas perkhidmatan beliau ditamatkan.

Tanpa Nama berkata...

maj!
Begitu lah "out of sight-out of mind"
Maka jaga lah diri mu sendiri kerana tiada siapa akan peduli walau setinggi mana pun pangkat mu.
Yang pasti berbakti kepada ALLAH kerana janji ALLAH pasti akan berlaku.
Semoga saudara ku semua bersabar menghadapi apa jua dugaan dan cabaran...Amin....

Mej. Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B) berkata...

Anonymous,

Amin...Sebenarnya Pegawai (TJP) & LLP senasib saja. Sekiranya mereka masih 'khayal di buai mimpi'..tanggung sendirilah.

Urology Nursing berkata...

Assalam mej. Saya isteri bekas tudm. Suami saya bukan berhenti secara rela. Dia terlepas pandang tarikh lanjutan perkhidmatan sehgg dia tak sempat buat semua dokumen wlau bagaimn pon dia ttp buat rayuan ttp ditolak sggh pon dibantu oleh bos di jabatannya. Apa yg sy sdih semua trjadi begitu pantas tnp apa perancangan.. smpaikn kereta kami tpksa ditarik kerana suami sy terputus bekalan duit. Mujur saya masih bekerja tapi suami saya msh tercari2 pekerjaan yg ssh skrg nak dpt. Mcm2 pekerjaan dia lakukan demi kami skeluarga. Kami mempunyai 3org ank yg msh kcil. Nama kami blacklist sbb ansuran kereta tak dilunaskan. Kami patah kaki shgg tiada kenderaan utk bergerak. Saya ada hubungi ltat bertny ttg wang bersara tp ltat tidak menerima sbrg dokumen lagi dr ugat. Kami pergi ke pjbt ugat mmg dokumen msh disana katanya dln proses lg.. apa yg sy ingin smpaikan, berapa lama kami mesti menunggu wang itu dan apa lgkah2 yg perlu kami ambil? Adakah menunggu dan menunggu sj? Kerana suami sy last berkhidmat pad November 2015 selama 15thn berkhidmat.. mohon jasa baik mej yg mgkin tahu serba sdikit beri penjelasan..

Mej. Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B) berkata...

Waalaikumussalam.

Terima kasih kerana melayari blog saya. Saya telah panjangkan masalah Puan kepada satu persatuan veteran TUDM yang baru didaftarkan. Harap hubungi saya di 019-4744849 untuk saya berikan butir-butir suami Puan kepada mereka. Manalah tahu, mungkin mereka boleh membantu. Tanpa butir-butir tersebut, agak sukar mereka mengambil tindakan selanjutnya, wallahualam. Terima kasih.