Pengikut

Ahad, 12 Jun 2011

Nak Hidup!

Kalau tak silap saya, ketika menjalani latihan penerbangan untuk mendarat di LP, kami diajar untuk membuat 'High & Low Recce' bagi menentukan '5 S's - shape, surroundings, slope, sight & surface'.  Jadi, apabila tiba di LP pada ketinggian lebih kurang 1000 kaki, berlegar-legarlah di ruang udara LP bagi menentukan 5 S's tadi, terutama dari arah mana untuk membuat 'approach'.  Faktor utama diambil kira ialah angin. Kemudian, turun  ke paras 500 kaki. Di ketinggian ini, dapatlah menentukan arah angin dengan melihat goyangan daun-daun....lebih kurang begitulah.  Lepas itu, buatlah 'landing check' untuk mendarat.

Prosidur ini MESTI dipatuhi ketika menduduki 'cat' (standardization check). Kalau tidak, jawabnya '...see you next month'. Dengan perkataan mudah....GAGAL! 

Tapi prosidur ini tidak pula terbawa-bawa ketika membuat penerbangan operasi. Kebanyakan LP memang sudah begitu 'familiar' dan dah 'masak' dengan bentuknya dan keadaan angin, seperti LPs di kawasan 'Bamboo Xpress'. LP yang tak pernah mendarat, kenalah membuat recce pada ketinggian yang munasabah, mungkin 500 kaki. Sortie seterusnya, terus approach saja. 

Jika terlalu ikut buku sangat ketika Ops Selamat Sawadee, jawabnya jadi target practice untuk pengganas komunis (PK). Mana tidaknya....PK tak akan melepas peluang untuk menjadikan siburung Nuri ini sebagai sasaran....ketika approach, hover, berada di LP & take-off. Jadi, kami pun terpaksa buat 'tactical low flying'. Sebelum melaksanakan teknik penerbangan ini, aircrew sudah biasa terbang ke LP berkenaan dan pesawat tidak 'berat' iaitu AUW tidak melebihi had maksima - lagi ringan lagi bagus. 

Bagi memudahkan pemahaman, andaikan ada 2 LPs yang berdekatan, marker 'TANGO' & 'LIMA' yang jaraknya lebihkurang 3-4 map square; misi adalah untuk menghantar bekalan ke LIMA. Nuri & gunship akan terbang ke TANGO (sebagai contoh, anggap gambar LP di atas sebagai TANGO).  Gunship akan berlegar-legar di udara TANGO manakala Nuri akan 'dive' dari TANGO menuju ke LIMA untuk 'tactical low flying'....lebih kurang 50 kaki atas kanopi hutan belantara dengan kelajuan 110 knots. Masa tu,  tak tahulah perasaan paxs dalam pesawat apabila collective lever diturunkan secara mengejut! Bila tiba di LP (LIMA),  kena 'execute flare'  sebelum mendarat. Kalau pesawat berat, nahas jawabnya kerana susah nak 'arrest descent'. Sebab itulah  kami kerap membuat 'running refuelling' setiap 1-2 jam penerbangan bagi menentukan 'keringanan' pesawat.

Seorang FAC (Forward Air Commander mewakili Panglima Udara), merangkap Ketua No 12 Skuadron (F5E) dan bersara sebagai PTU, ikut bersama dalam pesawat saya. Beliau merupakan seorang juruterbang Alouette 111 sebelum beralih ke F5E.  Justeru, beliau sedia maklum tentang teknik menerbang helikopter. Apabila mendarat di Kroh setelah selamat membuat sortie dengan kaedah ini, beliau bertanya'....Terbang apa macam tu?'. Jawapan saya '....Nak hidup Tuan'.

Gunalah apa-apa teknik sekali pun....janji selamat. Tidak dinafikan bahawa PK masih boleh mengambil pot-shots kat Nuri ketika berada di LP atau masa take-off. Tetapi sekurang-kurangnya keberangkalian ditembak ketika Nuri membuat approach untuk mendarat dapat dikurangkan. 

Seingat saya, penerbangan taktikal yang kami praktikkan tidak pernah dipertikaikan oleh mana-mana pihak...jauh sekali pemeriksa. Those were the good old flying days. I really missed flying those beautiful, old but  faithful....The Nuri!!! 

8 ulasan:

FMZam berkata...

Bukan mudah nak landingkan seekor Nuri dalam hutan, apa lagi kalau Nuri itu bukan nuri yang boleh bertenggek atas dahan atau atas tanah kerana nuri itu adalah nuri besi yang sebesar burung garuda, maka tempat mendaratnya perlu disediakan oleh bukan seorang tapi sekumpulan manusia yang berbekalkan parang dan kadangkala sedikit bahan letupan.

Dalam hutan hujan tropika Malaysia tidak ada LP yang yang sedia ada secantik sebagaimana gambar yang tertera disini. LP mesti dibuat diatas tanah yang penuh dengan pokok2 kayu hutan yang 2, 3 atau kadang2 berpemeluk-pemeluk besarnya. Dan kerja pembinaannya pula bukan kerja khusus askar2 pejalan kaki yang beroperasi dalam hutan, yang tidak pernah dibekalkan dengan alatan tertentu untuk membina LP, kerana selama itu tidak pernah ada dalam inventori alatan khas untuk'LP Building Tools' dibekalkan kepada askar2 kita. Yang ada ialah satu alat primitif, iaitu sebilah parang 'government issue' yang dibekalkan kepada setiap askar pejalan kaki dan dengan parang itulah askar2 berkerja seperti penebang balak zaman primitif, menumbangkan puluhan pokok2 hutan yang sebesar mana pun, sehingga kawasan LP itu dibotakkan seluas yang diperlukan untuk mendaratkan saekor burung besi. Bayangkan berapa lama masa untuk membina LP dengan menggunakan parang kerajaan menetak beramai2 pokok2 hutan seluas gelanggang tenis.

Those were the good old days of making LPs that the Nuri pilots enjoyed those good old days of flying.

Mohd Ismail Bin Mohd Hashim berkata...

Berlegar bukan sebarang legar. Berlegar sebagai Alouette III gunship, dan sebagai "watch dog" yang selalu menggawasi setiap laluan pesawat Nuri yang akan masuk dan keluar daripada LP.Kami juga meneliti dan mendengar melalui perbualan intercom pada setiap waktu lebih-lebih lagi ketika Kapten pesawat Nuri berkata: "Final" maksud masuk terus ke LP dan ketika itu kami mengambil peranan penting sekali untuk menjaga keselamatan pesawat Nuri tersebut.Kami sedia membedil musuh dengan Cannon MG151/20mm jika Kapten pesawat Nuri memberi tahu daripada mana arah datangnya tembakkan musuh tersebut. Kami sebagai crew gunship yang berlegar-legar di udara juga keletihan dan selalu merasa kesejukkan,walau bagaimanapun semangat juangan dan setia kawan(Crew cooperation)tetap erat dan unggul. Akhir kata peranan gunship juga merupakan penentuan bagi pesawat Nuri itu selamat masuk dan keluar daripada mana-mana 'hot LP'(Landing Point)."Insha Allah".

The Gunship Escorte.

SENAPANG PATAH berkata...

Salam Tuan.. Menunggu juga bila tuan nak siarkan kisah2 combat ni... akhirnya hari ni keluar juga...
terima kasih tuan kerana sudi berkongsi pengalaman lalu...

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih....teruja dengar kisah ''flying experiance'' Tuan....nak dengar lagi kisah2 berkaitan flight macam ini di masa depsn.

Tanpa Nama berkata...

Tuan, agaknya pilot sekarang masih lagi dapat merasakan under slung meriam ke mana-mana lokasi tertentu??

Mej. Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B) berkata...

Saudara FMZam,

Terima kasih. Kami memahami masalah yang dihadapi oleh footsloggers untuk membuat LP. Itu sebabnya kalau tak merbahayakan, kami masuk saja walaupun tak mengikut 'specs'.

Saudara Ismail,

Mana boleh kru Nuri lupa peranan gunships. Tak dinafikan...Memang sejuk. TERIMA KASIH.

Saudara SENAPANG PATAH & Anonymous June 12,

Terima kasih. Masalahnya saya dah ketandusan cerita. Dah hubungi rakan-rakan agar mereka 'contribute' cerita. Memang banyak, seperti Nuri terbang malam untuk mengeluarkan casevac, seorang pegawai Renjer,di Sarawak; mengeluarkan penduduk Temenggor sebelum kawasan ditenggelami air. Nuri membawa POB sehingga 60 orang. Berhimpit-himpit dalam cabin, dan banyak lagi.

Saudara Anonymous june 14,

Saya tak pasti. Mungkin ada kerana latihan mesti dilaksanakan walaupun secara zahir tiada keperluan buat ketika ini kecuali semasa xcercise.

yankeeALPHA berkata...

salam....tak sabar nak tunggu cerita-cerita itu. Saya telah memerhati Nuri sejak sekian lama, tapi tak pernah tengok pun Nuri terbang malam, weather radar Nuri yang dome warna hitam tu adakah berfungsi atau hiasan saja?

Mej. Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B) berkata...

Saudara yankeeALPHA,

Semua crew MESTI menjalani penerbangan malam mengikut jadual. Itu satu keperluan. Saya pasti weather radar Nuri berfungsi sepenuhnya.