Pengikut

Rabu, 8 Disember 2010

Pak Abdul...Dalam Kenangan


1 Muharam 1432H=7 Disember 2010...Abdul Bin Said, 80 tahun, lebih dikenali sebagai Pak Abdul, "The Grand Old Man"  Surau Darulaman,  telah pergi menyahut panggilan Ilahi buat selama-lamanya...إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ.

Pada pagi hari itu, saya telah berjalan kaki ke DGCC (1km dari rumah) untuk membaca surat khabar. (Hari cuti awam dan cuti hujung minggu tidak boleh tarik troli manakala KKDR pula golf course masih tutup disebabkan banjir tempoh hari). Jam lebih kurang 1100, saya menumpang kereta Prof Dr Hamzah untuk balik ke rumah (rumah beliau berhampiran). Sebelum tiba di rumah, beliau terima panggilan talifon daripada isterinya memaklumkan bahawa beliau (isteri) berada di Bahagian Kecemasan, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), kerana Pak Abdul sedang nazak.  Saya seterusnya membawa  isteri bersama pergi ke HSB untuk melawat beliau. Saya dibenar masuk untuk melihat beliau tetapi beliau dalam keadaan tidak sedar. Menurut staf hospital, keadaan beliau masih tidak stabil. 

Menurut isteri Pak Abdul, yang berada di hospital, pada malam Isnin beliau menghadapi  sesak nafas dan kawan baik beliau telah menghantarnya  ke Hospital Jitra. Oleh kerana keadaannya  serius, beliau seterusnya dihantar ke HSB. Saya telah menghungi beberapa kawan tentang keadaan Pak Abdul. Dari hospital, saya membawa isteri pergi ke KKDR untuk makan tengah hari. Sedang menjamu selera, lebih kurang jam 1300, saya menerima panggilan talifon memberitahu bahawa Pak Abdul sudah kembali ke Rahmatullah!! Melurulah saya ke HSB dan diberitahu jenazah telah dibawa ke Rumah Mayat...Seterusnya, pergilah saya ke Rumah Mayat.

Jenazah dibawa balik ke rumah beliau di Darul Heights untuk urusan jenazah. Ahli Jawatankuasa Khairat Kematian Surau Darulaman Heights menguruskannya. Perkhidmatan memandi, mengapan dan kenderaan oleh Masjid Al'Ala, Jitra. Pada jam 1730, jenazah dibawa ke surau untuk disembahyangkan sebelum di kebumikan di tanah pekuburan berhampiran dengan Taman Aman.

Pak Abdul...Seorang bekas anggota Tentera British sebelum berkhidmat dalam pasukan JLJ (Jurutera Lektrik & Mekanikal). Tipikal seorang mantan tentera, beliau mengingati semua nombor rumah Darulaman Heights, bukan nama penghuninya! Arwah adalah salah seorang pelopor Surau Darulaman. Tidak salah saya katakan arwah adalah 'nadi' surau terbabit. Beliaulah Tok Siak, Bilal dan kadang kala Imam. Kalau tandas kotor, pembesar suara tidak berfungsi, dan apa jua masalah di surau...beliau pasti akan mengambil tindakan dengan seberapa segera. Setiap subuh, lebih kurang jam 0530, bergemalah cd bacaan ayat-ayat suci melalui pembesar suara surau. Dan juga sebelum waktu magrib dan isyak.

Pak Abdul...Sungguh sayang kepada isteri tercinta. Hanya mereka berdua tinggal di sebuah banglo manakala anak-anak mereka menetap di Kuala Lumpur. Di suatu ketika dulu, selepas kuliah subuh, diadakan jamuan teh dan nasi lemak yang beliau sendiri pergi ke pekan Tanah Merah membelinya (wang kutipan surau). Arwah tidak bersarapan dengan kami, sebaliknya membawa 2-3 bungkus untuk makan bersama isteri (itu pun kalau berlebihan). Pada bulan Ramadan pula, beliau akan membeli kuih muih untuk berbuka puasa untuk dihantar ke surau untuk mereka yang berhajat berbuka di sana. Lepas itu, beliau akan balik ke rumah untuk berbuka dengan isterinya. 

Sejak 2-3 tahun kebelangan ini, arwah tidak begitu aktif di surau. Bila ditanya, beliau memberitahu beliau menghadapi masalah untuk duduk lama kerana badannya 'kurang berisi'...Terlalu kurus. Kali terakhir saya berjumpa beliau adalah pada  3 Dis 2010  ketika solat Jumaat di surau kami. Kebiasaannya, beliau duduk di anjung surau manakala saya masuk ke dalam. Sebelum masuk, saya akan menegur dan bersalam dengan arwah. Tapi pada hari berkenaan, beliau duduk dalam surau di belakang saya. Saya hanya menoleh dan mengangkat tangan saja...Itulah kali terakhir saya terpandang arwah masa hayatnya masih ada. 

Mana boleh saya melupai arwah. Benih dua pokok 'nona' yang begitu subur yang saya tanam di luar rumah adalah pemberian beliau. 


Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya...Al-Fatihah.

Tiada ulasan: