Pengikut

Selasa, 24 Ogos 2010

"Datuk"

Dengar...Dengar...Dengar. Dengan ini dimaklumkan bahawa saya, MEJ NOR IBRAHIM BIN SULAIMAN TUDM (B), telah dianugerahkan gelaran Datuk! Betul ni...bukan main-main. Negeri mana yang bersedia menganugerkah gelaran ini kepada simejar pencen yang tak habis-habis minta elaun untuk JPP, PTU & KPK ni?

Isteri saya memberitahu ada seorang penjual santan kelapa di pasar Jitra memanggil beliau DATIN setiap kali membeli santan di gerai tersebut (gambar). Beliau memaklumkan kepada sipenjual tersebut bahawa beliau bukan seorang Datin. Tapi sipenjual tetap memanggilnya dengan gelaran tersebut. Malah isteri saya telah menulis dalam blog tentang kisah tersebut di sini.

Pada 21 Ogos 2010, kami telah pergi ke pasar Jitra. Kebiasaannya, saya menunggu dalam kereta tetapi pada hari tersebut beliau mengajak saya mengikutnya pergi ke gerai santan berkenaan untuk membuktikan cerita Datinnya itu. Bila pemilik gerai, sepasang suami isteri, ternampak saya terus sisuami memanggil saya 'DATO'! Sudah pasti siisterinya pula menegur DATIN kepada isteri saya. Mujurlah tiada kenalan berada di situ. 'Datukship' saya dianugerahkan oleh pemilik gerai santan di pasar Jitra. Sungguh hebat keterampilan diri saya ni. Tak apalah...syok sendiri. He...He...He. 

Sekarang serius sikit...Tanpa berselindung (ini bulan Ramadhan...tak baik 'cakap tak serupa bikin') secara jujur saya katakan yang saya agak tersedik apabila terdapat peniaga memanggil saya Pak Long/Pak Ngah/Pak Jang. Tua sangat ke saya ni? Pak Cik tu biasalah. Pada penghayatan saya, kemungkinan kebanyakan mereka 'nampak' lebih berumur dari saya. Tetapi ialah...persepsi mereka pula sebaliknya. Saya sendiri membahasakan diri sebagai Pakcik kepada peniaga yang sudah pasti lebih muda dari saya.


Persoalannya...Mengapa mereka ini tidak menggunakan istilah "ENCIK"? Perkataan ini merangkumi semua peringkat umur. Adakah dengan panggilan Pak Long memaparkan 'kemesraan'? Sudah pasti ramai memandang perkara ini sebagai remeh tetapi jangan lupa kita dilahirkan tidak sama. Ini prinsip yang paling asas yang mesti diambil kira terutama mereka yang berkecinpung dalam bidang perniagaan. Citarasa dan perasaan setiap orang berbeza. Tanpa monopoli, pembeli mempunyai pilihan untuk tidak melanggan peniaga yang dianggap 'terlalu mesra'. Perhatikan ungkapan yang kebanyakan 'Mat Saleh' ucapkan apabila pelanggan memasuki premis perniagaan mereka...'SIR'. Saya sendiri tidak senang sekiranya penjual memanggil TUAN...memadai 'ENCIK'. 


Janganlah kerana hendak mempamerkan kemesraan akhirnya akan menjejaskan perniagaan. Fikir-fikirkanlah.

18 ulasan:

Abah berkata...

Tuan,

Apa-apa hal saya ucapkan 'TAHNIAH' "in advance", tak lama lah tu, ada bunga-bunga nak dapat "DATUK" lah tu. Paling tidak pun 'Original' DATUK. Macam saya pun dah dapat 4 DATUK. Tak lama lagi dapat seorang lagi cucu, maka bertambah lagi gelaran 'DATUK' saya.Insyaallah. Datuk saya tanpa sebarang pingat atau perhiasan didada, cuma anugerah dari ALLAH S.W.T.

FMZam berkata...

Salam tuan,

Bercakap tentang panggilan kita jangan kira apa orang panggil kita asalkan panggilan itu beradabsopan maka kita terima dan balas dengan bersopan jua. Kalau kita ke shopping mall, rata2 peniaga panggil kita Encik dan Sir dan hanya peniaga yang pandai saja akan panggil kita Abang dan Tuan, semua terserah atas kebijaksanaan peniaga menarik pelanggan, soal "terlalu mesra" tidak timbul kerana bukan semua pelanggan yang kisah tentang peniaga yang "try to be familiar" (ingat catchword ini masa dalam askar dulu-dulu?) sebab yang penting kalau familiar tapi barang jualan tak bagus pun tak ada gunanya, namun yang penting budi bahasa peniaga itulah yang asas, beli tak beli itu perkara kedua.

Saya setuju dengan tuan tentang peniaga yang bersikap terlalu mesra tapi bukan dari segi citarasa dan perasaan setiap orang yang berbeza penerimaannya tentang apa yang patut pelanggan panggil kita. Saya takut pada peniaga yang terlalu mesra kerana peniaga jenis itulah yang buat saya "tak terdaya tak beli barang jualan dia" bila dia tunjukkan kesungguhannya menyakinkan jualannya dengan budi bahasa dan etikanya.

Setiap orang dalam dunia ini ada budibahasanya, maka bila orang berbudi pada kita, kita berbahasalah pada dia. Seorang raja tak akan jatuh daulatnya hanya bila kita panggil dia encik sama seperti seekor ular yang menyusur akar tak kan hilang bisanya. Wallahuaqlam.

Mej. Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B) berkata...

Saudara Abah,

Tahniah kerana dah dapat cucu ke 5.

Saudara FMZam,

Terima kasih. Sepertimana yang saya katakan, kita tidak dilahirkan sama.

Iskandar Syah Ismail aka DR Bubbles berkata...

Salam Mejar Nor,

Sejak saya mengikuti kelas penulisan di bawah tunjuk ajar pakar bahasa, Puan Ainon Mohd., pengerusi PTS, saya sudah membiasakan diri memanggil orang lain dengan perkataan Tuan, Puan dan bagi wanita yang belum berkahwin dengan panggilan Cikpuan.

Dahulu janggal juga. Lama kelamaan sudah biasa. Memanggil dengan kata panggilan seperti itu nyata lebih menghormati dan tinggi bahasanya.

Saya ingin sekali bertanya kepada Mejar Nor, bagaimana pula cara yang hormat dan seelok-eloknya untuk memanggil bekas tentera yang berpangkat seperti Kpl,Sarjan, Lt.Kol.

Segan & malu juga saya apabila bertemu Lt.Kol Basri Omar (PGB) tempoh hari,kami hanya membahasakan beliau sebagai Pak Basri.

Menurut pesan seorang bekas tentera berpangkat tinggi, seeloknya dipanggil dengan pangkat terakhir empunya diri kerana ia lebih menghormati.Saya bersetuju kerana pada saya susah-susah mereka berjuang mempertahankan pertiwi, kita orang biasa-biasa ini tidak pula menghargai jasa mereka.Setidak-tidaknya dipanggil dengan pangkat terakhir mereka.

Mohon pencerahan Mejar Nor di dalam hal ini agar saya dan orang lain beroleh ilmu baru.

Iskandar Syah Ismail aka DR Bubbles berkata...

Salam, saya ingin berkongsi petikan rencana ini yang mungkin berkaitan dengan entri Mejar Nor ini.

Prof. Emeritus Abdullah Hassan dalam Berita Harian 1 Oktober 2009 menyatakan bahawa penggunaan bahasa Melayu didapati semakin tercemar apabila tabiat menggunakan kata nama “abang” sewenang-wenangnya sebagai panggilan dalam pertuturan harian. Perkembangan tersebut telah mewujudkan bahasa pasar baharu apabila masyarakat, khususnya golongan muda menggunakan “abang” untuk orang yang tidak dikenali.

Katanya lagi, “Penggunaan bahasa ini adalah biadab kerana mengabang-abangkan, memakcik-makcikkan, ataupun mempakcik-pakcikkan orang yang tidak dikenali.” Perbuatan tersebut juga dianggapnya sebagai memalukan kerana bukan sahaja tidak menggunakan pemadanan tara dan adab berbahasa yang betul, bahkan menggambarkan sikap berbahasa yang tidak menghormati orang lain. Yang lebih menyedihkan, penggunaan bahasa Melayu yang tidak tepat ini turut melibatkan sesetengah pemimpin.

FMZam berkata...

Salam tuan,

Memang betul kita tidak dilahirkan sama, tapi kita semua tak ada bezanya dan di sisi Allah kita semua sama - manusia biasa. Hanya kita manusia saja yang suka mengkelaskan diri mengikut darjat yang bila mati semuanya jadi tulang!

FMZam berkata...

Dr Bubbles,

Mungkin bagi kita yang faham ni kita tau bila nak gunakan panggilan yang betul kepada orang lain, tapi kalau hanya kita saja yang tau dan kita sahaja yang gunakan dengan betul, sedangkan kebanyakan orang tidak berlaku betul, adakah itu bererti mereka itu jenis orang gasar (barbarian) yang tak setaraf dengan kita yang bertamaddun? Apa yang Prof. Emeritus, pakar2 dan jaguh2 Bahasa kita buat selama berdekad2 lamanya memperjuangkan bahasa Melayu kalau di panggung2 wayang dan di kaca2 TV tengok sajalah sampai sekarang pun subtitle terjemahan bahasa Melayu pun penuh dengan pencemaran? Kalau itu pun kita tak boleh kawal pencemaran bahasa tak payah cakaplah kalau orang kita sendiri hanya pandai membahaskan kelemahan memperkasakan bahasa padahal kita tak serius untuk gunakan kuasa yang ada untuk memperkasakan bahasa kita sejak 5 dekad dahulu?

FMZam berkata...

Dr Bubbles,

Rasanya negara kita sajalah satu2nya negara yang paling susah nak panggil orang. Kalau di Indonesia kita panggil Pak yang maksudnya Encik. Kalau Singapura kita panggil Mister (Mr) atau Encik. Kat Malaysia kita tak boleh panggil Dato' tu Encik dan kita bukan hanya ada Dato' tapi Datuk, Dato' Seri, Tan Sri, Datin, Tun, Toh Puan, Tuanku, Tengku, Tuan, Puan, Tuan Haji, Hajjah, barulah Encik dan Cik.

Apa yang kita nak fussy sangat kalau di tempat awam orang panggil kita Pak Chik Mak Chik ke Abang Kakak ke, rugi ke? Dengan Lt Kol Basri PGB tu u boleh panggil beliau Kolonel, Tuan, Tuan Haji, Encik. Bila u kawan rapat dia u panggil dia Basri atau Abang. Anak2 u boleh panggil dia Kolonel, Tuan, Tuan Haji, Encik dan PAK CHIK atau UNCLE. Saya yang kenal rapat dengan beliau berpuluh tahun pun saya panggil dia tuan.

Prof. Emeritus tu u panggil prof pun dia kata kurang ajar. Tu lah masalahnya bila Melayu merasa diri dah jadi golongan ELIT!!!!

Tanpa Nama berkata...

Mej,
Apa ada pada nama dan gelaran. Yang mustahak ialah hormat menghormati antara satu sama lain.
Kita berpegang bahawa yang membezakan sesaorang itu ialah taqwa nya terhadap ALLAH.
Selalunya dimana bumi dipijak disitu langit di junjung.
Hormat tetap hormat tetapi samada kita nak beli atau pun tidak terpulang lah kerana rezeki setiap peniaga ditentukan olih ALLAH dan begitu juga yang berlaku kepada kita.

Mej. Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B) berkata...

Saudara DR Bubbles,

Terima kasih. Ini pandangan peribadi saya yang telah lama meninggalkan ATM dan tidak lagi 'current' dengan perkembangan yang begitu pesat. Pesara tentera diberi keistimewaan oleh KEMENTAH, secara bertulis, membenarkan kami mengekal gelaran pangkat terakhir. KEISTIMEWAAN bukannya HAK.

Sekiranya anda masih ingat, pada awal tahun ini, seorang pegawai tentera berpangkat Brig Jen telah membawa kes beliau ke mahkamah. Mengikut laporan, tauliah yang diberikan oleh DYMM SPB Agung telah ditarik balik dan beliau tidak boleh menggunakan pangkatnya selepas 'diberhentikan' dari ATM.

Mungkin saya silap. Seingat saya bukannya satu KEMESTIAN untuk orang awam 'address' pegawai tentera, baik masih berkhidmat atau bersara, dengan gelaran pangkat mereka. Apa yang dipraktikkan hanya lah satu budi bahasa. Samalah kita panggil Prof, Dr, Cikgu, dll.

Tidak salah anda menggelar saya Pakcik (memang patut pun)atau pun Nor sahaja. Kebiasaannya, dimajlis rasmi, mungkin lebih sesuai menggunakan pangkat mereka. Lt Kol di'address' Kol, Brig Jen..Jen & seterusnya. Ramai rakan saya bergelar Datuk dan saya address mereka Datuk di majlis2. Bila bersama members, mengguna nama sahaja.

Sehingga sekarang, guru saya adalah 'SIR' kepada saya kerana saya hormat pada mereka.

Ada siapa lagi mahu memberi pandangan? Silakan.

basri bin omar berkata...

Salam Tuan,Sdr FMZam & Dr !

Tk pada sahabat saya kerana saya di jadikan contoh!

Dr Bubbles dan Rakannya tempohari pggl saya Pak kerana terkejut kot tengok saya jumpa mereka berpakaian Jubah Lgn Pendek ...maklumlah lepas Maghrib!

Bagi pgglan mengikut pkt Pegawai tu tak salah ....kerana setiap bakal Pesara(Pegawai) diwajibkan memohon guna Pkt tu lps bersara kpd Ketua Perkhidmatan(PTD,PTL&PTU).....betul lah kata Mej Nor tu..cuma Lt Kol di pggl Kol saja....dlm penulisan contoh Lt Kol Basri bin Hj Omar(Bersara)....dlm sebutan (Bersara)tidak timbul.

Untuk Pesara LLP(Lain-Lain Pkt)saya lazim pggl ikut pkt mereka....tapi bagi RAJD berpkt Sjn keatas di pggl Encik....!

Apa pun mcm Sahabat saya kata tulah...selagi kita pggl nama2/gelaran yang BAIK tak jadi masalah kerana kerana Islam mengajar kita pggl dgn nama2/gelaran2 yang BAIK2 sahaja.....tanda HORMAT kita pada orang lain! Wallahuaklam.

Abah berkata...

Tuan,

Bagi saya untuk memanggil pangkat seseorang itu tidak menjadi masalah. Yang penting hormat-menghormat adalah amalam mulia. Yang lebih tua dipanggil dengan panggilan yang menjurus kepada yang tua dan begitu juga sebaliknya kepada yang muda.

Tambahan pulak sebagai seorang mantan ahli pasukan berseragam telah didik sedemikian lama dengan cara sedemikian atau lebih mesra dengan panggilan 'ala Tentera' berpandukan gelaran yang diperolihi oleh seseorang itu. Samaada sipolan itu bergelar Tan Sri, Datuk, Tuan dsbnya.
Bagi saya perkara ini tidak menjadi isu dan menjadi keberatan serta kesan kepada diri saya walaupun orang itu lebih muda dari saya sekiranya beliau memperolihi Gelaran/Pangkat yang lebih dari diri saya tetap saya
memanggil beliau dengan jawatan atau gelaran yang diperolihinya.

Tidak rugikan kalau kita merendahkan diri dan menghormati seseorang itu yang selayak bagi dirinya dipanggil. Bab kata Peribahasa melayu "Ular yang menyusur akar tidakakan hilang bisanya"

Ir. Hanafi Ali berkata...

Yang saya tahu kalau saya pergi kedai cina di KL, depa selalu panggil saya "laupan"(kantonis). Kalau cina bandar lain, depa panggil taukey...

Anyways kenapa pegawai tentera ATM tak suka dipanggil dengan pangkat mereka? Semua nak dipanggil "tuan". Adakah observation saya ini salah?

Masa mula-mula masuk TA dulu, OC saya keluar tanduk bila saya sapa dia dengan panggilan "mejar". Bila diubah jadi "tuan", barulah beliau mesra sedikit.

Mej. Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B) berkata...

Saudara Abah,

Terima kasih. Betul tu.

Saudara Darth Trust,

Terima kasih. Saya rasa 'observation' anda kurang tepat. Bukan semua.

FMZam berkata...

Sdr Ir Hanafi@Darth Trust,

Kenapa pakai nama Darth Trust, nama Ir Hanafi atau Hansac kan bagus? U jangan peduli apa orang kutuk Ir u kat blog Arshad Raji tu dan terikut-ikut rentak diaorang sampai u tergamak tukar nick u pada Darth Trust? Saya masih baca blog Arshad Raji tapi tak mau komen apa lagi selepas last comment saya terhadap tuan punya blog tu, sehingga Arshad Raji berani naik balik, dah lebih 2 bulan blog tu DORMANT tanpa sebarang sebab diberikan, dan Arshad Raji tak berani jawab komen saya. Dia beritahu orang dia nak berehat tapi kenapa tak umum kat blog dia nak berehat padahal dulu nak bercuti seminggu pun dia umum kat dalam blog?

Sdr Hansac, dalam hidup ni kita tak perlu takut pada kutukan manusia, kita mesti belajar hidup tanpa pujian manusia. Buat sesuatu yang baik itu pun kita tak tahu samada dapat pujian dari Allah tapi kita tak pernah tunggu pujian Allah untuk berbuat baik, kan?

Ir. Hanafi Ali berkata...

Saudara FMZam.

Bukannya saya takut dengan kutukan manusia, cuma saya malas mendapat publisiti murahan.

Berkenaan dengan beruk-beruk jantan dan seekor beruk betina yang berkeliaran dalam blog jeneral arshad tu, saya serahkan mereka pada nasib mereka.

Kita tahu siapa kita dan kita tahu siapa mereka. Lapan tahun saya dalam Wataniah dan saya adalah seorang pemerhati yang agak baik, :)

Bak kata seorang kawan saya yang sekarang masih dalam Wataniah (skuad saya semasa kursus bakal pegawai di Ipoh 1/2008), kebanyakan mereka itu nak sama dengan tapak kasut beliau pun tak dapat nak sama. ("mereka" di sini bermaksud beberapa jurulatih-jurulatih (tidak semua jurulatih regular yang begitu) regular yang ditumpangkan pada rejimen Wataniah.)

Itu kata-kata beliau, bukan kata-kata saya. Saya cuma menyampaikan saja, :).

taming berkata...

Satu perbincangan dan pandangan yang menarik.

Dunia ini akan menjadi aman dan selamat jika semua umat manusia menghambakan diri mereka kepada Allah SWT, mengikut suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.
Tetapi apa sedang berlaku adalah sebaliknya! Di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, tanya diri kita, dimana letaknya diri kita?

Saya pernah membaca banyak komen oleh pembaca-pembaca yang terdiri daripada bermacam keturunan dan latarbelakang. Saya hormati hak seseorang dalam menyampaikan pandangan dan fikiran, tetapi apa yang saya harapkan supaya yang terlibat hendaklah bertaubat supaya jangan panjangkan "budaya mengutuk" hamba Allah yang lain!

Bagi saya, panggilan samada Tan Sri, Dato', Encik, Pakcik, Abang, Jeneral, Kol, Sarjan atau Koperal adalah semata-mata cara kita menghormatkan seseorang sahaja. Alangkah eloknya jika semua berasa selesa dan menerima panggilan samada, Mr., Madam atau Miss ( Encik, Puan, Cik) dan semua lapisan masyarakat menerimanya, tetapi saya rasa ianya TIDAK akan menjadi kenyataan dalam negara kita. Ini memandangkan kita terlalu banyak status dan pangkat masyarakat sejak turun temurun lagi dan amat sukar dihapuskan.

Saya pernah berkenalan dengan seorang jurutera eroangkasa yang mempunyai ijazah sarjana, berpangkat Sarjan dan beliau lebih selesa dipanggil "Sarjan Michael". Seorang Congressman, bekas Kaptan di Amerika Syarikat pula, berasa megah dipanggil "Kaptan Johnson". Tetapi kenapa pula dalam negara kita ada segelintir yang "malu" dengan panggilan Mejar dan Kaptan dan lebih selesa meninggalkan panggilan bekas tentera? Kenapa tidak mengguna "Mejar Dato Nor Ibrahim" tetapi sengaja gemar mahu dipanggil " YB Dato Nor Ibrahim", atau "Tan Sri Nor Ibrahim" dan bukan "Kapt Tan Sri..........?? Sepatutnya kita bermegah dengan tauliah yang dianugerahkan oleh SPB YDP Agong dan janganlah "malu" sangat dengan panggilan bekas tentera!

Sebagai pedoman ingin saya utarakan apa yang sepatutnya.
Jika kita kenal seseorang, jangan khuatir sangat dengan cara dan bagaimana mereka mendapat gelaran, panggillah beliau "Tan Sri, Dato, Sarjan, Kaptan, Mejar , Kolonel atau Jeneral" dan tak perlu menyebut "Lt Kolonel atau Brig Jeneral"! Jika tidak, panggil sahaja " Encik, Puan atau Cik". Jika ini yang kita semua menghormati dan praktikkan, dunia akan menjadi aman, insyaAllah.

Salam Aidil Fitri.
Tamingsari

Mej. Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B) berkata...

Saudara taming,

Terima kasih diatas pandangan anda. Saya memang bangga dengan tauliah oleh DYMM SPB Agung. Itu sebabnya saya sentiasa menggunakan pangkat saya apabila berhubung dengan agensi kerajaan. Tetapi apabila berkomunikasi seperti dalam blog ini, tak perlulah terlalu formal. Wallahualam.