Followers

Monday, December 10, 2012

Pendahuluan

Bermula 'PERBATASAN TERHADAPAN NEGARA & LAIN-LAIN KISAH' dengan draf  'Pra-kata' berikut, insyaAllah...
Pra-kata

Syukur alhamdulilah, berjaya juga saya menerbitkan buku kedua ini. Sepertimana buku pertama, ‘Coretan Xnuripilot’ yang bergenre patriotisme, buku ini juga adalah pembukuan koleksi coretan-coretan hasil sumbangan para wira yang tidak didendang yang disiarkan dalam blog saya – xnuripilot.blogspot.com.

Saya terdorong untuk  mendokumentasikan pengalaman para veteran  apabila membaca “A Doctor In The House. The Memoirs Of Tun Dr Mahathir Mohamad”. Ini kerana Tun Dr Mahathir telah menyatakan dalam bukunya itu bahawa salah satu tindakan terpenting dibuatnya apabila menjawat Perdana Menteri, ialah menuntut Terumbu Layang-Layang (Swallow Reef) di Laut China Selatan dan menempatkan ‘orang kita’ di sana. Ini bagi mengukuhkan tuntutan negara terhadap terumbu tersebut.

Saya teruja kerana saya turut terlibat dalam proses awal mentransformasikan sebuah terumbu kepada sebuah pulau – Pulau Layang-Layang. Kini,  pulau tersebut menjadi syurga kepada  penyelam skuba menikmati keindahan ciptaanNya.

Bukan objektif saya untuk membincangkan dari aspek keselamatan. Umum mengetahui sehingga kini, tuntutan bertindih terhadap gugusan Kepulauan Spratly di antara negara-negara berkepentingan, termasuk Malaysia, masih tiada seberang penyelesaian. Saya hanya cuba memaparkan secebis kisah pengorbanan warga anggota ATM yang terlibat dari mula kelahiran dan seterusnya mempertahankan kedaulatan sebahagian tanah air tercinta ini daripada sebarang ancaman oleh mana-mana pihak.

Saya juga turut mendokumentasi kisah-kisah mereka yang sedia kongsi bersama pengalaman. Saya berpandangan, kisah-kisah para veteran yang mempunyai nilai sejarah ini,  seharusnya diabadikan supaya dijadikan bahan rujukan  bagi generasi akan datang.  

Saya sungguh gembira apabila kerajaan mengumumkan mata pelajaran ‘Sejarah’ akan dijadikan subjek wajib. Memang bertepatan sekali bagi menangkis kehakisan semangat patriotisme di kalangan rakyat. Untuk melengkapkan subjek itu nanti, pengkisahan oleh para veteran boleh  memainkan peranan sebagai perencah.

Bayangkan kesan kepada para pendengar jika seorang pengkisah datang dengan bertongkat putih kerana kedua-dua mata tidak boleh melihat, bertompang ketiak dek ketiadaan kaki, dan lain-lain kecacatan anggota angkara kedurjanaan pengganas komunis di suatu ketika dulu. Saya pasti ramai yang akan lebih menghargai pengorbanan anggota Pasukan Keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara dan sekaligus menaikkan semangat patriotisme.

Saya percaya  laungan bagi memupuk kecintaan terhadap negara, yang sekarang ini lebih bersifat  bermusim, dapat dipertingkatkan sekiranya ia dilaksanakan secara berterusan, tidak hanya pada  bulan Ogos dan September setiap tahun sempena menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Saya pasti terdapat ramai para veteran yang sedia  menyumbang khidmat bakti dengan meyampaikan ceramah-ceramah tentang pengalaman mereka di organisasi-organisasi tertentu sekiranya mereka diberi kesempatan.

Saya sendiri telah berusaha menyarankan agensi-agensi mengundang para veteran sebagai pengkisah tetapi responsnya agak mengecewakan. Alangkah malangnya jika pengalaman yang tidak boleh diukur dengan wang ringgit berkubur dengan jasad tiba masanya nanti.

Harapan saya agar buku yang tidak sepertinya ini, sedikit-sebanyak dapat memberi kesedaran tentang kepentingan sejarah tanah air tercinta yang satu ini.

Penghargaan saya kepada isteri tercinta, Siti Roffini Binti Mohd Yusof, yang sentiasa memberi galakan dan terpaksa bersabar dengan kerenah saya ketika menyunting buku ini. Saya turut mengucapkan penghargaan kepada Panglima Tentera Laut, Markas Tentera Laut, No 5 Skuadron, Brig Jen Datuk Ibrahim Hashim TUDM, Kept Johari Ahmad TLDM (B), Lt Kol Basri Omar PGB (B), Mej Datuk Salehuddin PGB (B), Mej Zainal Abidin Husin KPK (B), Mej D. Swami (B), Mej Ishak Mohd Isa KPK (B), Kapt Ismail Bakar, PW2 Saifuddin Choo Abdullah (B),  PW2 Jaafar (B), PW2 Muhamad Razali Din (B) dan Lk1 Kmr Ismail Abd Aziz (Pak Mail). Tidak dilupai kaum keluarga, rakan-rakan seperjuangan, para pembaca blog saya dan ramai lagi yang menyumbang idea serta  galakan sehingga buku ini berjaya diterbitkan.

Mejar Nor Ibrahim Bin Sulaiman TUDM (B)

Pagi tadi, saya telah menghantar permohonan untuk mendapatkan ISBN. Sekarang ni kelang-kabut untuk menyediakan draf untuk dihantar kepada seorang individu dengan harapan beliau sudi menukil sepatah-dua kata sebagai 'Sekapur Sireh'. Masih banyak lagi proses yang perlu dilalui.

5 comments:

Anak Watan said...

Tak sabar ...kali ini tak mahu jadi seperti buku pertama...di mana sy gagal dapat walau $$ ada... ini lah akibat gara2 acuh tak acuh dalam buat kerja...

Anonymous said...


harap dapat menatapnya pada 2013 ini.Semoga

Mej (B) Nor Ibrahim Bin Sulaiman said...

Saudara2,

Terima kasih. Saya akan cuba menerbitnya awal 2013, insyaAllah.

Nur Emyinda said...

Salam Tuan Mejar Nor Ibrahim,

BRAVO Tuan! At last, its your 2nd upcoming book. Look forward to having and reading it. Had actually missed the 1st one. (in fact i only came to know about this blog from my cousin).

CONGRATULATIONS TUAN! EXCELLENTE!

P/S...more and more recollection of military stories and again more published books from u Tuan, insyaAllah...

Anonymous said...

Selamat Petang Tuan Nor,

Memang saya hendak booking senaskah buku. Pasti lebih menarik ceritanya kali ini.

Luke Jetie Benjamin