Hari ini, 25 April 2010, tarikh yang tidak boleh dilupai oleh No 3 Skuaderon, RJAD, terutama mereka yang terlibat dalam operasi memusnah jerangkap samar di kem pengganas komunis. Genap 34 tahun 302657 LKpl Abdullah Bin Abd Majid terkorban manakala Lt Kol Basri Bin Omar (B) tercedera akibat jerangkap samar dalam terowong terbabit. Lt Kol Basri telah diterbangkan ke Hospital Alor Setar dan salah seorang pegawai tentera yang melawat beliau ialah arwah Mej Harris Bin Rejab. Arwah dalam perjalanan ke 6 Bde, Sg Petani dari Haadyai. Keesokan hari...Hanya tinggal dalam kenangan...!
Ikuti sambungan "Tragedi 26 April 1976...Penglibatan Jurutera (1)"...
Ikuti sambungan "Tragedi 26 April 1976...Penglibatan Jurutera (1)"...
Ops GUBIR 2 – TUNNEL CLEARANCE: fallen heroes
Ketika sedang sibuk memberi pencahayaan kepada Sapper Mad tiba-tiba saya terdengar Lt Basri berteriak dari atas berdekatan dengan pintu terowong.....mana Lt xxxx? Secara otomatis sambil menoleh ke belakang saya menjawab dengan suara yang agak tinggi juga.......di bawah Tuan, dari bebayang di pintu terowong saya dapat lihat kelibat 2 – 3 orang sedang menuruni tangga masuk manakala saya meneruskan operasi pembersihan. Selang beberapa saat kemudian satu letupan di belakang menggegarkan terowong, saya merasakan gegaran sehingga terasa dinding terowong bergoyang, habuk dan asap memenuhi ruang sehingga cahaya suluhan lampu suluh menjadi seolah-olah light-sabre dalam filem Star Wars. Tersentak......hanya perkataan DIAM yang keluar dari mulut lalu saya menoleh kebelakang. Dalam keadaan samar dari kedudukan saya, nampak dua tubuh terbaring dilantai terowong dan terdengar suara mengerang kesakitan dijarak 20-25 kaki dari saya. Alhamdullillah tiada sesiapa pun antara kami yang kelam kabut atau berlari semuanya macam terpaku dilantai terowong apabila mendapat arahan untuk “diam”....saya lihat anggota Komando sudah bersedia dengan M16 dalam kedudukan sedia untuk bertindak. Tiada perkataan dapat membayangkan betapa senyap dan sepinya ketika itu sehinggalah...........backtrack dan angkat yang cedera keluar dari mulut saya. Seketika kemudian saya terdengar....Tuan Basri dan Dollah kena Tuan. Dari tempat saya, jelas kelihatan dua tubuh diangkat oleh rakan-rakan lain dan dibawa keluar terowong.....semasa saya dan Sapper Mad melintasi kawasan letupan jelas kelihatan lubang kesan bahan peledak sebesar 8-12 inci di dinding kiri terowong (sebelah kanan saya masa keluar) di paras pinggang.
Sampai permukaan diatas, saya lihat dua tubuh berada diatas gelanggang. Lt Basri telah diletakkan atas stretcher secara meniarap manakala LKPL Abdullah sedang dipangku oleh Kpl Kassim dan dikelilingi oleh Sappers yang lain. Jelas kelihatan Lt Basri dalam kesakitan namun beliau masih boleh bergerak cuma saya lihat seluar dibahagian pinggulnya berlubang-lubang dan berdarah. Saya menoleh ke arah Kpl Kassim yang air matanya bergelinang manakala yang lain dalam keadaan terkejut dan murung serta ada yang menangis terisak-isak....apabila saya hampir saya terdengar Kpl Kassim sedang membisikkan kalimah Assyaduallah illahaillallah Waashsyaduanna Muhamadarasullullah ke telinga LKpl Abdullah. Saya lihat sekujur tubuh kaku yang berdarah dikawasan perut sebelah kiri yang dibalut dengan shell dressing yang tidak lagi putih tetapi merah, Saya Lt Muda Xxxx yang berusia 21 tahun dan telah melalui kehidupan tentera sejak berumur 16 tahun dan dilatih untuk berdepan situasi sebegini, namun saya jatuh terduduk di depan jenazah Allahyarham sambil menangis terisak-isak. Di dalam genggaman tangan kanan saya tersedia sebotol morfin dan sebilah syringe namun ianya tidak diperlukan lagi.
Masih dalam keadaan sedih saya terdengar teriakkan....bawa ke LP, heli on the way, barulah saya tersentak dan menuju ke arah Lt Basri yang dalam kesakitan dan tanpa soal banyak terus saya menyuntik beliau dengan morfin yang ada ditangan namun Alhamdullillah saya lihat tiada kecederaan yang membahayakan dan semua anggota badan beliau masih ada. Semasa diusung oleh Komando menuju ke LP beliau telah sempat memberi arahan terakhir beliau kepada saya........ whatever happened you blow the tunnel. Saya sekadar mengangguk tanda faham dan melihat tubuh longlai beliau dan jenazah Allahyarham LKpl Abdullah diusung ke LP sehingga lenyap dari pandangan kami semua di tengah-tengah gelanggang.
Kami masih tidak bergerak dari tempat Arwah menghembuskan nafas terakhirnya, semuanya tunduk dan tiada seorang pun dari kami yang tidak mengalirkan air mata. Kpl Choo Chin Eng alias “bricklayer” bekas budak Royal Engineers yang paling tua antara kami dan berasal dari Pulau Pinang saya lihat tidak henti-henti mengesat air matanya, Kassim “Pronto” yang lembut pada zahirnya namun keras hati tetap mengalirkan air mata, begitu jua Misnan “jawa” , Mat “chabai” dan lain-lain. Sesekali saya terpandang ke tompokan darah Arwah di bumi dan sampul shell dressing yang bertaburan ditiup angin. Tiada kata-kata dapat menerangkan betapa “dingin”nya suasana semasa itu.
Kedinginan dunia kami hanya dipecahkan oleh deruman kipas Nuri yang makin lama makin dekat menghampiri LP, saya bergegas bangun dan mengarahkan yang lain untuk kekal disitu untuk mengumpulkan semua peralatan dan kelengkapan kerja dan akan kembali untuk memberi arahan selanjutnya. Setiba di LP saya bertemu Pak Sudir yang mengucapkan takziah kepada saya dan seterusnya saya bergegas bersama-sama Komando menaikkan Lt Basri dan jenazah Arwah kedalam perut Nuri. Saya sempat melambai kepada Lt Basri sehingga Nuri hilang dari pandangan. Setelah itu saya berbincang dengan Pak Sudir mengenai tugasan seterusnya, memandangkan apa yang berlaku dan risiko yang akan dialami dalam terowong akhirnya kami bersetuju untuk meletupkan sahaja terowong dengan harapan ianya tidak lagi dapat digunakan oleh PGK terutama terowong kedua. Namun ianya tidak akan berlaku pada hari ini 25 Apr 1976.
Saya turun semula ke Kem PGK untuk bertemu semula dengan kesemua Sappers. Setelah berbincang dengan mereka saya membuat keputusan; semua kerja pembersihan jerangkap samar dihentikan hari ini, kedua-dua terowong akan diletupkan tertakluk kepada baki PE yang ada, semua peralatan dibawa ke LP, kerja pemusnahan terowong akan dilakukan seawal pagi esok. Manakala mengikut Kassim “Pronto” seingat beliau semasa menghantar SITREP semalam PE masih ada sebanyak 500 kg. Dengan keputusan itu maka kami pun bergerak ke LP kerana disekeliling LP itulah tempat kami berkampung selama ini untuk berehat dan melayan perasaan. Percayalah, walau pun kami berada di Kem PGK namun pemandangan dari LP sebagai tempat yang paling tinggi dibukit itu memang tersangat indah dengan terdapat bukit dikiri dan kanan, ditengah itulah laluan Nuri ke lokasi kami, jauh dibawah terdapat lembah antara dua bukit yang jelas dengan kehijauan. Tiada satu kawasan lapang pun yang menunjukkan ianya diterokai kecuali tapak LP kami, semuanya hutan belantara dengan canopy yang tebal, I supposed being a soldier, such scenery came with the job.
Ops GUBIR 2 – NURI : the last flight in
Pagi 26 Apr 1976, seperti biasa lepas stand to dan bersarapan saya memanggil “O” group anggota saya, kejadian semalam masih menghantui kami semua. Sedih namun hari ini kami dijadualkan untuk meletupkan kedua-dua terowong PGK. Setelah membuat pengiraan, kami sebulat suara berpendapat bahawa 500 kg PE tidak mencukupi bagi kedua2 terowong. Tambahan PE perlu dimohon dari Gubir untuk dihantar dengan resup akan datang. Sementara itu dengan baki PE yang ada saya membuat keputusan untuk meletupkan terowong kedua dahulu iaitu terowong insiden Lt Basri semalam. Keputusan dibuat berdasarkan; kesudahan terowong tidak dikenal pasti, ia boleh digunakan untuk counter attack/assault oleh PGK sekiranya ia adalah laluan escape mereka. Sekiranya andaian ini tepat maka ianya adalah ancaman kepada kami yang berada dipermatang yang sama dengan Kem PGK. Dengan rasional tersebut saya berjumpa dengan Pak Sudir untuk mendapatkan persetujuan. Beliau bagaimana pun mengarahkan saya untuk jangan letupkan lagi sebab hari ini ada lawatan pegawai atasan untuk meninjau Kem PGK dan mengesahkan kedudukan kem tersebut sama ada dalam Malaysia atau pun berada di dalam negara jiran. Saya pun balik bertemu anggota Sappers dan kami bersetuju untuk terus membuat persiapan kepada detonating cords, safety fuses, detonators dan lain peralatan bagi maksud pemusnahan terowong.
Dari jauh saya terdengar kipas Nuri membelah langit, saya nampak seorang Komando bergegas ke LP untuk merentangkan marker panel atas LP untuk memudahkan pilot membuat pengecaman. Setiap ketibaan Nuri memang amat dinantikan oleh kami kerana ia juga akan membawa makanan ready-cooked kami. Hari ini disebabkan saya tidak ada sebarang penugasan maka saya membuat keputusan untuk menjadi marshall pendaratan Nuri. Berdiri di hujung LP dengan mengangkat kedua tangan membentuk huruf “V” dengan menghadap ke arah Nuri saya bersedia untuk memberi isyarat supaya terus maju. Dari jauh saya lihat Nuri berpusing untuk mengambil laluan yang sama ia itu melalui ruang antara dua bukit, apabila saya pasti saya boleh dinampak oleh pilot maka saya memberi isyarat untuk terus maju dengan menggerakkan kedua tangan. Sedang ia menghampiri LP kami dan tatkala sampai kekawasan antara dua bukit tiba-tiba saya terdengar tiga short burst senjata otomatik....truttt....truttt....truttt dari arah bukit sebelah kanan, Nuri pun membelok kekiri dan terbang hingga hilang dari pandangan kami di LP dan kami andaikan ia berpatah balik ke Kem Gubir. Tiada tanda-tanda menunjukkan ianya terkena tembakan PGK sebab tiada asap keluar mahu pun ada tanda-tanda hilang kawalan semasa itu.
Pak Sudir semasa itu dengan pantas membuat panggilan untuk bantuan tembakan meriam ke arah lokasi tembakan berdasarkan arah bunyi tembakan PGK kerana ianya agak jauh dari lokasi kami dimana small arms kami tidak dapat memberi kesan.Tembakan menggunakan peluru smoke dibuat ke sasaran dahulu untuk tujuan adjustment. Pak Sudir yang berpengalaman saya lihat telah membuat sebanyak tiga kali pembetulan sehingga smoke yang terakhir tepat kesasaran yang dikehendaki dan seterusnya beliau memberi arahan fire for effect. Walaubagaimana pun sedang kami menunggu-nunggu peluru High Explosives(HE) yang pertama jatuh mengenai sasaran yang diregistered...sebaliknya ia telah jatuh disebelah kanan berhampiran lokasi LP kami yang membuatkan kami bertaburan mengambil perlindungan dicelah-celah batang dan akar pokok. Saya lihat Pak Sudir dengan suara lantang melalui radio mengeluarkan arahan cancelled....cancelled fire for effect. Alhamdullillah tiada sesiapa pun antara kami yang tercedera, setelah keadaan menjadi tenang, Kem Gubir telah dihubungi untuk mengenalpasti kedudukan Nuri yang ditembak PGK..........kami telah dimaklumkan ianya tidak sampai ke KEM GUBIR dan dipercayai hilang dan kemudiannya kami dapat tahu ia telah jatuh terhempas dan kesemua anak kapal dan penumpang terkorban dan sukar dibuat pengecaman kerana ketiadaan Dog Tag.
Kejadian ini amat menyedihkan kami semua kerana seperti yang saya katakan tadi, tiada sebarang tanda dilihat semasa kejadian tembakan yang menunjukkan Nuri hilang kawalan atau pun terkena tembakan. Kejadian ini juga menyebabkan satu-satunya perhubungan kami dengan dunia luar terputus kerana tiada lagi Nuri dapat mendarat kerana bahaya terdedah kepada ancaman yang serupa. Kami jua terputus bekalan dan terpaksa bergantung hidup dengan apa jua bekalan yang tinggal dalam simpanan manakala bagi kami Sappers bermakna kami terpaksa menggunakan PE yang ada sahaja. Seperkara lagi yang amat kami takuti ialah jika berlaku keperluan casevac dan medivac.
Ops GUBIR 2 – THE EXTRACTION of SAPPERS
Selepas kejadian Nuri ditembak PGK, kami Sappers pun memulakan kerja-kerja pemusnahan terowong kedua dengan 500 kg PE. Pemusnahan tertumpu kepada objektif utama untuk menghalang PGK menggunakan terowong untuk mengancam keselamatan kami.....justeru saya membuat keputusan untuk meletupkan ruang masuk/keluar terowong tersebut dengan merobohkannya. Kerja pemusnahan telah berjaya dilakukan dengan 500 kg PE. Selesai kerja pemusnahan saya dan Sappers yang lain tidak langsung menjejakkan kaki kami ke tapak Kem PGK lagi. Kejadian di Kem itu menghantui kami semua dan buat saya secara peribadinya sehingga sekarang.
Setelah terowong dimusnahkan, tugasan kami di bukit tersebut telah mencapai penghujung matlamatnya. Tiada lagi operasi search and destroy, dan tiada operasi pursuit.......yang tinggal cuma untuk menarik kami keluar dari bukit ke Kem Gubir. Setelah dua-tiga (anggaran) hari hidup tanpa bekalan dan minum hanya air hujan, kami terpaksa mencari kawasan yang selamat untuk Nuri membuat extraction, Pak Sudir membuat keputusan untuk mencari kawasan yang Nuri tidak terdedah kepada popped-shot dengan cara mencari kawasan yang tidak mempunyai canopy tebal atau kawasan terbuka supaya PGK tidak boleh berselindung. Amatan pada peta menunjukkan memang terdapat kawasan sedemikian.....cuma we have to go in deeper into “alien territory”. Keputusan dibuat untuk bergerak seawal pagi yang boleh dan telah diputuskan elemen Sappers akan berada ditengah-tengah formasi bersama Markas Skn, jika berlaku sebarang serangan atau ancaman dari PGK kami hanya perlu mengambil posisi perlindungan dan semua tindakan Immediate Action Drill akan dilaksanakan oleh Komando. Saya faham dan akur dengan arahan tersebut kerana pergerakan yang tidak terkordinasi dari kami bukan hanya akan membahayakan diri kami malah Komando sendiri.
Keesokkan harinya kami memulakan pergerakkan menuju kearah utara secara umum untuk mencari kawasan selamat untuk Nuri. Pergerakan amat perlahan dan penuh berhati-hati. Sepanjang perjalanan semuanya senyap dan sepi dengan hanya menggunakan bahasa isyarat. Perjalanan kami amat sukar dengan menuruni dan mendaki bukit dan sekali sekala kami menyusuri permatang. Alhamdullillah saya masih muda dan tahap jasmani saya ketika itu amat mantap berbanding sekarang. Namun bagi Sappers yang lain terutamanya Kpl Choo “bricklayer” telah menghadapi kekejangan dan peralatan beliau terpaksa dipikul oleh rakan, begitu juga Kassim “Pronto”.....walau pun tidak menghadapi kekejangan tapi berat radio set dan “anak gajah” yang dipikulnya amat menyeksakan dan terpaksa diagihkan kepada Sappers yang lain.
Sampai ke satu permatang dan semasa kami menyusurinya.....kami terdengar deruman kereta yang tiba-tiba berhenti. Seketika kemudian kedengaran bunyi plonng.....plonng.....plonng diikuti dengan tiga letupan yang jatuh tak jauh dari kami, seperti yang diarahkan kami mengambil perlindungan di celah-celah batang dan akar pokok. Saya kenal bunyi itu walaupun bukan pegawai infanteri sebab saya berkesempatan sebelum ini untuk menembak M79. Namun Pak Sudir tidak melaksanakan sebarang IA Drill sekadar menunggu sehingga bunyi deruman kereta tersebut beredar meninggalkan lokasi kami. Tidak dapat kami pastikan siapakah yang menembak menggunakan grenade launcher kearah kami. Mujurlah tiada kecederaan kerana sasarannya tersasar atau sekadar tembakan rambang.
Setelah semuanya selamat kami memulakan pergerakan semula. Akhirnya kami sampai dipinggir hutan besempadankan kawasan yang diterokai. Disebabkan kami menyusur permatang maka kami berada dipuncak sebuah bukit yang mana permatangnya mula menurun. Kami berhenti dalam hutan agar kami dilindungi dari pemerhatian....saya berkesempatan maju kehadapan bersama Pak Sudir untuk melihat kawasan sekeliling dengan Lt Aziz dan Lt Azizan. Dihadapan kami; terdapat kawasan yang diterokai, terdapat sebuah bukit dikanan dan sebuah lagi dihadapan memanjang kearah bukit kami. Di tengah-tengah adalah lembah antara tiga bukit dan ditengah-tengah lembah terbina sebuah dangau, seingat saya ada anak sungai kecil mengalir tepi dangau. Sekali pandang kawasan terokaan ini baru ditanam dengan anak pokok getah. Dari atas jelas ternampak sebuah motosikal diparkir berdekatan dangau dan apabila diperhatikan dengan betul terdapat pergerakan dan kelibat orang di dalam dangau.
Pak Sudir membuat andaian kami berada disebuah kampung di negara jiran. Untuk pengesahan lokasi dengan lebih tepat maka satu tim Komando dihantar ke bawah untuk mendapatkan kepastian dari penghuni dangau manakala yang lain mengambil kedudukan all-round defence diatas bukit. Seingat saya (mungkin saya silap), saya pun turut turun ke bawah bersama sebab dalam perjalanan balik mendaki bukit tu kami nampak dicelah-celah anak getah ianya ditanam dengan pokok ganja (saya teringat ada merentap pokok ganja tersebut). Setelah mendapat kepastian lokasi dan kordinit, Pak Sudir telah menghubungi Kem Gubir untuk menghantar Nuri bagi tujuan extraction, kami telah dimaklumkan dua buah Nuri diiringi gunship akan dihantar dan keputusannya Sappers akan dikeluarkan dahulu diikuti dengan Komando. Maka menunggulah kami di puncak bukit tersebut dalam kedudukan all-round defence, seperti kebiasaannya kami Sappers berada ditengah-tengah dan saya lihat Kpl Choo”bricklayer” terbaring kekejangan dengan tangannya menggeletar mungkin disebabkan dehydration manakala yang lain agak ceria walaupun keletihan. Alhamdullillah, tiada kerja-kerja persiapan tapak mendarat perlu dilakukan oleh kami kerana puncak bukit itu agak rata dan hanya dipenuhi anak getah yang baru ditanam namun ianya hanya sesuai untuk sebuah Nuri mendarat sahaja.
Penantian Nuri kali ini terasa agak lama juga, mungkin juga kami telah masuk terlalu jauh kedalam alien territory, namun apabila kedengaran bunyi kipas Nuri sayup-sayup kami pun terus mengambil kedudukan bersedia untuk menaiki Nuri manakala Komando sibuk menghalakan senjata kearah bukit-bukit yang terdapat disekeliling kami. Pada mulanya kelihatan Nuri berlegar-legar tinggi di udara apabila ia sampai ke kawasan bukit dimana kami berada. Apabila Nuri pertama mula menurun dan mengambil laluan masuk ke tapak pendaratan berhampiran dengan bukit yang menghadap ke bukit kami, beberapa das tembakan small arms telah kedengaran ditujukan kepadanya dari bukit tersebut. Pak Sudir yang juga perasan tentang insiden itu memandang kepada saya yang sedang bersedia untuk naik sambil berpesan........bagi tahu Pilot jangan gunakan laluan tepi bukit tu sebagai approach dan exit ada PGK tembak, saya hanya memberikan isyarat tangan tanda bagus pada beliau. Apabila Nuri mendarat, saya memberi arahan untuk Sappers mula naik manakala saya mencari AQ yang turun melihat kawasan pendaratan, dalam suasana yang hingar pingar saya hanya dapat menunjukan kawasan bukit dan menggelengkan kepala sambil membuat isyarat orang menembak kepada AQ dan beliau angguk tanda faham. Setelah semua naik maka kami pun berangkat dengan melalui kawasan jauh dari kawasan PGK.Semasa dalam perjalanan saya telah dimaklumkan bahawa kami akan diturunkan di tapak Bateri/Trup Meriam (saya lupa Marker nya) bukan di Kem Gubir bagi memendekan sortie flying time untuk Nuri membuat extraction rakan-rakan Komando lain. Sesampai ke lokasi yang ditujui, Nuri hanya hover disekitar 5-7 kaki dari bumi dan kami pun terjun keluar. Di lokasi Bateri/Trup Meriam itu kami Sappers berR&R selama 2-3 hari sebelum dibawa keluar ke Kem Gubir dan disambut oleh Pegawai Pemerintah Kapt Akhbar Khan dengan bacaan doa selamat. Hanya apabila saya sampai di Kem Gubir baru saya mendapat cerita bahawa tidak semua Komando yang bersama kami dapat keluar pada hari itu......ada yang tertinggal dan dikepong PGK dan terpaksa lari masuk semula ke “kawasan” kita.
Pembaca...Apabila menerima cerita "The Great Escape" warga komando 'yang tertinggal dan dikepong PGK', saya akan menyiarkan nanti, InsyaAllah.
Pembaca...Apabila menerima cerita "The Great Escape" warga komando 'yang tertinggal dan dikepong PGK', saya akan menyiarkan nanti, InsyaAllah.
Kepada Lt Muda Xxxx...terima kasih.
6 ulasan:
Salam Tuan!
Syukur kerana masih di panjangkan umur untuk sampai ke hari ini 34 thn kemudian.....Doa buat Almarhum LKpl Abdullah Majid yg telah di panggli dulu mengadapNYA ...Alfatihah! Moga2 Allah menempat Rohnya bersama para Syuhada..AMIN!
Terima kasih atas kepekaan dan sensitivi Tuan terhadap PENGORBANAN anggota2 ATM khasnya pada Anggota RAJD dan Komando...
Yang mampu kita buat kini dokumenkan segala peristiwa2 dulu untuk disimpan dalam Khazanah ATM...mungkin akan jadi BAHAN2 kajian untuk masa depan, Insyaallah!
Terima kasih atas kerjabaik Tuan..moga2 Allah memberkati Tuan dan keluarga,Insyaallah!
Kepada Dato'Xxxx...Jazakallahu Khairan Khathira!
Saudara Basri,
Terima kasih. Ini sajalah yang termampu saya lakukan.
Kepada wira-wira ATM yang terkorban dalam kisah menawan 'kem PK' di Gubir...Al-Fatihah.
Asalamualaikum tuan.....
Terima kasih kerana sudi menyiarkan sambungan cerita ini. Berdebar-debar hati saya semasa membacanya.
Saya tak dapat bayangkan bagai mana perasaan tuan dan rakan2 semasa bertugas di era komunis ni.
Syukur alhamdulillah,beroperasi di gubir sekarang ini tidak ada lagi sebarang pertarungan @ serang hendap dari pengganas komunis.....sekadar bertarung dengan cuaca sahaja....
Apa-apa pun,I'm really appreciate diatas segala jasa dan pengorbanan wira-wira di era komunis...
Al-fatihah buat perajurit yang terkorban....
Xxx Xxxxxxx
Saudara Xxx Xxxxxxx,
Waalaikumussalam. Sekurang-kurangnya pengorbanan mereka yang terdahulu didokumentasikan walaupun hanya dalam blog seorang mejar pencen sahaja!
Waris wira-wira boleh berbangga bahawa ayah/anak/suami mereka terkorban kerana mempertahankan kedaulatan negara.
betul tu tuan.....kenapa 'orang-orang' yang di atas sana tidak terfikir tentang pekara penting ini...
jika tragedi ini di dokumentarikan atau setidak-tidaknya di uar2kan pada pengetahuan umum, saya rasa dapat berbanga juga keluarga dan individu yang terlibat.
tidak kira lah dgn apa cara sekali pun.
seperti yang pernah tuan katakan,polis berbangga dgn bukit kepong nya,TDM berbangga dgn Lt Adnan nya.
TUDM ???????
Jika pihak yang berwajib dapat menerbitkan dokumentari tentang tragedi gubir ni setidak-tidaknya orang ramai dapat tahu peranan tentera darat dan pesawat nuri di era komunis. jadi,tiada lagi lah spekulasi yang mengatakan askar ni sekadar nak melengkapkan penubuhan sebuah negara saja dan biar 1 MALAYSIA tahu apa sebenarnya peranan dan jasa2 Nuri dari zaman dahulu hingga kini.
Xxx Xxxxxxx
Saudara Xxx Xxxxxxx,
Saya berharap TUDM akan memberi kerjasama kepada RTM untuk membikin filem dokumentari dalam program "Nasional Galeri".
Catat Ulasan